Posted on December 18, 2019
Mira Filzah ditipu Ungku Ismail? Alahai kasihannya Mira… sampai hati Ungku Ismail buat bintang kesayangan ramai macam itu? Peminat-peminat Mira jangan marah-marah dahulu ya, memang Ungku Ismail ada menipu dan berkasar kepada Mira tetapi itu demi menjayakan watak dalam drama terbaharu mereka, ADELLEA SOFEA.
Selain Mira Filzah yang memegang watak Adellea Sofea dan Ungku Ismail sebagai Alif Firdhaus, drama arahan Sharulezad Mohameddin terbitan Radiusone Sdn Bhd ini turut membariskan bintang lain seperti Jasmine Suraya Chin, Josiah Hogan, Bella Dally, Fazlina Ahmad Daud, Fizo Omar, Roy Azman, Kazar Saisi dan ramai lagi.
Drama ini mengisahkan mengenai Adellea Sofea, seorang pensyarah berkelulusan Ijazah Sarjana yang amat selektif dalam memilih calon suami. Sofea yang mempunyai ramai pengikut di laman sosialnya sering memuat naik kata-kata mutiara dan video penuh motivasi dalam memberi panduan bagaimana untuk memilih pasangan yang baik untuk wanita.
Dalam diam, Sofea sedang berkawan dengan Alif Firdhaus (Fir) yang dikenalinya di medium media sosial selama dua tahun. Sofea tertarik dengan Fir kerana Fir sering memuat naik videonya bermain gitar dan seringkali juga dia tujukan video khas untuk Sofea. Hanya melalui kata-kata yang Firdhaus kongsikan dalam media sosial, Sofea menyimpulkan yang Firdhaus datang dari keluarga yang bahagia.
Secara tak langsung, Adellea Sofea berpendapat Alif Firdhaus adalah lelaki yang sempurna untuk menjadi suaminya.
Tanpa Sofea ketahui, Firdhaus menyimpan satu rahsia. Perkenalan dengan Dr. Fauziah (Fazlina Ahmad Daud) membawa Sofea ke rumah keluarga Firdhaus yang dikejutkan dengan kepulangan Firdhaus secara tiba-tiba. Sejak itu, perhubungan mereka semakin serius.
Namun adik Firdhaus iaitu Ilya (Bella Dally) tidak bersetuju. Ilya menyimpan dendam pada Fir, kerana ibu bapanya, lebih-lebih lagi Dr. Fauziah sering menyebelahi abangnya berbanding dirinya.
Apakah rahsia yang disimpan Firdhaus sehingga adiknya sendiri membenci dirinya? Adakah tepat pilihan Sofea memilih Firdhaus sebagai suami hanya dengan menilai secara luaran? Saksikan kesudahan Adellea Sofea, drama 28 episod ini di slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam, hanya di TV3!
Apa pandangan anda?