Posted on December 10, 2019
Gambar : Pinterest
Saya tahu apa yang kamu fikir. Jangan asyik ingatkan porno saja. Nama Pelancap Digital dialih bahasa secara langsung daripada ‘Digital Masturbation’ bermaksud seseorang yang jarinya tidak boleh duduk diam. Walaupun berdiri baru dua minit, pasti tangannya mula mencapai telefon bimbit dan mengambil peluang itu untuk menurunkan komentar contohnya pada posting rakannya di media sosial. Lebih teruk lagi si pelaku ini memberikan kata-kata yang tidak ada makna dan pointless!
Sebenarnya perangai ini serupa dengan orang yang aktif merokok. Jika dia rasa dia mahu merokok, dia akan merokok pada bila-bila masa walaupun dalam keadaan separuh sedar. Hal ini kerana otaknya sudah ditetapkan untuk melakukan perbuatan itu usai melakukan apa jua aktiviti di jarinya.
Dunia hari ini telah menyaksikan bahawa ramai orang telah berhenti merokok. Itu perkara baik. Namun, tabiat merokok mereka diubah kepada media sosial. Di mana, tidak ada perkara penting yang dibuat, hanyalah duduk, tanpa berfikir, hanya mengisi ruang kosong dan scroll apa saja di media sosial. Paling teruk jika kamu baru saja memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar, lantas kamu mencari dan keluarkannya semula untuk melihat perkara yang tidak diketahui.
Akibatnya, 90 peratus daripada semua interaksi sosial-media adalah bualan kosong yang tidak masuk akal. Seperti penyataan soalan yang tidak perlu, atau pemikiran dan pengamatan yang tidak diingini antara orang yang tidak begitu rapat dan kurang dikenali. Manusia seperti ini tidak boleh berfikir apa-apa yang baik, atau saya beranggapan ia seperti robot yang suka meremehkan perkara-perkara yang tidak perlu.
Media sosial menjadi katalog untuk semua orang melihat dan menjual sesuatu. Serta ia medan untuk memberitahu orang lain cerita tentang diri kita dan kehidupan kita. Lebih menyedihkan, skandal, atau fantasi yang cenderung ke arah keterlaluan. Muncul golongan pelancap digital ini gemar memberi komentar, kata-kata yang sekadar ingin melepaskan kepuasan jarinya sahaja. Asalkan dia puas!
Kamu pasti jengkel dengan komen seperti ‘wow’ pada sesuatu gambar yang tidak ada pun faktor ‘wow’ di posting itu. Orang yang dikomen pun tidak tahu, mahu membalas apa kepada pelancap ini. Satu contoh lagi, jika kamu dapat mengesan rakan kamu yang gemar memberi komen di semua gambar selebriti, orang-orang berpengaruh, atau orang yang kamu rasakan dapat memberikan dia imbuhan, kamu harus pastikan dia harus dijauhkan sedikit daripada telefon bimbitnya. Golongan ini saya kira tergolong dalam pelancap digital. Mereka bagaikan tin kosong yang hanya memekak di jendela maya, tapi tiada isi yang ingin disampaikan.
Secara personal, saya sarankan agar kita kembali membaca buku atau membaca artikel panjang, berbual dengan orang yang memberi kamu inspirasi, berbual dengan real people, kenali kepayahan mereka, dalami isi hati orang-orang sekeliling, atau berfikir, tunggu dan lihat sekeliling kamu. Kamu pasti belajar sesuatu daripadanya.
Apa pandangan anda?