Posted on April 6, 2020
Tempoh perintah kawalan pergerakan (RMO) saya anggap sebagai fasa hibernasi atau meditasi. Pengajaran daripada Coronavirus yang saya peroleh selama tempoh RMO akan saya hargai selama-lamanya. Bukan mudah untuk kita mendapat pengalaman sebegini tambah lagi dalam dunia serba moden dan pantas hari ini. Di mana roda kehidupan itu berputar begitu pantas sampaikan tak terkejar rasanya kita sebagai manusia. RMO umpama brek yang dikurniakan Tuhan untuk manusia berhenti seketika atau memperlahankan sedikit roda kehidupan yang semakin menderas.
Pada awal pengumuman di buat tentulah pelbagai reaksi saya lihat berlaku di kalangan teman-teman dan khalayak umum. Teringat zaman kecil-kecil pabila saya memberontak dengan mama dan dia menyuruh saya masuk ke bilik. Rasa geram, marah, benci, sakit hati dan dendam bercampur baur. Dan setelah itu lagi geram pabila mama kata saya tak boleh keluar rumah dua minggu. Perasaan bosan, rindu dengan teman-teman dan berjalan-jalan di pusat membeli-belah pula yang bercampur aduk. Nah begitulah perasaan kita waktu ini. Grounded. Saya terbaca dalam Instagram @wordporm pagi ini,
https://www.instagram.com/p/B-f8WLOHZ5V/
Tetapi memang eloklah ujian atau hukuman sebegini diberikan kepada kita waktu ini. Sudah terlalu lama saya rasa kita ini tidak mendapat peringatan sebegini dari yang Maha Esa. Bukan datang daripada bencana alam atau malapetaka bahaya tetapi diturunkan dalam bentuk virus yang tidak kita nampak pun dengan mata kasar. Sedar-sedar saluran pernafasan menjadi sempit, sesak nafas dan tercungap-cungap merayu oksigen. Tidak pula diberikan idea lagi bentuk vaksin yang dapat menyembuhkan. Begitu besar kuasa Tuhan.
Seperti yang disebut WordPorn, “to think about what we’ve done” seharusnya itulah yang kita umat manusia perlu lakukan waktu ini. Kita wajar merenung, berfikir, berbahas dan membaca seperti yang kata Tun Mahathir dalam sesi live Instagramnya bersama Neelofa. Bukan senang kita sebagai manusia dalam dunia moden pantas hari ini untuk punya masa duduk di rumah dan merenung kembali apa yang kita dah lakukan selama ini. Terkadang kita tak sedar apalagi muhasabah diri kerana semuanya terkejar-kejar tak tahu apa. Sekurang-kurangnya itulah yang saya buat selama dua minggu lebih sekarang ini berada di rumah. Dan di sini saya ingin senaraikan pengajaran daripada coronavirus yang saya dapat selama tempoh RMO ini.
1 JANGAN MUDAH MELATAH
Saat pertama kali diumumkan Restricted Movement Order (RMO), saya lihat terlalu bannyak manusia yang melatah. Masing-masing membuat pelbagai andaian. Kurang sangat yang mendengar dan memahami perintah. Banyak pula yang membiarkan perasaan cemas menguasai diri langsung mengambil tindakan yang boleh membahayakan orang lain dan merebakkan lagi virus corona. Seharusnya kita janganlah mudah melatah. Terburu-buru dalam mengambil tindakan. Duduk dahulu, renung sejenak dan berfikir. Faham dahulu apa mesej dalam perintah yang dikeluarkan kemudian baru rancang apa tindakan seterusnya.
2 BANYAKKAN BERSABAR
Saya akui amat susah untuk belajar bersabar. Ia memerlukan kekuatan hati, perasaan, akal dan fikiran. Tetapi ia adalah karakter yang boleh kita belajar sepanjang tempoh RMO ini. Semua orang melalui pengalaman yang sama. Mengawal pergerakan keluar rumah, tak boleh travel, sesetengahnya tak boleh bersama keluarga. Jadi semua daripada kita mengalami ‘kelumpuhan’ yang sama. Satu yang akan membezakan antara kita dan orang lain ialah kesabaran kita melaluinya. Ia juga akan membantu kita dalam melalui tempoh ini dengan lebih tenang.
3 MATERI TIADA ERTI
Tempioh RMO ini juga membuktikan bahawa harta benda, wang dan materi sebenarnya tidak membawa apa-apa erti. Ya, walau kamu memiliki semua ini, beritahu saya apa yang boleh kamu buat dengan semua itu? Dalam keadaan serba tak pasti ini tiada guna pun apa yang kamu miliki itu. Tiada siapa yang peduli dengan harta benda yang kamu ada, berapa banyak wang yang kamu simpan dan segala apa pun yang kemu kumpulkan selama ini. Kamu tak boleh buat apa pun dengan semua itu di saat ini. Ingatlah perasaan ini sampai dunia bebas daripada virus corona nanti.
4 TELATAH MANUSIA ADA PELBAGAI
Walaupun saya tidak keluar dan berjumpa dengan sesiapa tetapi daripada media sosial dan melihat video-video orang beratur nak masuk supermarket pun sudah cukup untuk menunjukkan telatah manusia yang pelbagai. Ada yang suka marah-marah, tidak sabar, menunjuk-nunjuk, cemas, ceria, tenang dan macam-macam lagi. Di media sosial sahaja kita boleh lihat betapa banyak pula yang tunjuk pandai dan berkongsi informasi-informasi yang tak sahih pun. Telatah-telatah yang ada sesetengahnya perlu tetapi banyak sebenarnya yang tak perlu pun.
5 AMBIL KESEMPATAN
Manusia akan mengambil kesempatan dalam apa jua situasi demi untuk kelangsungan hidup. Ada yang mengambil kesempatan tempoh RMO ini untuk meraih populariti. Memaki mengata orang yang dirasakan salah lantas menaikkan nama sendiri. Aduh, andai benar tindakan mereka itu untuk membetulkan yang salah, baguslah tetapi andai kata ia berniat untuk meraih populariti alangkah musibahnya tindakan itu. Banyak pula yang saya lihat galak mengutip sumbangan untuk membantu frontliners. Oh saya harap benarlah ia disalurkan kepada yang memerlukan kerana kalau ada udang di sebalik batu, alangkah celaka! Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.
6 INGAT PERASAAN SEWAKTU RMO INI
Jangan jadi manusia yang mudah lupa. Segala perasaan selama kita berada dalam tempoh RMO ini adalah untuk menyediakan diri kita menjadi insan yang lebih baik di masa depan. Rasa takut tak dapat membeli barangan asas, kebosanan kerana tidak bekerja atau belajar, rasa kesepian kerana perlu duduk di rumah seorang, cemas memikirkan kesihatan diri sendiri dan orang tersayang, kurang yakin bahawa sistem kesihatan boleh melindungi kamu, kenyataan sedih bahawa ada banyak yang hidup dalam perasaan begini walaupun tiada krisis kesihatan besar. Ingat semua perasaan ini pabila krisis pandemik ini berakhir nanti. Ia akan sentiasa membuat kamu rasa bersyukur dan menjadi manusia lebih baik.
7 INGAT ASAL-USUL & MAHA PENCIPTA
Dek kerana terlalu sibuk mengejar kehidupan, terlalu banyak antara kita yang tak sempat lagi memikirkan asal usul, jati diri dan ingat kepada sang Pencipta. Sebagai manusia kita harus sentiasa muhasabah diri yakni merenung kembali ke dalam diri dan ingat akan pengalaman-pengalaman lalu juga siapa yang menjadikan kita di atas muka bumi ini. Ingat untuk selalu melihat kepada isteri, anak-anak, teman-teman dan sanak saudara. Renung sama ada kita ini berada di paksi yang betul atau yang salah. Dan bawa amalan ini sampai bila-bila pun nanti.
8 LAKUKAN APA YANG KITA ABAIKAN
Anggap juga ini sebagai peluang untuk kita melakukan apa yang selama ini kita abaikan. Saya sering mengabaikan keadaan rumah saya. Jarang membersihkan, kurang menyusun barang-barang yang ada dan tidak gemar pula mengelap habuk-habuk di dalam rumah. Jadi sejak RMO bermula, itulah saya lakukan setiap hari. Bersihkan satu kawasan setiap hari sedikit demi sedikit. Ambil masa dan gunakan masa yang diberi untuk membuat apa yang saya abaikan selama ini.
9 TIADA SIAPA TAHU YANG BENAR & SALAH
Manusia tidak akan tahu yang mana betul dan yang salah. Melihat apa yang berlaku di sekeliling saya dalam tempoh RMO ini, saya sedar bahawa tiada siapa pun antara kita yang tahu antara benar dan yang salah. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. Apa yang kita sebagai manusia boleh lakukan hanyalah berdoa untuk ditunjukkan kepada jalan yang benar. Diterangkan hati agar dapat melihat antara yang baik dan yang buruk, antara yang benar dan yang salah. Apa yang kita rasakan benar, sejauh itu sahajalah ia benar. Sama ada betul ia benar atau tidak, hanya Tuhan yang tahu.
10 BERSYUKUR
Saya sebenarnya suka dengan RMO ini. Mungkin kerana itu juga saya bisa mendapat pengajaran daripada coronavirus ini. Ia membolehkan saya menjalani kehidupan serba ringkas yang amat saya sukai. Bekerja dari rumah bukanlah masalah kerana dengan dengan teknologi, semuanya boleh dilaksanakan dari mana pun kamu berada. Makan yang asas-asas sahaja – itupun bukanlah masalah buat saya kerana saya ini memang secara alami nya tidak banyak kempunan akan apa-apa pun.
Saya berpuasa dari hari pertama RMO bermula, jadi saya suka sangat dengan peluang dapat memasak sendiri makanan di rumah dan kemudian menikmati makanan tersebut dengan perlahan-lahan tanpa gangguan atau pengaruh sesiapa pun. Itu paling saya hargai. Adalah di awal RMO saya kempunan sangat kek coklat lembap home made, tetapi ada pula bekas staf saya yang sanggup membakar untuk saya dan menghantar kepada saya.
Aduh saat saya menyuapnya pertama kali, saya menitiskan airmata kerana merasakan betapa bersyukurnya saya dengan apa pun yang saya ada. Biarpun tidak duduk dalam rumah mewah, memandu kereta besar dan travel ke sesenangnya, menyuap kek coklat home made yang saya terlalu inginkan yang dibakar teman adalah nikmat tertinggi yang tak mudah sesiapa pun memiliki. Alhamdulillah. Inilah antara pengajaran daripada coronavirus yang saya alami.
Apa pandangan anda?