Posted on October 21, 2020
Daripada Burberry ke Fendi… yang mana satu? Tak ada siapa pun merencat niat kamu untuk memiliki beg-beg daripada jenama ini. Ia adalah pilihan kamu. But hear us out :
Kelap-kelip, kelap-kelip, 2020 nak berakhir sudah. Tenaga yang bertimbun, tiada terhabiskan. Ah, sepatutnya mahu berlibur, tetapi apakan daya 2020 tidak mengizinkan. Barangkali, sebetulnya, bukan untuk bermewah namun untuk kepuasan diri. Berbelanja saja atau ‘melabur’ ke atas sesuatu, sebagai satu ganjaran. Makanya, cadangan kami? Miliki beg-beg daripada Burberry, Cartier, Dior dan Fendi yang disenaraikan sebagai ‘must have’ musim ini!
Apalagi dengan kemunculan siri terbaru B Series daripada Burberry, kemudiannya Cartier mengeluarkan beg-beg yang cocok untuk gaya malam kamu, Dior pula menampilkan Saddle makro dan Fendi mempersembahkan himpunan kapsul yang merawat semula ingatan kita pada era glamor Hollywood!
KEMUNCULAN B SERIES OKTOBER BURBERRY
Tidak ada apa yang nak digembar-gemburkan lagi tentang B Series Burberry daripada Riccardo Tisci. Semua sedia maklum sudah dengan perjalanan pelancaran aksesori-aksesori daripada rangkaian B Series Burberry – setiap 17 haribulan, setiap bulan – a monthly drop.
Drop B Series Burberry kali ini adalah sesuatu yang harus dimiliki. Kerana si pengarah kreatif, Riccardo Tisci, pernah memperkenalkan dan memunculkan rekaan terbaru aksesori Burberry – The Olympia Bag. Buat julung kalinya, The Olympia Bag diperlihatkan di atas pentas musim luruh dingin 2020, dengan rekaannya yang cukup ‘bersih’ dan berbentuk sabit atau separa bulat. Bentuk ini diinspirasikan daripada seni bina lokasi pertunjukan Burberry musim luruh dingin 2020 yang lepas, yakni Kensington Olympia di London.
Riccardo rework The Olympia Bag dalam B Series Burberry untuk bulan Oktober. Di mana The Olympia Bag yang baharu ini direka dengan menggunakan material korduroi, disempurnakan lagi oleh kemasan Italian-tanned leather pada bibir poket dan binding. Korduroi dan material kulit… benar-benar mencerminkan estetika beg vintaj ala era 70an!
BEG ‘THE MUST’ DARIPADA CARTIER
Ia mula diperkenalkan 47 tahun yang lepas dan kini, ia muncul kembali! Cartier mengunjungi semula era sukses beg The Must dan membawa balik kenangan pada rona merah kekundangan yang sangat-sangat siginifikan buat beg The Must.
Beg ini dicedok daripada siluet maskulin, dicampurkan dengan estetika klasik pada rekaan beg-beg tradisional. Segala aspek yang dipamerkan pada beg The Must daripada Cartier ini umpama satu peringatan. Peringatannya adalah : hidup yang tak terhambat kebebasannya dan rasa leluasa, yang menggambarkan gaya hidup era 80an! Lantaran itu, ia mengambil siluet maskulin yang dimadukan bersama rekaan tradisional, bagi memanifestasikan ‘rasa bebas’ tersebut.
Untuk kali ini, beg The Must Cartier memelihara keaslian. Namun, pada masa sama rekaannya yang sangat ringkas mencadangkan gaya yang tak lapuk dek zaman. Stail begnya yang memancarkan rekaan relaks, gaya urban, disaingi lagi oleh sifat elegan monokromatik serta androgini, sebetulnya adalah refleksi gaya hidup yang sekarang. Semangatnya sama seperti sewakti ia mula diperkenalkan dahulu, yakni tentang kebebasan hidup.
Beg ini direka menggunakan material kulit bebiri pada bahagian lining dalam, bersama poket rahsia di dalamnya yang terkandung sebuah cermin, yang tergores pangka nama Cartier, Paris, London dan New York.
DIOR MEMPERKENALKAN DIOR OBLIQUE TAPESTRY!
Dalam pada kesempatan orang masa kini cuba menyingkir penggunaan ‘Ladies & Gentlemen’ kerana tidak mahu lagi ada ‘segregrasi’ jantina, kami cuba untuk mengkhususkan beg Dior ini untuk si lelaki sahaja. Apakah kami boleh mengelaskan ia sebagai uniseks? Ya, boleh saja! Rekaannya pun dicedok daripada rangkaian Saddle dan dicocokkan pada himpunan lelaki. Jadi, ya, ia uniseks!
Dalam himpunan lelaki Dior musim luruh dingin 2020, Kim Jones memperkenalkan material baharu, yakni Dior Oblique Tapestry, yang menampilkan efek tapestri atau dewangga. Kim mengilhamkan ia daripada motif Dior Oblique – yang sudah sinonim dengan Dior – dan dia memunculkan idea sulaman pada fabrik wool, sebagai cerminan savoir-faire rumah fesyen Dior.
Dior Oblique Tapestry fabrik wool ini ‘dipadankan’ oleh Kim pada rekaan beg Saddle makro lembut yang bisa disandang ala-ala beg messenger, cross-body mahupun direhatkan atas bahu. Menariknya, beg ini antara yang menambat perhatian kami! Bukan sahaja kerana rekaan Saddle-nya, malah juga sifat uniseks dan praktikaliti-nya. Apakah sewaktu mula-mula melihat beg Saddle lembut Dior Oblique Tapestry ini, ia terus tergolong dalam senarai ‘mesti ada’ STAIL.MY? Hell, yeah.
KOLEKSI KAPSUL FENDI X CHAOS
Siapa CHAOS? Yang berkolaborasi dengan Fendi? CHAOS adalah jenama aksesori yang berpangakalan di London dan ia diasaskan oleh Charlotte Stockdale bersama Katie Lyall. Fendi musim ini menyunting dinamik duo ini sebagai rakan kolaborasi dalam memperkenalkan himpunan kapsul terbaru!
Fendi X CHAOS membariskan himpunan aksesori yang diberi julukan ‘tech jewellery’, dan ia mula diperkenalkan di atas pentas Fendi musim luruh digin 2020 pada bulan Februari lepas – pra-pandemik, sigh. Himpunan aksesori yang dipersembahkan menandakan jalinan hubungan kreatif yang sudah lama terbina antara Fendi dan CHAOS, di mana ia kini didukung oleh Silvia Venturini Fendi, selaku pengarah artistik dalam memarakan terus jenama Fendi.
Apa yang uniknya fasal Fendi X CHAOS adalah estetika rekaannya mengembalikan era glamor Hollywood. Dalam erti kata lain, reimagined old Hollywood glamor dan dicocokkan dengan gaya masa kini. Himpunan kapsul ini memperlihatkan kreativiti Fendi serta CHAOS ‘menggugah semula arkib’ lama, menafaskan rekaan-rekaan berdasarkan sifat tradisional dan dihasilkan dalam rupa atau gaya semasa.
Evening clutches, miniaduere serta cross-body yang hadir menggunakan material logam yang tergores pangkal nama jenama Fendi, material kulit, satin serta disempurnakan lagi oleh butiran perkakasan. Sudah tentu, kolaborasi bersama CHAOS ini tidak mengabaikan nilai seni kraf juga utilitarian elegance yang sudah memekat dalam jati diri Fendi.
Apa pandangan anda?