
Kongsikan serba sedikit tentang diri serta perjalanan kerjaya kamu?
Nama saya Jazz, singkatan daripada Jazzly Pochin. Saya seorang pramuagara dan pada masa yang sama saya juga buat part-time modelling. Di luar kerja, saya suka bermain futsal dan mengambil gambar sebagai cara mengekspressikan diri.
Menariknya, perjalanan saya sebagai seorang pramugara sebenarnya bermula dengan sangat impromptu. Saya pergi ke interview pun pada awalnya sekadar nak cuba. Daripada hampir 600 orang yang hadir, saya antara dua lelaki yang terpilih. Ketika itu saya baru berusia 19 tahun, jadi sejujurnya saya tak pernah terfikir pun yang cubaan kecil itu akhirnya akan membawa saya sejauh ini. Apa yang pada mulanya saya anggap sebagai ‘cuba-cuba’, akhirnya menjadi satu pengalaman yang banyak membentuk siapa saya hari ini.
Apa satu perkara tentang bergelar pramugara yang kamu harap lebih ramai orang faham & satu kenangan yang tak dapat kamu lupakan?
Apa yang orang tak nampak sebenarnya adalah struggle di sebalik kerjaya ini. Kami cuma ada lebih kurang dua minggu untuk menghafal ribuan muka surat manual, termasuk safety procedures dan first aid.
Antara pengalaman yang paling saya tidak boleh lupakan berlaku dalam satu penerbangan dari Brunei ke Kuala Lumpur. Seorang ayah yang datang bersama dua orang anak perempuannya tiba-tiba pengsan dan mengalami sawan serta strok. Saya merupakan antara yang pertama memberikan bantuan dan mula melakukan CPR. Ketika saya menyerahkannya kepada pasukan perubatan, beliau masih mempunyai denyutan nadi dan masih bernafas. Namun, kira-kira sejam kemudian, kami dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia.
Pengalaman itu buat saya sedar, menjadi pramugara bukan hanya tentang service dan travel. Ada masa, kita perlu bersedia untuk menyelamatkan nyawa.
Dengan jadual penerbangan yang tidak menentu, bagaimana kamu seimbangkan masa untuk kehidupan peribadi?
saya cuma letak mindset untuk buat yang terbaik dan pandai susun masa. Contohnya untuk sesi photoshoot hari ini, saya cuba sesuaikan dengan jadual penerbangan saya. Saya susun sesi temu bual dan photoshoot pada waktu pagi supaya saya masih dapat memenuhi jadual penerbangan ke Bali pada sebelah petang.
Bila saya dapat cuti pula, I live to the fullest. Saya akan keluar, buat semua benda yang saya nak buat. Balik sampai pagi pun tak apa. Saya rasa dengan cara itu, saya dapat seimbangkan kehidupan antara kerja dan kehidupan peribadi.

Apakah impian terbesar yang sedang kamu usahakan sekarang, sama ada dalam kerjaya, perniagaan mahupun kehidupan peribadi?
Saya sekarang sedang cuba membina perniagaan sendiri, jadi saya rasa saya cuma perlu pursue it to the fullest. Saya memang minat gaksesori seperti kaca mata hitam, cincin dan rantai. Buat masa sekarang, saya bersama dua orang rakan sedang perlahan-lahan membina @shadyss_v di Instagram. Saya masih belajar dan berkembang sebagai distributor untuk beberapa jenama lain, sambil mengumpul pengalaman untuk satu hari nanti membina jenama endiri.
Impian saya adalah untuk menghasilkan sebuah jenama yang besar, mempunyai identiti yang kuat dan tersendiri, macam Gentle Monster. Itu antara perkara yang saya sedang usahakan sekarang.
Apakah satu perkara tentang diri kamu yang mungkin ramai pengikut atau kenalan tidak tahu?
Mungkin orang ingat saya ni sangat extrovert sebab saya memang suka keluar dan buat macam-macam, tapi sebenarnya saya ada juga sisi yang agak introvert. Saya suka juga masa yang lebih private, especially bila dapat luangkan masa berdua dengan ibu saya. Itupun dah cukup seronok untuk saya.
Apakah rutin atau ‘self-care ritual’ yang wajib kamu lakukan selepas pulang daripada penerbangan yang panjang?
Sejujurnya, tidur. Kalau dapat, saya boleh tidur lebih daripada 12 jam. Tapi dalam masa yang sama, saya memang jaga skincare. Setiap kali lepas penerbangan, saya tak pernah skip rutin penjagaan kulit saya yang ada lebih kurang 14 langkah. Yang paling wajib bagi saya ialah double cleansing, mula dengan cleansing wipes, lepas tu baru cleansing foam. Dua benda ni memang saya tak pernah tinggal.

Siapakah individu yang paling banyak memberi inspirasi dalam perjalanan hidup dan kerjaya kamu?
Arwah ayah saya saya adalah orang yang banyak inspire saya untuk jadi siapa saya hari ini. Mungkin ada orang yang ingat akan Johan Abdullah, dia pernah menjadi music producer di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Dia antara orang yang selalu percaya dengan saya dan sentiasa bangga dengan apa yang saya buat. Sampai sekarang, saya paling hargai setiap masa yang pernah kami luangkan bersama. Tak semua orang bernasib baik untuk ada hubungan macam tu dengan orang tua mereka, dan saya sangat bersyukur pernah memilikinya.
Dengan latar belakang arwah ayah yang pernah bekerja dalam industri muzik, adakah kamu sendiri pernah terfikir untuk mengikuti jejaknya?
I do. Dari kecil memang saya minat muzik. Tapi arwah ayah pernah berpesan pada saya, ‘Don’t ever become a musician.’ Jadi, saya ambil nasihat dia dan tak teruskan minat itu buat masa sekarang. Tapi minat terhadap muzik tu memang masih ada.
Photographer: Edmund Lee
Videographer: Jufri Jamaludin
Stylist: Azreezal Hafidz
Teks: Syafiqah Alkaf
Makeup: El Manda Zuhairy
Rambut: VV Chan mengunakan Schwarzkopf Taft
BACA: Fresh Face 2025 : Shweta Sekhon









.gif)

Apa pandangan anda?