Posted on January 9, 2020
Demam BTS tidak mungkin akan berakhir dalam masa terdekat ini. Ini kerana mereka bakal melancarkan album baru yang berjudul BTS Map of the Soul: 7 . Diumumkan menerusi aplikasi WeVerse (aplikasi khas buat artis di bawah naungan Big Hit Entertainment) dua hari yang lalu membuatkan jutaan peminat berkongsi rasa gembira lalu mewujudkan hashtag #7isComing di laman Twitter and it’s trending worldwide dalam masa beberapa minit selepas pengumuman itu dibuat!
Apa yang membuatkan semua peminat menjadi tidak keruan mendengar berita gembira ini? Walau dalam masa sama ramai ARMYs (nama fandom kumpulan BTS) terkejut dengan tajuk album yang langsung tidak dijangka mereka, namun ramai berasa gembira kerana BTS memilih nombor 7 yang memberi pelbagai definisinya yang tersendiri. Mungkin ada sedikit petunjuk yang diberikan BTS sebelum ini yang ramai tidak perasan. Menerusi video introduksi di awal persembahan mereka di MAMA 2019 yang berlangsung pada bulan lalu, ketua kumpulannya, RM, ada berkongsi,
Tujuh tahun kami telah bersama, dan akan sentiasa ada tujuh ahli di dalam BTS.
Memandangkan tahun ini adalah ulang tahun ketujuh mereka di dalam industri ini, mungkin itu yang membuatkan album ini lebih bermakna buat seluruh ARMY dan BTS sendiri.
Adakah album baru ini akan mencipta rekodnya yang tersendiri dan bakal memecah jualan pra-pesanan album yang lalu sebanyak 2.685 juta pada lima hari pertama dilancarkan? Kami tidak terkejut. Big Hit turut mengumumkan menerusi WeVerse di mana empat versi album bakal dijual berkonsepkan serba biru (namun foto sebenar belum dilancarkan). Album ini bakal dilancar rasmi pada 21 Februari ini. Akan tetapi, pra-pesanan sudah bermula hari ini (9 Januari).
Empat versi album BTS Map of the Soul: 7 yang masih belum didedahkan secara terperinci namun ini apa yang bakal peminat dapat jika membeli album terbaru BTS ini
Tidak cukup dengan itu, semalam, Big Hit tampil memberikan kejutan tanpa henti buat ARMYs di mana mereka telah melancarkan tarikh-tarikh penting bersempena comeback BTS untuk album terbaru ini.
Comeback Map BTS Map of the Soul: 7
Jika mengikut tradisi kumpulan ini, mereka akan mulakan comeback mereka dengan pelancaran teaser yang kebiasaannya akan dinyanyikan oleh salah seorang ahli kumpulan mereka. Kali ini, teaser yang bertajuk “SHADOW” bakal dilancarkan pada 10 Januari ini. Paling penting, beberapa tarikh yang melibatkan beberapa negara turut termaktub di dalam “peta” comeback ini. Antara lokasi yang terlihat ialah seperti Berlin, London, Buenos Aires dan New York City. Ramai masih keliru dengan makna disebalik CONNECT, BTS ini, namun apa yang pasti, Big Hit akan terus menyajikan kita dengan pelbagai lagi kejutan dalam masa terdekat ini.
p/s: Saya sempat ke Seoul, Korea melawat House of BTS pada minggu lalu beberapa hari sebelum pameran tersebut ditutup. Menarik, walau pelbagai barang rasmi mereka habis dijual, namun masih seronok kerana dapat bergambar bersama installation khas yang dicipta mimik beberapa konsep lagu daripada album-album BTS sebelum ini.
Apa pandangan anda?