Posted on March 13, 2020
MARLEY75 – Tribut Hari Jadi Bob Marley Ke-75 dengan animasi terbaru Redemption Song
Satu penghormatan buat legenda muzik reggae, sebuah animasi istimewa terbaru untuk Redemption Song dilancarkan sempena ulangtahun ke-75 Bob Marley.
Lagu ikoniknya ini turut meraikan ulangtahun ke-40 dan menandakan sambutan MARLEY75 sempena Black History Month bagi tahun 2020. Animasi ini dilukis secara digital oleh dua artisan asal Perancis bernama Octave Marsal dan Theo De Gueltzl.
Ia menampilkan 2,747 lukisan asli dan penggunaan simbol ‘Black Power’ yang kuat bagi mendampingi besarnya makna lirik ‘Redemption Song’ yang tak lekang dek waktu dan kepentingannya terhadap perkembangan sosio-politik bangsa kulit hitam di seluruh dunia.
Animasi ini menyoroti perjalanan hidup dan sumbangan Marley terhadap pemberdayaan budaya dan peradaban ras kulit hitam serta manifestasinya tentang harapan dan keamanan bagi seluruh umat manusia sejagat.
Diilhamkan dari tanah kelahiran Marley di Pulau Jamaica serta wawasannya, Octave dan Theo menggambarkan dunia imaginasi Bob Marley dengan cara yang sangat merangsang cerminan diri.
“Dari sejarah perhambaan dan Jamaica, budaya Rastafarian dan tokoh-tokoh kulit hitam seperti Haile Selassie, Marcus Garvey dan Malcolm X, hingga sejarah kehidupan peribadi Marley sendiri, kami membawa penonton melalui perjalanan alegori dan perlambangan,” terang Octave dan Theo.
Permulaan animasi bermula dengan penampakan Singa Rasta yang berjalan garang. Kemudian menjemput penonton masuk ke dalam gitar milik Bob Marley, satu metafora visual yang menggambarkan bagaimana minda Bob Marley dan minda kita boleh berada dalam suatu pencarian ‘penebusan’.
Lukisan falsafah Rastafarian turut kelihatan dominan. Ia elemen penting dalam naratif animasi ini yang menghargai alam sekitar, bumi pertiwi & tanah air.
Di era digital ini, Bob Marley tetap menjadi salah satu seniman agung yang merentasi lapisan generasi. Tidak ramai artis yang berupaya melawan penindasan dan penistaan melalui cara muzik seperti dia. Pengaruh dan legasi muziknya akan terus berkembang mekar. Membawa mesej cinta, manusiawi dan keadilan. Sentimen yang penting bagi kita sebagai makhluk ciptaan tuhan.
Apa pandangan anda?