Posted on January 20, 2020
Putera Harry dan Meghan Markle tinggalkan istana untuk kehidupan yang lebih berdikari
Semasa Putera Harry dan isteri, Meghan Markle mengumumkan mereka bakal ‘meninggalkan’ keluarga di-Raja British, terdapat banyak persoalan dan kekeliruan yang turut ditinggalkan. Apa dan kenapa semua ini terjadi? Apa implikasi sosial dan kesannya terhadap pasangan di-Raja yang baru sahaja menimang cahaya mata pertama ini.
Apakah gelaran Duke dan Duchess of Sussex (Adipati Sussex) masih lagi sah buat mereka? Di mana mereka akan menetap? Bagaimana Harry dan Meghan bakal menjana ekonomi mereka sendiri? Sampai-sampai media-media barat, khususnya media United Kingdom menamakan insiden di-Raja yang jarang berlaku ini sebagai “Megxit” (seperti Brexit) untuk menggambarkan betapa pentingnya isu ini dalam lipatan sejarah United Kingdom.
Nampaknya Ratu Elizabeth II tak tinggal duduk diam. Baginda mengeluarkan warkah berkenaan isu yang melibatkan cucu jantan kedua kesayangannya itu. Pada 18 Januari, baginda menitahkan yang Putera Harry dan Meghan Markle masih lagi menjadi sebahagian ‘ahli tersayang dalam keluarga’ mereka, namun menurut perutusan rasmi Istana Buckingham, Putera Harry dan Meghan tidak lagi memegang status HRH (His/Her Royal Highness).
“Mengikut persetujuan jemaah dan persidangan selama berbulan-bulan, sukacitanya beta berkenan bagi mencapai persetujuan bersama untuk kaedah dan sokongan yang wajar dilaksanakan demi cucu lelaki beta dan keluarganya,” titah baginda di dalam warkahnya.
Baginda juga memberi pesanan ringkas, ‘cabaran’ yang mereka (Harry dan Meghan) bakal hadapi dek pengawasan (liputan media) akan menjadi lebih hebat. Ratu Elizabeth II turut mengucapkan semoga berhasil ‘membina kehidupan baru yang bahagia dan sejahtera’ dan mengucapkan terima kasih kepada Putera Harry dan Meghan atas kerja-kerja dan sumbangan di-Raja yang pernah mereka lakukan sepanjang dua tahun kebelakangan.
Istana Buckingham turut mengeluarkan perutusan rasmi berkenaan isu ini, “Adipati Sussex amat berbesar hati terhadap keputusan Baginda Ratu dan keluarga di-Raja British untuk sokongan penuh yang mereka terima bagi menempuhi babak baru dalam kehidupan mereka”.
Istana menerangkan dengan restu dari Baginda Ratu, Putera Harry dan Meghan akan terus memegang jawatan penting sebagai penaung untuk beberapa organisasi dan persatuan di bawah kendali mereka sebelumnya. Mereka akan tetap meneruskan “nilai-nilai Baginda Ratu”, walaupun Harry dan Meghan tidak lagi mewakili istana secara rasmi.
Jadi, apa lagi yang akan berubah? Perubahan terbesar yang bakal dikorbankan Harry dan Meghan adalah melepaskan status HRH mereka, meskipun tetap mengekalkan (dengan restu Baginda Ratu) gelaran Adipati Sussex. Ini bermaksud, segala urusan berkaitan Sussex masih lagi rasmi dan pasangan ini dapat mengekalkan nama mereka di beberapa yayasan kebajikan.
Putera Harry turut mengundurkan diri daripada berkhidmat dalam Tentera di-Raja British mewakili Ratu Elizabeth II, termasuk segala khidmat di-Raja dan pelantikan dalam tentera.
Ketika Putera Harry dan Meghan mula-mula mengumumkan pengunduran mereka dari Istana Buckingham, mereka menjelaskan bahawa mereka akan membahagikan masa antara Eropah dan Kanada. Pasangan di-Raja kontroversi ini juga mengesahkan akan terus menetap di Frogmore Cottage (kediaman rasmi Adipati Sussex) apabila berada di UK.
Sehingga kini, Putera Harry dan Meghan menerima kebanyakan pendapatan mereka dari ayahanda, Putera Charles. Selama ini, Putera Charles banyak membantu dari sudut kewangan, baik projek awam mahupun projek peribadi anakandanya, Putera Harry.
Pasangan ini tidak mendedahkan sebarang perancangan kewangan untuk kehidupan merdeka mereka, selepas berundur daripada menjadi sebahagian ahli anggota keluarga di-Raja British, walaupun sudah tidak layak menerima sebarang dana atau pendapatan awam dari kerajaan, lapor Istana Buckingham.
Apa pandangan anda?