Hatta Dolmat sebagai juri tetap bagi rancangan fesyen terbaru – Glam ke TengGlam
Glam ke Teng’Glam adalah program televisyen bertemakan fesyen dan kritikan pertama di saluran AwesomeTV mulai Februari ini. Rancangan ini disasarkan tontonannya untuk penggemar fesyen di Malaysia.
Pereka fesyen tempatan, Hatta Dolmat terpilih sebagai salah seorang daripada juri tetap sepanjang program ni bersiaran. Glam ke Teng’Glam sudah memulakan sesi rakaman musim pertama sejak awal Januari 2020 lagi.
Glam ke Teng’Glam akan dihoskan oleh ikon fesyen dan artis versatil, Awal Ashaari. Awal dan Hatta juga akan digandingkan bersama ikon TV Malaysia yang terkenal di era 90an, Datin Sharifah Shawati sebagai panel juri tetap dalam mengulas gaya selebriti tempatan.
Glam ke Teng’Glam bakal digamatkan lagi dengan kehadiran bintang-bintang dan selebriti tanah air yang pastinya akan menerima komen eksklusif mengenai penampilan serta gaya mereka di kaca TV.
“Peranan saya untuk ‘Glam ke TengGlam’ sebenarnya adalah untuk menghentam selebriti yang dijemput!” – Hatta Dolmat
“Sebagai pereka fesyen yang sudah lama bertapak dalam industri, penyertaan saya dalam rancangan ‘Glam ke Teng’Glam’ ini adalah satu cabaran yang hebat tetapi ia memang memberikan saya satu pengalaman yang benar-benar bermanfaat untuk kerjaya saya.
Saya dapat berkongsi pendapat saya mengenai gaya fesyen selebriti tempatan dan dapat juga mengenali mereka dengan lebih rapat serta mengenal pasti gaya yang menjadi pilihan peribadi mereka,” ujar Hatta Dolmat.
Tambahnya lagi, “Saya enggan menggunakan istilah mengkritik sepanjang program ini berlangsung. Justeru saya cuba yang terbaik dalam memberikan komen dan nasihat yang bernas berdasarkan pengalaman saya berkecimpung di dalam industri selama 15 tahun.”
Dengan pelbagai kejayaan dan pengiktirafan, Hatta memenangi banyak anugerah fesyen di dalam dan luar negara. Kebolehan dia mereka-cipta aneka jenis busana permaidani merah, sememangnya menjadi pilihan ideal dalam memilih Hatta Dolmat sebagai juri tetap.
“Saya menyedari terdapat kesukaran bagi setiap individu dalam menzahirkan imej dan penampilan terbaik mereka setiap hari. Oleh itu, dengan bantuan saya dan Datin Sharifah Shawati, tugasan untuk memberi dan berkongsi tip menjadi lebih mudah,” tuntasnya.
Dengan persetujuan pihak produksi Glam ke Teng’Glam, Hatta mendedahkan beberapa selebriti yang diundang untuk setiap episod di laman media sosialnya. Mereka adalah Ungku Ismail Aziz, Sazzy Falak, Nana Mahazan, Azrel Ismail, Ummi Nazeera dan ramai lagi.
Glam ke Teng’Glam akan ditayangkan di @AWESOMETV mulai Februari 2020 ini.
Apa pandangan anda?