Posted on February 11, 2021
Rahsia paling sulit di dunia!!!!! Perodua D55L dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada bulan hadapan atau seterusnya. Justeru itu, antara khabar angin yang sampai ke meja pengarang wapcar.my baru-baru ini adalah model ini akan berharga sekitar RM 60k.
Sebagai perbandingan, harga bagi model Proton X50 bermula dari RM 79,200 – RM 103,300.
Sudah tentu, kedua-dua model tersebut bukanlah pesaing yang setara antara satu sama lain tetapi pembeli biasa akan tetap membandingkan kedua-dua model SUV segmen B tersebut.
Hal ini juga bermakna, Perodua D55L akan diposisikan sebagai model di antara Perodua Myvi dan Perodua Aruz. Perodua Myvi paling mahal berharga RM 52,697 manakala Perodua Aruz paling murah berharga RM 68,526 (harga tanpa SST, sah sehingga 30 Julai 2021).
Selain itu, dengan trend harga kereta yang semakin meningkat, D55L dijangka akan bertindih harga dengan Perodua Aruz. Terdapat 3 varian yang ditawarkan dengan 2 varian dijangka akan bertindih harga dengan Perodua Aruz.
D55L juga masih akan merasai saingan daripada model segmen B lain seperti Honda City, Nissan Almera dan Toyota Vios. Malah, saingan terkuat mungkin hadir pada Proton Iriz dan Proton Persona yang akan hadir dengan facelift tahun 2021 ini.
Apa kompromi harga tersebut?
Sebagai jenama yang mementingkan harga, D55L dijangka akan tetap ditawarkan dengan ciri-ciri terkini. Sistem Perodua A.S.A 2.0 dijangka akan dilengkapi pada D55L, mengikut jejak langkah Perodua Axia, Bezza dan Myvi.
Fungsi yang hampir pasti akan ditawarkan adalah 6 beg udara, kawalan kestabilan dan lampu LED hadapan seperti yang terdapat pada model Daihatsu Rocky / Toyota Raize.
Spesifikasi Perodua D55L
Enjin 3 silinder 1.0 liter turbo 1KR-VET dengan padanan transmisi CVT dijangka akan digunakan pada model D55L ini. Malah, ini mungkin akan menjadikan Perodua D55L sebagai model Perodua pertama dengan transmisi CVT.
Tiada sebarang ura-ura untuk perubahan spesifikasi tersebut namun Perodua masih boleh membuat kejutan dengan SUV paling rahsia di dunia ini.
Bila D55L akan mula dijual?
Minggu ini latihan jualan bagi pengedar D55L dijangka akan bermula. Hal ini menandakan masanya sudah semakin hampir untuk D55L dibuka untuk tempahan.
Bagaimana pula dengan giliran menunggu Perodua D55L ini? Mampukah ia mencecah 30,000 unit dalam masa 3 bulan?
Untul lebih banyak artikel sebegini lawati WapCar
Apa pandangan anda?