Posted on January 21, 2017
Gambar: Chee Wei/ Yipieyaya Teks: Zaidi Che Solekan & dandanan: Emmy Agung Pakaian: COS Sitting editor: Azreezal Hafidz
SHUFITRI SHUKARDI, 25 – ILUSTRATOR & EKSPRESIONIS SENI
1- Pertama, terangkan segalanya tentang diri kamu, apa yang kamu lakukan dalam hidup dan karier?
Saya seorang penggiat seni bebas. Seorang pengamal dan pendidik terhadap apa sahaja yang berkaitan seni. Segalanya yang berkaitan seni adalah lapangan kerjaya saya. Saya mereka-cipta grafik, melukis atas kanvas dan melukis secara digital serta bergiat aktif dalam teater.
2 – Kamu juga seorang peragawan, ceritakan kepada kami bagaimana kamu menceburi bidang peragaan ini?
Pertamanya, saya didekati oleh seorang jurugambar eksentrik yang bernama Ridduan TTFGA Ismail. Kebetulan, mungkin kerana saya terlibat dalam lapangan seni, dia mengajak saya menyertai kempen fotografinya sebagai salah seorang peragawan untuk kempen Wolfgang.
3 – Pernah terfikir akan ke lapangan peragaan ini?
Saya tak pernah terfikir saya akan berada di lapangan ini. Lakukan apa yang sedang saya lakukan sekarang, letakkan diri dalam situasi kekok (awkward). Namun saya beruntung berjumpa ramai kenalan sepanjang perjalanan tak terduga ini. Sebenarnya saya seorang yang pendiam.
4 – Lalu, selain seorang peragawan dan penggiat seni, kamu juga seorang?
Penggiat teater. Bulan Mac akan datang, saya akan menerbit dan mengarah bersama teater pertama saya. Menariknya teater ini, ia bertema interaktif. Jalan cerita dan penghabisannya ditentu oleh penonton yang menonton. Saya mahu libatkan sentuhan penonton (faktor luaran) dan bagaimana tiap-tiap keputusan undian itu merubah satu-satu jalan cerita.
5 – Saya melihat laman Instagram kamu penuh dengan nilai seni yang abstrak. Kenapa?
Sejujurnya, saya meletak kerja-kerja seni saya secara rawak. Hanya ikut kata hati. Yang mana cantik, di situ lah tempatnya.
6 – Boleh ceritakan makna gambar-gambar Instagram kamu itu?
I’m just trying to express myself. Semacam ekspresi diri melalui kerja-kerja seni saya itu tadi. Saya anggap Instragram sebagai medium yang menyenangkan. Yang boleh memelihara seni melalui dunia maya.
Ia juga menyenangkan saya membalas dan menanggapi sebarang komentar atau maklum balas followers berkenaan seni saya. Apa yang saya boleh katakan, laman instagram @shufitri adalah diri saya.
7 – Posting gambar mana yang kamu rasa paling bermakna buat kamu?
Kalau kamu perasan, ada sekeping posting gambar saya bersama Allahyarhamah ibu saya. Bagi saya ia sangat bermakna kerana gambar itu adalah momen yang pertama ibu hadir memberi sokongan buat saya dan pertunjukan seni saya.
8 – Projek/usahama terbaru kamu?
SHADOWS. Ia sebuah buku pengembaraan kanak-kanak. Saya berperanan sebagai ilustrator dan penyumbang idea dan ditulis oleh Maya Zaharudin. Ia sebuah kolaborasi Persatuan Kakiseni bersama MPH Publishing.
Pertama-tama, SHADOWS berkisahkan tentang kembara seorang budak lelaki bernama Adam yang termasuk dalam dunia misteri Wayang Kulit. Adam perlu menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan bagi menyelamatkan seorang putera raja.
Uniknya, buku cerita kanak-kanak ini mengetengahkan seni persembahan Melayu iaitu Wayang Kulit sebagai pemeran utama. Kami tertarik untuk meletakkan ‘keberanian’ sebagai nilai utama. Yang paling penting, kami mahu menanam semangat berani dan cinta seni pada minda generasi baru sambil memperkenalkan seni dan budaya kita pada anak-anak ini seawal usia muda.
9 – Dalam ayat kamu sendiri, bagi kamu seni adalah?
SENI ADALAH ISU YANG MEMBIAS KEHIDUPAN. IA MENERBITKAN EMOSI DAN PERASAAN.
10- Pandangan kamu tentang seni dan kehidupan?
Guru teater saya selalu berpesan, “Teater itu memanusiakan manusia”. Dan saya setuju dengan kata-kata dia. Seperti itu, saya bilang seni juga memberi makna yang sama.
Apa pandangan anda?