Posted on March 5, 2019
Tak masuk akallah kalau Kata Pengarang saya bulan ini tidak memberi penghormatan kepada insan paling berpengaruh dalam dunia fesyen yang baru meninggal dunia, Karl Lagerfeld. Namanya termaktub dalam sejarah fesyen global sebagai Pengarah Kreatif paling lama bertahan dengan satu jenama dalam masa sama mengusahakan jenamanya sendiri. Pada 1983, pengerusi Chanel, Alain Wertheimer meminta Lagerfeld menjadi pereka untuk jenama ini. Dia yang waktu itu sudah pun menjadi pereka di jenama Fendi bermula sejak 1965 lagi. Sebelum Lagerfeld menyertai dua jenama ini, Lagerfeld pernah juga menjadi pembantu kepada pereka Pierre Balmain sebelum berpindah ke Jean Patou mereka 10 koleksi haute couture. Selepas itu dia ke jenama Tiziano di Rome sebelum berpindah ke Chloe.
Kisahnya setakat itu sahaja pun sudah cukup mengagumkan. Apalagi pada sehingga saat dia meninggal dunia. Pelbagai lagi kejayaan dan pencapaian boleh disenaraikan dalam portfolio Lagerfeld. Sewaktu dia diminta menyertai Chanel, dia memberitahu New York Times, “Semua orang kata, ‘Jangan sentuh jenama ni, Jenama ni dah mati. Ia takkan hidup kembali’. Tapi saya anggap ini sebagai cabaran.” Pada 1984, Lagerfeld memulakan jenamanya sendiri, Karl Lagerfeld yang dijual kepada Tommy Hilfiger pada 2005. Keseluruhannya Lagerfeld menghabiskan masa 36 tahun di Chanel, 54 tahun bersama Fendi dan 35 tahun dengan jenamanya sendiri. How amazing that is? Tak pernah sekali pun ada ura-ura bahawa dia akan meninggalkan antara tiga jenama ini. Apakan lagi ada berita melaporkan berlakunya perselisihan faham antara dia dan mana-mana jenama ini.
Betapa ini memerlukan pengorbanan yang tinggi serta pemahaman yang mendalam di antara Lagerfeld dan jenama-jenama ini. Betapa kuatnya Lagerfeld bekerja kerana hanya dengan cara ini dia dapat mempertahankan kedudukannya di tiga jenama ini. Betapa tingginya juga daya kreativiti Lagerfeld sehingga membuatkan dia bertahan lama dan tidak terlintas pun dalam pemikiran pemilik jenama-jenama ini untuk menggantikannya. Sebaliknya mereka terus-terusan mempercayai keputusan kreatifnya dan segala keputusannya sehingga melonjakkan jenama mereka menjadi sebutan seluruh dunia. Daripada jenama lapuk, dia merubah Chanel menjadi happening dan digilai wanita sedunia. Logo double C Chanel menjadi simbol status dan memilikinya seperti menaik taraf kedudukan dan status wanita dalam society.
Namanya termaktub dalam sejarah fesyen global sebagai Pengarah Kreatif paling lama bertahan dengan satu jenama dalam masa sama mengusahakan jenamanya sendiri
Tentunya agak sukar untuk sesiapa pun menggantikan Lagerfeld waktu ini. Ini kerana dia memegang falsafah orang lama. Orang yang berpengalaman dan matang dalam kehidupan. Tetapi dia juga bijak berevolusi dan sentiasa mementingkan inovasi. Dia tahu kejadian-kejadian terkini dalam dunia hari ini dan bijak pula memanipulasikan untuk jenama-jenama yang diterajuinya. Dia tahu wajah segar mana yang wajar dia bekerjasama untuk membuat jenama-jenama ini relevan. Dari Ines de la Fressange hingga ke Amanda Harlech, Helena Christensen ke Natalia Vodianova dan Lily Rose Depp, Rihanna hingga ke Cara Delevigne dan Kaia Gerber, kerjasama ini semua adalah keputusan Lagerfeld dalam menyegarkan jenama-jenama yang sudah berpuluh-puluh tahun bertahan ini.
Kerana ini juga saya kagum dengan Karl. Semangat dan azamnya tidak pernah mengenal erti jemu. Semangat dan azamnya ini jugalah saya kira yang memberi kekuatan kepadanya untuk terus bekerja tanpa mengenal lelah hingga ke usia 86. Tidak mudah sebenarnya untuk mencapai keupayaan ini. Karl juga percaya pada kerja yang akan memacu nama kamu ke persada tertinggi. “Don’t overact the story of your name. Overact the story of your work,” katanya. Dan jelas dia memang suka bekerja. Bayangkan dengan semua jenama yang dikelolainya (beberapa koleksi setahun) saya tak rasa dia ada masa untuk berehat pun. Nasihatnya tentang bekerja pula ialah, “Working is when you do a job you don’t like. The minute you like your job, it’s not working any more.” Nah ini rupanya rahsia Karl mampu bekerja sehingga ke akhir usianya. Kerana dia tidak pun merasa dia bekerja sama sekali. Dia terlalu suka dengan pekerjaannya.
Banyak lagi nilai hidup yang baik boleh dipelajari daripada Karl sebenarnya. Nilai-nilai hidup inilah yang membuat dia berjaya. Sesuatu yang boleh kita implementasikan dalam hidup kita. Karl tidak memiliki teman hidup. Dia punya banyak teman-teman dalam industri fesyen dan hiburan tetapi tidak ada pasangan atau kekasih selepas kekasihnya mati kerana AIDS penghujung 80-an. Pabila ditanya, jawabnya, “I live in a set, with the curtains of the stage closed with no audience – but who cares?” Sikapnya dalam hal ini ialah dia tidak peduli dengan orang asalkan dia gembira.
Working is when you do a job you don’t like. The minute you like your job, it’s not working any more.” KARL LAGERFELD
Tentang kekal sihat pula Karl percaya, “Vanity is the healthiest thing in life.” Dan pabila dia hilang berat badan pada satu ketika ini katanya, “I lost 200lbs to wear suit by Hedi Slimane.” Ya kerana dia percaya pakaian itu tidak perlu sesuai dengan kamu sebaliknya kamu yang perlu sesuaikan diri kamu dengan baju itu. Karl juga suka mengetahui tentang semua benda. Baginya ini cara dia untuk kekal relevan dan berilmu. Katanya, “I’m very curious. I read every magazine, I have spies all over the place, I know everything. Very few people are as informed as I am.”
Nah ini beberapa pengajaran hidup yang boleh kita belajar daripada Karl. Bagi saya kehilangan dia memang tiada galang gantinya. Walaupun karakteristik Karl itu pelik dan kelihatan gila bagi sesetengah orang, tetapi inilah kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang maestro dalam lapangan fesyen. Sesetengah perkara yang diujarkan juga mungkin kedengaran aneh dan tidak masuk akal, tetapi mengapa kamu harus menjadi normal sekiranya kamu mahu nukilan seni kamu menjadi buah mulut dan diperkatakan sehingga meningkatkan jualan. Dunia fesyen tidak akan sama lagi selepas ini tanpa Karl. Seperti kata Anna Wintour, antara teman karib Karl tentang pemergiannya, “I was always thrilled to celebrate Karl’s incredible creativity in Vogue, yet it’s as a person, not as a designer, that I will miss him most. My colorful compatriot. My brilliant friend.” Dan ramai lagi yang akan bersedih hari ini kerana buat kali pertama, pertunjukan Chanel akan berlangsung tanpa kehadirannya.
Apa pandangan anda?