Posted on December 15, 2020
Proton jenama kereta Malaysia yang pertama tetapi jenama Perodua sentiasa menjadi pilihan rakyat. Walau apapun, apa kamu rasa jika Proton hendak bersaing dengan Perodua Axia melalui model yang telah lama terkubur? Baru-baru ini, pelakar automotif terkenal di tanah air kita iaitu Theophilus Chin memberikan gambarannya mengenai Proton Tiara baru. Untuk maklumat kamu, dia juga telah melakar Honda HR-V yang akan datang.
Berdasarkan lakarannya, Proton Tiara baharu kelihatan seperti Proton Suprima yang dikecilkan. Malah pada bahagian belakang, ia kelihatan seperti Dacia Sandero dan Tata Tiago.
Menariknya, Tiago asalnya dikenali sebagai Zica. Malangnya, nama tersebut berbunyi seperti virus Zika. Maka itu, Tata mengubahnya kepada nama Tiago.
Kembali ke hatchback segmen A, wajah depan Proton “Tiada” ini kelihatan seperti Proton Saga. Malah ia memperlihatkan rekaan lampu dan bampar yang sama. Bahagian gril pula mirip Proton X50.
Mengenai nama “Tiada”, ia hanyalah sebagai nama. Malangnya, Proton berkemungkinan besar tidak akan menceburi semula pasaran hatchback segmen A.
Untuk pengetahuan kamu, Proton pernah cuba untuk mencabar Perodua melalui model Tiara dan Savvy tetapi ia tidak mendapat sambutan yang diharapkan. Walaupun Proton Savvy dengan transmisi manual agak baik, perkara menjadi sebaliknya buat Proton Tiara di mana ia tidak laku sama sekali.
Maka itu, Saga versi hatchback yang dilakar ini hanyalah sebagai sebuah Proton yang “Tiada”, bukanlah Proton Tiara baru. Tambahan pula, Proton Iriz masih sukar untuk mencuri hati rakyat seperti Perodua Myvi walaupun ia memberikan pemanduan yang jauh lebih baik. Mungkin perubahan transmisi boleh menjadikannya lebih menarik di samping meningkatkan prestasi jualan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?