Posted on December 21, 2020
sogumm, namanya cukup sinonim di dalam music scene hip hop dan R&B di Korea serta turut dikenali kerana keunikan stail muziknya. Soloist yang sudah bertapak di dalam industri muzik Indie Korea semenjak 2015 ini, mula menjadi sebutan setelah berjaya memenangi program survival projek mencari bakat, <Signhere>, anjuran syarikat muzik AOMG tahun lalu. sogumm menang dan terus ditarik menyertai syarikat tersebut langsung menjadi wanita kedua selepas Hoody untuk bernaung di bawah AOMG ini.
sogumm memiliki karakter vokal unik serta mempunyai paten suara yang jarang kita dengar dalam muzik massa di Korea. Jika kamu dengar muziknya, kami yakin ia mampu membuatkan kamu rasa dibuai mimpi, membenarkan dia mencipta suasana yang cukup menenangkan untuk kita sebagai sang pendengar. Dia baru sahaja merilis lagu duet bersama 10CM berjudul ‘Encourage’, antara lagu kegemaran kami bulan ini. Lebih istimewa apabila STAIL.MY diberi peluang untuk menemu bual wanita ini secara eksklusif . Ikuti temubual kami, bercerita tentang diri serta perjalanan muziknya.
1- Sila perkenalkan diri kamu.
Hello. Saya sogumm. Selamat berkenalan.
2- Boleh ceritakan kepada kami makna di sebalik nama pentas kamu, ‘sogumm’?
sogumm dalam bahasa Korea bermakna garam dan saya memilih itu sebagai nama pentas saya kerana bunyinya seakan sama dengan nama Korea saya, ‘So-Hee’.
3- Bagaimana kamu menggambarkan stail muzik kamu?
Agak susah untuk saya menggambarkan stail saya dalam satu ayat. Malah, saya juga sebenarnya masih belum betul-betul mengenali diri saya. Dan saya rasa saya masih lagi berada dalam proses untuk mengenali serta belajar untuk mengekspresikan diri saya ini.
4- Jika kami boleh tahu, apa yang menjadi inspirasi untuk kamu dalam menghasilkan muzik? Apakah lagi benda lain selain muzik yang memberi inspirasi dalam hidup kamu?
Saya suka melihat lukisan serta struktur arkitek sesuatu binaan, perkara inilah yang banyak memberi inspirasi dalam muzik saya. Dan selain daripada itu, saya juga banyak mendapat inspirasi daripada orang sekeliling saya. Jenis muzik yang mereka dengar serta apa yang mereka suka lakukan, orang yang rapat dan sering berkongsi memori dengan saya, mereka ini turut memberi impak kepada muzik saya.
5- Kamu menang program mencari bakat <SignHere> anjuran AOMG tahun lalu. Apakah tentang mereka yang membuatkan kamu ingin bernaung di bawah syarikat muzik ini? Adakah kamu memiliki visi yang sama dengan mereka daripada segi muzik?
Ia bukanlah tentang stail tertentu yang membuatkan saya ingin bekerja dengan mereka, tetapi adalah kerana saya ini peminat artis AOMG. Mereka mempunyai visi yang sama dengan saya, iaitu adalah lebih wajar jika seseorang pemuzik itu disukai oleh ramai orang. Oleh kerana itu, saya rasa lebih baik bekerjasama dengan mereka kerana daripada situ saya dapat belajar menangani segala kekurangan saya.
6- Baru-baru ini kamu telah merilis ‘Encourage’ duet bersama 10CM. Boleh kamu ceritakan pada kami proses lagu ini dan apakah mesej yang cuba kamu sampaikan?
Saya tidak pernah bekerja di dalam suasana pejabat, jadi saya tidak berpeluang untuk merasai kesusahan yang dialami pekerja pejabat saban hari. Walaubagaimanapun, ada kawan-kawan saya yang bekerja seperti ini, dan setiap kali mereka berjumpa saya, mereka akan bercerita segala cabaran dan kesusahan yang dialami mereka setiap hari. Dan setiap kali mereka meluahkan pada saya, saya terdetik mahu menaikkan kembali semangat mereka. Setiap perkongsian mereka itulah yang membuatkan saya terinspirasi untuk menulis lagu yang khas didedikasikan buat mereka yang penat dengan kehidupan. Saya tulis lagu ini kerana mahu memulihkan semangat mereka. Bukan itu sahaja, saat merakam lagu ini, saya cuba sehabis baik untuk menyampaikan nyanyian saya itu dengan cara seperti saya bercakap dengan teman-teman rapat saya ini. 10CM pula menambahkan versinya ke dalam lagu ini setelah saya tamat merakam bahagian saya. Boleh dikatakan, keseluruhan proses berjalan dengan amat lancar dan saya sememangnya peminat 10CM.
7- Kamu telah melakukan banyak kolaborasi menakjubkan bersama penyanyi di Korea. Siapa lagi yang menjadi impian kamu untuk berkolaborasi?
Saya sebenarnya banyak bekerja dengan barisan pemuzik hip hop sehinggalah kini. Dan sekarang saya bernaung di bawah AOMG, saya ingin teroka pelbagai lagi jenis genre lain untuk muzik saya. Dan saya bersyukur kerana kini saya berpeluang untuk mencabar diri saya. Jika boleh, saya mahu berkolaborasi bersama Chang Kiha, kerana dia memiliki stail muziknya yang tersendiri, begitu juga dengan OHHYUK, saya ingin bekerjasama sekali lagi dengannya.
8- Akhir kata, ada pesanan buat peminat kamu di Malaysia?
Hai semua! Saya tahu COVID-19 telah membantutkan banyak perkara menakjubkan dalam perjalanan hidup kita tahun ini namun saya berharap kamu semua dapat merasa lebih terdorong melalui single terbaru saya berjudul ‘Encourage’. Dan jangan lupa untuk terus ikuti perkembangan kerjaya seni sogumm! Terima kasih!
Penyelaras: Will Kim / MAXPERIENCE (MPE) / www.maxperience.asia
Apa pandangan anda?