SEARCH

Mengejar Fluidity, Membiar Dunia Mengalir & Tidak Menindas

Mengejar Fluidity, Membiar Dunia Mengalir & Tidak Menindas

fluidity

Dua minggu lamanya saya di Eropah. Bermula dengan empat hari di London, sembilan hari di Basel, Switzerland dan sehari lagi di London transit sebelum kembali ke tanah air. Saya tidak pack seluar langsung untuk pemergian saya kali ini. Ya hampir kesemua seluar saya sudah saya lipat baik-baik dan simpan dalam gerobok, bukan bergantungan menanti dipakai lagi. “Buat masa ini. Buat fasa ini yang saya tak pasti sampai bila akan bertahan,” jawab saya pada teman yang bertanya sampai bila saya akan berskirt sahaja untuk gaya harian.

Sekembalinya saya ke pejabat Isnin lalu, Ardi menunjukkan pada saya gambar Jaden Smith yang menyarung skirt suit lewat dua tahun lalu. Ya Jaden sudah memakainya dua tahun lalu. Nampaknya ia bukan lagi perkara luar biasa. Jaden yang ditanya majalah Nylon waktu itu akan sebab dia memakai skirt dan dress jawabnya adalah supaya budak lelaki generasi akan datang tidak akan dibuli sekiranya mereka memakai skirt atau dress.

Saya setuju sangat dengan tindakan dan keputusannya itu kerana jika tiada perintis yang berani menunjukkan dalam isu-isu begini apalagi sekiranya dia itu seorang selebriti atau orang ternama, maka selamanyalah dunia akan tersekat dan tidak dapat menerima. Sedangkan kita tidak dapat menolak bahawa dunia terdiri daripada kelompok ini. Kelompok yang berpakaian tidak terbatas gender. Kata Jaden lagi, “I’m taking the brunt of it so that later on, my kids and the next generations of kids will all think that certain things are normal that weren’t expected before my time.”

Fikir saya juga, dari mana pun datangnya ketetapan bahawa skirt hanya untuk wanita dan seluar hanya untuk lelaki.

Jaden juga terpilih sebagai wajah kempen Louis Vuitton womenswear Spring/Summer 2016. Womenswear ya. Betapa dunia sudah terbuka dengan isu ini yang bukan isu pun sebenarnya. Jadi daripada pengalaman saya di London dan Basel, masyarakat di sana langsung tidak memandang pelik kala saya berjalan di luar atau di dalam dewan dagang besar tempat Baselworld 2018 berlangsung. Orang di London terutama sekali langsung tidak hairan akan penampilan saya. Bagi saya ini bukti ketamadunan mereka yang sudah lama bertapak dalam dunia.

Mereka lebih terbuka dan bisa menerima apa juga jenis manusia yang ada di sekeliling mereka kerana pada mereka kita manusia harus saling menerima, membantu, mengasihi dan tidak menghakimi apalagi menindas sesama manusia. Banyak juga teman-teman di sini yang pelik saat saya mula-mula memakai skirt untuk gaya harian. Ada pula yang sungguh square menganggap saya sedang dalam proses trasitioning menjadi perempuan.

Tetapi jawapan saya pada mereka semua tetap sama. Saya hanya meraikan stail dan fesyen. Tiada langsung niat menjadi perempuan. Sebaliknya saya hanya bersandarkan pada perubahan dunia fesyen global yang semakin terbuka dan terarah lebih fluid. Fikir saya juga, dari mana pun datangnya ketetapan bahawa skirt hanya untuk wanita dan seluar hanya untuk lelaki. Tiada sesiapa pun yang boleh memberitahu dari mana datangnya peraturan-peraturan kolot dan di bawah tempurung ini?

BIARKAN DUNIA MENGALIR & JANGAN MENINDAS

Beginilah saya lihat dunia fesyen hari ini. Banyak pengarah kreatif rumah-rumah fesyen dunia semakin mengejar fluidity. Mereka lebih senang melihat rekaan mereka mengalir, fluid, tiada lagi batasan gender dan boleh dipakai semua. Ya saya tahu kebanyakan mereka mahu menjual dan membuat untung tetapi bagi saya, ini juga cara terbaik untuk melihat dunia yang lebih aman. Mungkin banyak yang lupa bahawa dalam dunia hari ini kepelbagaian manusia itu sangat luas. Dengan adanya media sosial dan peningkatan dalam penggunaan alam maya, manusia hari ini bisa menjadi apa pun.

Terlalu banyak rujukan dan pengaruh yang boleh didapati di hujung jari. Manusia tidak lagi tersekat kepada batas norma. Atau tersekat dengan pandangan masyarakat setempat. Dahulu misal kata, kita di Malaysia hanya akan dapat melihat pengaruh luar sekiranya kita berpeluang ke luar negara. Tetapi hari ini tidak lagi. Apa pun yang berlaku di mana-mana ceruk dunia sekalipun, kita bisa menyaksikan. Waima dari laman Instagram, twitter, facebook atau internet. Saban hari kita disogokkan dengan berita dan kejadian dari seluruh dunia.

Sekiranya kita semua memahami fenomena ini (tentulah generasi milenial tiada masalah dalam hal ini kerana merekalah perintis atau generasi teraju alam terbuka), tentu tiada masalah kita menerima apa jua bentuk perubahan atau karakter atau personaliti manusia lainnya. Dan daripada keterbukaan dan penerimaan ini saya kira harus pula menjurus kepada sekuelnya iaitu terhapusnya penindasan. Daripada penerimaan, percayalah kita tidak akan lagi senang menghakimi apalagi menindas.

Ya saya hanya mahu menyedarkan kamu semua wahai pembaca bahawa dunia hari ini sudah semakin terbuka dan menerima. Lantas menolak sesiapa atau apa pun yang menindas dan menghukum kerana saya kira dunia semakin sedar bahawa kita sebagai manusia harus saling mengasihi dan menyokong sesama sendiri.

Begitulah sama keadaannya seandainya kita semua percaya pada Tuhan. Keterbukaan menerima dan percaya pada Tuhan seharusnya menyedarkan kita bahawa setiap apa pun yang terjadi dalam dunia ini adalah atas kehendak Nya. Dia yang Maha Pencipta. Dia yang Maha Penentu segalanya. Semua kejadian itu adalah kerana Dia yang memahukannya sebegitu. Jadi apa lagi kata hujah yang boleh kita fikirkan untuk tidak menerima, membantah, menghakimi atau menindas sesama kita? Kata kuncinya ialah MENERIMA secara TERBUKA selagi sesuatu itu tidak memusnahkan dan membawa mudarat. Apa salahnya jika kita menerima?

Dunia sudah pun sedar, terbuka dan menerima. Jika tidak masakan wujudnya gerakan-gerakan seperti #metoo dan #timesup yang memperjuangkan kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta memperjuangkan pemansuhan penindasan. Seluruh industri Hollywood bersungguh-sungguh mengangkat tema ini dalam acara anugerah dan sebagai tema filem. Rata-rata mereka bersatu dan bersepakat memperjuangkannya dan menolak sesiapa yang tidak setuju.

Dalam dunia fesyen pula kita melihat bagaimana satu individu dengan satu langkah yang silap terbuka bersikap perkauman diselar dan dikorek pula kenyataan-kenyataan lama yang pernah diutarakannya sehingga terkini dia terpaksa menjual sahamnya dalam syarikat dan jenama sendiri dan tidak diterima lagi kebanyakan jenama. Ya saya hanya mahu menyedarkan kamu semua wahai pembaca bahawa dunia hari ini sudah semakin terbuka dan menerima. Lantas menolak sesiapa atau apa pun yang menindas dan menghukum kerana saya kira dunia semakin sedar bahawa kita sebagai manusia harus saling mengasihi dan menyokong sesama sendiri. Bukan apa, untuk dunia yang lebih harmoni. Rugi lah kita kalau tidak menyedari ini dan mengubah persepsi diri. Apa lagi jika persepsi itu yang kolot dan tidak terkini. Apa kata ayuh kita semua cuba dengan langkah pertama yakni lebih memahami.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE