Posted on March 25, 2020
Pandangan pertama zombi di dalam Peninsula yang lebih ganas!
Peninsula adalah filem kedua kepada filem zombi mendunia dari Korea Selatan, ‘Train To Busan’ (2016).
Walau bagaimanapun menurut ScreenDaily, pengarah Yeon Sang-ho tidak berhasrat untuk menamakan ‘Peninsula’ sebagai “filem sekuel rasmi” kepada filem virus yang sangat terkenal itu.
Ini kerana filem ini mengambil tempat empat tahun selepas kejadian ‘Train To Busan’, masih di dalam semesta sinema yang sama, tetapi ia tidak meneruskan sambungan cerita dan memiliki watak yang berbeza.
Kerajaan tidak lagi berfungsi dan negara sudah hancur selepas jangkitan wabak mulai tersebar seluruh Semenanjung Korea. Tidak ada yang tersisa kecuali sifat geografi lokasi. Itulah sebabnya filem ini dinamakan sebagai ‘Peninsula’ (Semenanjung). Ia satu kenyataan politik.
Skala ‘Peninsula’ tidak dapat dibandingkan dengan ‘Train To Busan’, menjadikannya kelihatan seperti sebuah filem bebas yang berlainan. ‘Train to Busan’ adalah filem konsep yang tertumpu dan berlaku dalam ruang yang sempit (hanya di dalam keretapi). Manakala ‘Peninsula’ mempunyai ruang lingkup pergerakan yang lebih luas.
Namun idea untuk membina filem yang berkonsepkan pasca-kiamat, yang akan menjadi kejam-sekejamnya, menarik perhatian saya. Ia tidak seperti siri drama zombi ‘Kingdom’ yang mengambil konsep zaman dahulukala, ‘Peninsula’ lebih seperti kehancuran zaman moden dengan peraturan-peraturan tersendiri.
Mungkin ada lebih banyak cerita yang boleh terjalin dan berlaku dari dalam dunia itu. Malapetaka, kehancuran dan kebinasaan yang melampau-lampau, tetapi masih berbalut dengan harapan dan manusiawi. Mungkin terdapat lebih banyak makna yang lebih besar daripada filem pertama, ‘Train To Busan’.
‘Peninsula’ menyoroti pemeran utama, Gang Dong-won selaku bekas askar yang berjaya keluar dari Semenanjung Korea yang tercemar. Dia kemudiannya kembali bersama sepasukan askar khas dalam misi untuk mendapatkan “sesuatu”. Dia harus masuk melalui Perlabuhan Incheon untuk sampai ke Seoul.
Di pelabuhan ini, dia bertemu dengan ramai manusia yang masih terselamat dan belum lagi bertukar menjadi zombi. Pelakon wanita ‘The Battleship Island’ (2017), Lee Jung-hyun adalah salah seorang yang terselamat itu, bersama pelakon kanak-kanak, Lee Re.
Menurut ScreenDaily, penggambaran ‘Peninsula’ mengambil masa hanya selama 62 hari dalam tempoh tiga bulan, bermula Jun 2019. Yeon Sang-ho selaku pengarah merujuk kepada filem-filem pasca-kiamat terkenal yang lain seperti ‘Mad Max 2’, ‘Mad Max: Fury Road’, ‘The Road’ dan ‘Land of the Dead’, juga komik-komik manga seperti ‘Akira’ dan ‘Dragon Head’.
Peninsula dijadualkan tayangan di seluruh dunia pada musim panas 2020.
https://youtu.be/xhNwhL58c9E
Apa pandangan anda?