“Halston selalu buat parti di rumahnya. Ada live jazz. Elizabeth Taylor kadang-kadang akan datang. Liza Minnelli selalu akan tiba-tiba bangkit menyanyi. Dan kami juga akan turut menari menyarung sandal Halston. Kami digelar Halstonettes sebab kami suka menari dan menyanyi di parti Halston.”
Pat Cleveland
Begitulah yang diujarkan Cleveland, model yang menjadi confidante kepada pereka fesyen Halston dalam temubualnya bersama The Cut. Sesiapa yang sudah menonton siri terhad lima episod Halston di Netflix pasti perasan akan budaya yang dicipta oleh Halston di mana-mana sahaja dia pergi – dia akan mengelilingi dirinya dengan model-model, teman-teman rapat dan wanita-wanita yang dianggap sebagai confidante nya seperti liza Minnelli dan Elsa Peretti.
Antara teman-teman model yang seangkatan dengan Cleveland termasuklah Naomi Sims, Heidi Goldman dan Anjelica Huston (sekadar menyebut beberapa nama yang sering membontot Halston ke mana sahaja dia pergi). Halston sememangnya sukakan dunia glamor dan perhatian. Artikel yang ditulis dalam Elle menyebut bahawa Halston adalah the original influencer. Mengapa? Kerana dia telah pun buat apa kita semua buat dalam media sosial hari ini di era 60-an lagi.
Kelilingi diri dengan wanita-wanita cantik atau teman-teman yang nampak hebat, ada posisi dalam society di tempat-tempat yang betul seperti parti-parti sosial, majlis gala atau Studio 54 (waktu itu). Pastikan ada jurugambar yang merakamkan aksi-aksi kamu bersama atau bawa jurugambar khas untuk tujuan ini. Sebarkan gambar-gambar itu di suratkhabar atau majalah (waktu itu kerana tiada media sosial). Whoalahhhh… kamu akan menjadi insan paling terkenal di Amerika.
Pengalaman Halstonettes
Kata Cleveland lagi kepada WWD, “Kata-kata biasa yang kita gunakan waktu itu ialah ‘Oh Dah-ling, you’re divine‘. Kata-kata biasa yang dilantunkan orang fesyen. Tetapi ia sesuatu yang bagus. Ia kata-kata spiritual. Because it was divine.
He was guided by his inner light and very protective of all of us and very generous with all of us, and that was kind of divine in its own way.”
Halston benar-benar sayangkan Halstonettes dan dia memang benar-benar menjaga mereka sebaiknya. Memberi peluang pekerjaan, memberi kasih sayang, menghantar orkid ke rumah mereka dan mereka sering melepak bersama-sama waima di parti atau sekadar di rumahnya di Manhattan atau di Montauk.
Kata Cleveland lagi, “Kami sepertikan satu keluarga. Andy [Warhol] akan datang ke Montauk dan kita akan duduk di lantai dekat dengan TV dan tonton filem hantu seperti The Blob. Kita macam anak-anak dan Halston akan duduk di chaise loungue nya sambil menghisap rokok. It was so wonderful.”
Halston juga akan membawa kelompok model-model Halstonettes yang sama biar ke mana pun dia pergi untuk mementaskan koleksi nya baik di sekitar Amerika, Paris atau hingga ke Great Wall of China. “Karavan limosin akan membawa kami ke Philadelphia, Chicago, Hollywood, Las Vegas — seluruh Amerika memakai Halston Ultrasuede. Suitcase kami akan dipenuhi dengan helaian-helaian sepadan. Kita macam pasukan bola,” kata Cleveland lagi.
Gianni Versace Juga Gunakan Strategi Yang Sama di Era 80-an
Setelah menonton Halston, barulah saya perasan bahawa Gianni Versace juga menggunakan strategi yang sama di era 80-an bersama supermodel nya. Naomi, Christy, Linda, Carla dan Cindy. Dia juga sering menghabiskan masa bersama mereka menghadiri parti, di belakang pentas selepas pertunjukan fesyen atau sekadar di majlis-majlis makan malam.
Versace akan memberi helaian-helaian Versace kepada supermodel ini dan mereka akan memakainya ke majlis-majlis sekaligus mempromosikan jenama ini ke mata dunia. Begitulah konsep sama yang diaplikasikan oleh Versace. Mungkin mereka melakukannya atas sebab kasih sayang dan mencipta dunia mereka sendiri yang mereka rasakan selamat dan bebas daripada hukuman dan kata cerca.
Ya, kerana baik Halston mahupun Versace – mereka adalah gay dan berbeza jika diletakkan dalam norma masyarakat (terutama sekali di era mereka), maka mereka lebih suka mengelilingi diri mereka dengan insan-insan yang memahami diri mereka. Yang boleh memberi persekitaran yang mereka rasakan selamat tanpa sebarang prejudis. Kerana apa yang mereka mahu hanyalah untuk mengetengahkan bakat dan kebolehan mereka ke mata dunia, berkongsinya untuk memberi keindahan kepada dunia.
Jika mereka tidak mengelilingi diri mereka dengan insan-insan yang benar-benar faham, amat mudah untuk orang menghancurkan visi dan cita-cita mereka tidak mengambil kira lagi yang akan dengki dan mahu menjatuhkan mereka. Mungkin daripada situlah wujudnya Halstonettes dan Versace’s girls.
Apa pandangan anda?