The Ghost Bride – Drama seram Netflix yang mengangkat budaya Peranakan Baba & Nyonya ke persada dunia
The Ghost Bride (Pengantin Hantu) adalah drama gabungan bersama Malaysia dan Taiwan, diarahkan oleh pengarah Malaysia, Quek Shio Chuan dan Ho Yu Hang. Drama seram romantis terbitan asal Netflix ini juga adalah berdasarkan adaptasi novel nukilan penulis Malaysia, Yangsze Choo.
Drama enam episod ini penuh dengan babak yang mendebarkan dengan selingan jenaka ringan, memaparkan elemen tradisional dan budaya Baba dan Nyonya di Melaka. Ia dibintangi oleh nama-nama besar dari Taiwan seperti Huang Pei Jia dan Wu Kang serta Ludi Lin, pelakon Hollywood yang pernah membintangi filem adiwira, ‘Aquaman’ dan ‘Power Rangers’.
Tidak lupa juga, pelakon wanita senior Malaysia yang cukup dikenali, Angeline Tan turut memegang watak dalam drama ini. I wonder, why Tan Sri Michelle Yeoh tidak turut serta membintangi drama ini? Bayangkan dua nama besar ini bergabung, tentu sahaja filem ini lebih ‘meletup’! bukan?
Walaupun ‘The Ghost Bride’ berlatarbelakangkan kota Melaka pada era 1890an, namun drama ini dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Mandarin. Sayang seribu kali sayang, sedikit terkilan kerana umum mengetahui Baba dan Nyonya tidak bertutur dalam Mandarin, melainkan dalam Bahasa Melayu Baba dengan campuran dialek Hokkien. Secara sejarahnya, itu bahasa ibunda mereka.
Mujur terdapat pilihan sarikata dalam Bahasa Melayu disediakan.
Mungkin pengarah dan pihak Netflix ingin membawa ‘The Ghost Bride’ ke pasaran China? Nampaknya begitu.
Baiklah sedikit sinopsis, drama ini menyoroti perjalanan kisah hidup seorang gadis berusia 20 tahun bernama Li Lan (Huang Pei Jia) yang terpaksa berkahwin dengan Lim Tian Ching (Kuang Tian), anak lelaki kepada sebuah keluarga terhormat yang kaya-raya di Melaka demi melangsaikan hutang keluarganya.
Namun, yang gilanya, dia sebenarnya harus berkahwin dengan hantu! Ya, anak lelaki keluarga kaya itu sudah lama meninggal dunia!
Terdapat pelbagai kejadian misteri yang berlaku sepanjang dia cuba melarikan diri dari situasi yang rumit ini. Li Lan secara tidak sengaja terjerat dalam konflik dan konspirasi yang lebih besar daripada apa yang dia bayangkan.
Majoriti penggambaran dijalankan di beberapa lokasi di Malaysia termasuk Melaka dan merangkumi kawasan warisan seperti Ipoh dan Taiping di Perak, Iskandar Puteri Johor dan George Town, Pulau Pinang. Sebahagian besar kru produksi juga berasal dari Malaysia.
Kita seharusnya berbangga kerana drama ini adalah drama pertama yang disiarkan di Netflix, yang mendapat terbitan, arahan, lakonan dan diproduksi oleh anak Malaysia. MALAYSIA BOLEH!
Jadi, sokonglah produksi tempatan yang mendunia ini dengan menonton trailer The Ghost Bride di bawah dan sedia untuk binge-watch seisi keluarga. Oh, tidak lupa juga Selamat Tahun Baru Cina 2020!
Apa pandangan anda?