SEARCH

Nala Raya Untuk Mereka Yang Cintakan Cetakan Tradisi

Nala Raya Untuk Mereka Yang Cintakan Cetakan Tradisi

nala raya

Pagi 1 Mei 2019, Nala House di Bangsar meriah sejak awal pagi lagi. Lagu rancak berkumandang memeriahkan suasana. Beberapa peniaga sudah pun bersedia di sebalik meja-meja jualan. Di tengah-tengah jalan menuju ke kedai jualan Nala Design (yang asalnya bangsal) tersusun patung-patung menyarung helaian-helaian Nala Raya. Cantik, manis dan lembut warna-warna yang digunakan. Sesuai sungguh buat beraya, terdetik di hati. Saya pula memang alah dengan cetakan indah Nala Design, hati saya mudah terpaut pada helaian-helaian mereka. Cetakan-cetakan mereka walaupun moden dan lebih terarah grafik, namun elemennya diambil daripada corak tradisi Melayu. Kerana itu ia terlihat begitu istimewa dan eksklusif.

Lisette Scheers, pengarah kreatif dan pengasas Nala ke hulu ke hilir di halaman Nala House menyiapkan urusan-urusan terakhir. Dia cantik menyarung top kebaya merah jambu lembut dipadan bersama sarung kebaya hijau terang bunga besar. “I want that sarung,” kata saya padanya. Dia tersenyum manis sambil melirikkan matanya ka arah kedai jualan di dalam. Saya faham maksudnya. Sudah ada beberapa wanita di dalam kedai jualan. Saya kira mereka semua pelanggan tetap Nala. Ada dua wanita Inggeris juga sedang menyelak-nyelak helaian yang tergantung di railing. Suasana hingar dengan wanita-wanita ini sibuk bertanya harga dan mahu mencuba helaian yang dipilih.

 

 

nala raya
Padanan sempurna sarung bercorak bunga pada cawan porselin bersama top kebaya putih selesa

 

nala raya

KOLEKSI RAYA NALA BERTEMA BUDAYA MINUM TEH & KOPI

Hari pertama bulan Mei itu juga menandakan hari pertama Nala menjual helaian-helaian Rayanya. Budaya minum teh dan kopi masyarakat Malaysia menjadi tema kepada koleksi Raya kali ini. Berasal daripada budaya pedagang-pedagang seluruh dunia yang belayar ke pelabuhan Malaysia suatu ketika dahulu, mereka kebanyakannya suka berehat dan minum di kopitiam. Daripada kisah ini Lisette mendapat inspirasi. Corak bunga pada cawan porselin dijadikan corak pada sarung dan baju kurung. Ada juga yang mengambil tema corak kekisi dan jubin di kopitiam. Lisette senang menamakan koleksi ini sebagai ‘Kopi Teh’.

“Diilhamkan daripada persekitaran saya sama ada alam semula jadi, senibina atau khazanah warisan negara ini seperti kedai kopitiam dan budaya menikmati teh daripada teh tarik, teh masala hinggalah cha, setiap corak saya mempunyai cerita tersendiri. Nala membawakan corak kontemporari dari masa silam. Setiap rekaan tangan punya jiwa yang menarik perhatian semua daripada pelbagai latarbelakang dan tak lapuk dek zaman,” kata Lisette.

nala raya
Corak kekisi dan jubin kopitiam diambil sebagai tema

 

Fabrik pula menggunakan kain kapas ringan yang sungguh selesa. Memang saya sudah mencuba pun sarung daripada koleksi ‘Kopi Teh’ ini. Selesa sepanjang hari walau dalam cuaca panas membahang. Baju kurung (RM399) boleh didapati dalam 8 corak manakala kebaya (RM199) dan sarung (RM299) dijual berasingan supaya mudah disuai padan. Maka, sarung tidak semestinya dipakai bersama top kebaya sahaja bahkan sesuai dipadan bersama kemeja T labuh atau top kurung Kedah misalnya.

nala raya

Pembelian melebihi RM500 daripada koleksi “Kopi Teh”, pelanggan akan menerima set percuma sampul Raya Nala yang direka khas untuk musim perayaan ini. Dapatkan koleksi ‘Kopi Teh’ di Nala House atau di ROBINSONS SHOPPES @ Four Seasons Place dan Bangsar Village II, atau membeli-belah secara dalam talian di www.naladesigns.com dan www.fashionvalet.com.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE