Posted on October 12, 2021
Terdapat trend terbaharu pada masa kini di mana ramai individu menggunakan nano spray sanitizer atau penyembur nano untuk membasmi virus COVID-19.
Muncul pelbagai iklan daripada penjual alat penyembur ini di media sosial dan juga platform membeli-belah online.
Persoalannya, adakah ia kaedah berkesan untuk menghapuskan virus COVID-19 seperti yang didakwa?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Penyembur sanitizer jadi pilihan ramai
Sejak akhir-akhir ini, ramai yang lebih berminat untuk menggunakan penyembur sanitizer bagi tujuan sanitasi COVID-19.
Disebabkan peningkatan permintaan terhadap produk tersebut, maka harganya juga naik mendadak sehingga boleh dikatakan tidak masuk akal.
Tinjauan di beberapa laman sosial dan platform membeli-belah online mendapati, penyembur nano tersebut dijual pada harga sekitar RM50 hingga RM90.
Harga tersebut tidak termasuk dengan cecair pembasmi kuman yang perlu dibeli secara berasingan.
Disebabkan ia sudah menjadi trend, ramai yang mula mencari produk ini untuk digunakan di rumah atau dibawa bersama ketika keluar rumah.
Adakah nano spray sanitizer ini benar-benar berkesan hapuskan COVID-19?
Pada awal tahun ini, sebuah syarikat berminat untuk mengedarkan 500,000 Antimicrobial Nano-Silver Sanitizer Spray untuk kegunaan hospital dan klinik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Oleh itu, Ketua Pengarah Kesihatan telah meminta Malaysian Health Technology Assessment Section (MaHTAS) untuk menjalankan kajian lanjut tentang keberkesanan penggunaan penyembur nano tersebut.
Hasil kajian MaHTAS mendapati, produk penyembur sanitizer ini tidak mempunyai bukti kukuh berkesan dan selamat dalam membasmi virus atau bakteria, walaupun terkandung bahan aktif di dalamnya.
Masih terdapat kekurangan bukti kajian yang boleh menyokong keberkesanan ion perak nano (nano silver ion), bahan aktif dalam penyembur nano.
Oleh itu, penyembur sanitizer ini tidak disarankan untuk digunakan dalam kawasan klinikal seperti hospital dan juga klinik.
Mengapa penyembur nano ini tidak berkesan hapuskan COVID-19?
Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh pihak MaHTAS, tidak ada bukti kukuh bahawa penggunaan penyembur sanitizer ini boleh menghapuskan penyebaran virus COVID-19.
Ini kerana, kajian mengenai keberkesanan, keselamatan dan penjimatan kos alat ini masih amat sedikit.
Walaupun penyembur nano ini mempunyai bahan aktif ion perak nano di dalamnya, tidak terdapat bukti kukuh yang menunjukkan keberkesanannya dalam menghapuskan virus dan juga bakteria.
Tambahan pula, jika kamu membeli alat ini, kamu mungkin cenderung untuk membancuh cecair pembasmi dengan nisbah yang tidak tepat.
Mungkin ramai yang ingin membancuhnya dengan cara masing-masing bagi menjimatkan penggunaan cecair pembasmi tersebut. Ini akan menjadikan ia sangat tidak berkesan seperti yang disangkakan.
Nano spray sanitizer bukanlah alat yang disarankan
Dalam strategi mengekang penularan wabak COVID-19 ini, penggunaan penyembur sanitizer bukanlah satu kaedah utama.
Malah ia juga bukanlah cara yang boleh dipertimbangkan untuk kegunaan jangka masa panjang.
Sekali lagi ditegaskan, tidak terdapat bukti kajian yang menyatakan bahawa ia berkesan dalam mengekang jangkitan virus COVID-19.
Malah, ia juga bukanlah pilihan ideal disebabkan harganya yang boleh dikatakan agak mahal berbanding hand sanitizer atau sabun tangan.
Cara yang masih ampuh untuk melawan penyebaran virus COVID-19 adalah dengan mengamalkan tabiat mencuci tangan menggunakan air bersih dan juga sabun.
Selain itu, kita juga disarankan untuk menggunakan hand sanitizer dengan kepekatan kandungan alkohol 65% dan ke atas.
Dalam masa yang sama, kita mestilah mematuhi SOP seperti berikut:
- Memakai topeng hidung atau mask setiap kali keluar rumah. Disarankan memakai dua lapisan mask iaitu mask pakai buang diikuti dengan mask fabrik
- Sentiasa jaga jarak. Pastikan jarak dengan individu lain ketika di luar rumah sekurang-kurangnya 1 meter
- Elakkan diri daripada mendekati mereka yang mempunyai simptom atau sedang sakit
- Jauhkan diri daripada menghadiri kawasan yang menjadi tumpuan ramai
- Sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa setiap masa
Kesimpulan
Pembelian penyembur nano di kala pandemik ini bukanlah satu tindakan yang bijak.
Pertama sekali, ia ternyata tidak berkesan berbanding penggunaan sabun dan hand sanitizer.
Kedua, harganya juga jauh lebih mahal daripada harga sabun pencuci tangan dan hand sanitizer.
Mahukah kamu membeli sesuatu yang tidak berkesan dengan harga yang jauh lebih mahal?
Kamu akan mendapat nilai yang jauh lebih tinggi dan lebih baik jika menggunakan sabun atau hand sanitizer. Jadilah pengguna yang bijak!
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Wa’iz untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?