Posted on November 10, 2020
Nicola Glass menggencat pertunjukan tradisional dan mengadakan presentasi Kate Spade New York musim luruh dingin 2020 dalam konsep siri video. Bukan kerana mahu berundur, tetapi Glass hanya mahu menyederhanakan gaya persembahan himpunannya dan menjinakkan diri untuk sealir dengan dunia digital. Glass tidak lagi berselindung dan menelanjangkan pandangan kita pada proses pembikinan penggambaran look-book.
Bak cereka benar, presentasi Kate Spade New York musim luruh dingin 2020 bermesra dengan audiens. Dipaparkan terus senario di sebalik tabir, membuatkan audiens seperti mengerti bagaimana rupa sebenar rekaan-rekaannya.
Bermain dengan gagasan rimba yang telah disihir, Glass masih tidak goyah daripada inspirasi yang berteraskan alam semula jadi atau taman puspa. Ia dikaitkan lagi dengan konsep rimba urban dan wanita kota yang berjiwa bebas. Rona terang, corak haiwan eksotik, gaya perempuan preppy, motif botani serta renda menjadi perhitungan Glass kali ini.
Beranjak ke musim holiday atau percutian, Glass meneruskan tema preppy dan wanita urban tersebut dalam mendasari himpunannya. Dan sungguhpun dia masih meneguhkan lagi unsur fauna atau margasatwa dalam rekaan-rekaannya, namun bukan botani serta aspek flora yang menjadi fokus. Glass menjadikan haiwan peliharaannya, yakni kucing, sebagai unsur utama dalam himpunan musim holiday atau percutiannya kali ini! Ya, bukan hidupan liar atau eksotik, tetapi haiwan manja yang menjadi kesayangan orang!
Glass turut mengimaginasikan gerombolan perempuan yang datang bertamu ketika musim holiday atau hujung tahun, berhimpun dari rembang petang ke malam. Gerombolan perempuan yang duduk menikmati makan malam mereka, berpesta ria, dengan kantuk yang tidak kunjung tiba. Ditemani lagi sinar lampu berkelip-kelip, mereka meligatkan aksi berdansa seraya masing-masingnya menggayakan helaian-helaian serta aksesori-aksesori daripada Kate Spade New York.
Itulah gambaran yang berbegar dalam kepala Glass.
Bagaimana agaknya menggayakan Kate Spade New York – serba ‘Kate Spade New York’ – sempena musim holiday atau percutian? Nah, tidak payah pun! Dari atas ke bawah ; daripada pakaiannya ke aksesori… semuanya Kate Spade New York. Dalam merealisasikan visi Glass, kami kongsikan #TipStail menggayakan serba Kate Spade New York bersempena musim holiday atau percutian ini. Ayuh!
DISKO FLORA
Menggayakan helaian bercorak botani atau flora tak seharusnya disempurnakan dengan elemen-elemen lembut sahaja. Tidak ada peraturan yang menyempadani penggayaan helaian bercorak botani atau flora. Contohnya seperti dress Rose Garden ini yang bunganya berona panas, dipadankan lagi dengan clutch paten Tonight yang berona deep raspberry terang – rona panas dibalas rona panas. Subang stud Something Sparkly yang berwarna-warni pula bagi melengkapkan tema rona rencaman dan disudahi oleh kasut suede hitam, yang sengaja digayakan untuk mengimbangi keseluruhan penampilan.
NICE GIRL GON WILD
Gaya perempuan preppy but make it… wilder? Say no more! Dress kemeja baldu berona hitam dengan butang berlian daripada Kate Spade New York dipadankan dengan kasut balet pump Honey yang sarat dengan jemeki berkilau-kilau. Berani? Gayanya tidak ‘berhenti’ di situ sahaja. Subang drop candelier yang bergemerlapan turut dipakai untuk menyempurnakan gaya dan clutch parti baldu bercorak kucing pula… well, just to make it look cute. ‘Comel dan liar’, kombinasi baharu untuk perempuan preppy.
TWEED FOR SOIREE?
Tidak ada masalah menggayakan tweed untuk parti malam. Ia bukan hanya untuk bekerja atau nampak profesional sahaja, bukan? Apalagi dress tweed yang ada padanan jaketnya sekali – seperti dress dan jaket embellished tweed Kate Spade New York ini. Lucutkan sahaja jaket dan kamu bersedia untuk parti! Clutch Tonight yang sarat jemeki pelbagai rona serta cincin perak stacks Pretty Kitty dipakai bersama untuk menampakkan kontra dalam penggayaan. Tema kucing – yang terlihat pada cincin – diteruskan lagi dengan penggayaan kasut pump baldu Meow yang juga bermotifkan kucing. Tweed dilagakan bersama aksesori jemeki multi-rona dan corak kucing… sangat berani!
PENCINTA KUCING
Ada apa dengan kucing dan parti malam? Tanya Nicola Glass! Si pencinta kucing pasti mahu, malah tidak segan menggayakan kemeja Cat Dot yang penuh motif kepala kucing daripada Kate Spade New York. Apatah lagi untuk digayakan ke parti malam. Padankan ia bersama seluar krep berona hitam Kate Spade New York, bukan hanya untuk mengimbangi penampilan, namun juga untuk menyerlahkan corak kucing tersebut. Dan bagi meneruskan tema serba hitam, padankan gaya dengan beg tote faux fur Everything yang juga berona hitam. Hmm, seandainya rasa perlu ada tambahan rona lain, sarung gelang stacks multi-rona Adore-ables.
Apa pandangan anda?