Posted on July 17, 2020
TEKS : ARDI IDEWANI PENATA GAYA : COLIN SIM
SOLEKAN : KHIR KHALID FOTOGRAFER : YUNG HUA CHEN
Ada sahaja cara Noor Neelofa atau Neelofa untuk menggegar kekelaman melewati hari-hari perintah kawalan pergerakan, sewaktu berkemelut dengan wabak yang meregut dunia. Di kekosongan ruang itu, Neelofa isi dengan sesi Instagram Live. Berkongsi macam-macam cerita dengan kita. Kongsi ilmu, pengalaman duduk di rumah dan menemu ramah insan-insan ternama. Kalau bukan Instagram Live, dia meronai feed Instagram kita dengan gambar-gambar cantik atau video yang menghiburkan. Neelofa malah bersandiwara dalam drama ‘Lock In’ bersama Erma Fatima dan Sherry Al-Hadad – drama yang diolah kreatif, dirakam sewaktu masing-masing duduk berasingan.
Itulah Neelofa. Dia tak betah duduk diam. Tak pernah terasa lesu. Selagi masih ada kudrat, tulang-temulangnya masih berpaut keras, selagi itulah dia akan terus bekerja. Sekalipun dihantui deraan wabak, ia tidak merapuhkan jiwanya. Neelofa kental dalam merintis jalan, mencari rezeki.
Si baiduri fesyen yang mengharumi nama negara, menjadi kepungan pemerhati-pemerhati fesyen sedunia dan menebarkan keunggulan imej seorang hijabis ini sekali lagi menjadi pilihan menghiasi cerita utama STAIL.MY bulan Julai, pasca-pandemik COVID- 19!
BACK IN BUSINESS! AS NEELOFA, NAELOFAR & NILOFA
Setelah kerajaan melunaskan janji sinar baharu buat se-Malaysia – hari perintah kawalan pergerakan bersyarat – Neelofa atau lebih mesra panggil Lofa, tidak menunda dalam mencari rezeki. Dia kembali melangsungkan tugas, namun dalam keadaan terkawal. Masih ada yang bekerja di rumah, pejabat dibuka mengikut ketetapan syarat dan aktiviti-aktiviti tertentu masih dihentikan sementara. Makanya, perbualan saya dengan Lofa hanyalah menerusi telefon. Sementelahan pula kami duduk jauh-jauh – saya nun di seberang laut, Lofa di Kuala Lumpur.
Lofa menelan segala apa yang terjadi sebelum ini – pandemik COVID- 19 – dan tidak mahu mengeluh. Keluhan yang takkan menjawab apa-apa, bila-bila masa pun. Dia hanya mahu mara dan berfikir ke depan. Kerana apa yang terjadi adalah satu titik permulaan. Permulaan kepada kebaharuan. Mengenali Lofa, dalam kepalanya dihuni ribuan, atau mungkin jutaan fikiran untuk meneruskan perjalanan bisnes-nya. Dia tidak mahu duduk terlalu selesa, seraya dalam hati bersiul keriangan. Tidak.
Bilang Lofa, pandemik ini mengubah 110 peratus strategi bisnes. Ia ‘mendesak’ Lofa dan pasukannya untuk mengolah cara, persediaan rapi serta perancangan baharu, seandainya mendepani 1001 senario.
“Logik,” jelas Lofa, yang menjadi kata kunci dalam menguruskan bisnes-nya.
Neelofa dalam A-Jane
“Pandemik yang menggila ini adalah detik yang menyedarkan semua orang (termasuk saya) untuk rework. Rework cara kerja, rework bisnes, rework minda, rework rutin kita dan rework most everything,” kata Lofa dalam telefon. Sebagai pengasas Naelofar serta pengarah NH Prima, Lofa ditauliahkan untuk bukan sahaja menguruskan bisnes, malah juga memikirkan sudut kreatif. Lantaran itu, penting untuk dirinya memikirkan jalan dalam menukar ‘cara bisnes’.
Pandemik yang menular sewaktu bulan puasa (sebelum Hari Raya), meninggalkan kesan ke atas semua bisnes. Namun alasan itu tidak memperlahankan Lofa dan pasukan Naelofar. Sebaliknya, mereka mengubah cara dengan mengurangkan kuantiti dan mengubah paradigma Naelofar, sehingga menjadikan jenama tersebut menyerlah di kalangan jenama-jenama lain.
“Alhamdulillah, we hit three new record in just one and a half month,” terang Lofa, teruja. Semuanya tercapai dalam masa kurang dari satu minggu dan tak diduga oleh Lofa sama sekali. “Rezeki Allah,” tambahnya. Bila disoal, mengapa mengurangkan kuantiti, balas Lofa, “Ia membuatkan kami lebih fokus, tidak membazir dan lebih tahu apa yang kami mahu sasar.” Sementara ada manusia yang ‘membatalkan tahun 2020’ dan menyumpah seranah tahun 2020, Lofa tidak beranggapan begitu. Baginya, tahun 2020 tidak meninggalkan kesan negatif ke atas dirinya. Apatah lagi bisnes-nya.
Neelofa dalam Dior musim bunga panas 2020
“Seperti yang saya jelaskan tadi, rework. Dari aspek matlamat pun harus rework. Dan apa yang bagusnya fasal rework ini, saya memperhitungkan atau mempertimbangkan sekali faktor lain. Contohnya, umur, limitasi, fikirkan apa yang sebetulnya saya mahu, memikirkan orang sekeliling serta masa hadapan. Jadi, ia mematangkan lagi diri saya,” ujar Lofa. Bila ditanya lagi, apakah perubahan yang mahu diketengahkan oleh Lofa untuk Naelofar Hijab, jawabnya, “Sustainability. Saya mahu menyuntik aspek serta mesej sustainability dalam dunia hijab Naelofar.”
Selain bisnes hijab Naelofar, Lofa memperkenalkan ‘ahli keluarga’ baharunya, kompeni Nilofa Group yang kini ligat berniaga dan mengedarkan susu pisang yakni Nilofa Banana Milk. “Saya amat teruja mengenai bisnes susu ini pula. Alhamdulillah, sewaktu pandemik, bisnes susu Nilofa tidak terjejas. Production pun meningkat naik ke 12 peratus dan segalanya berjalan dengan lancar,” jelas Lofa. Susu Nilofa kini mendapat perhatian ramai, melumpukkan banyak stokis dan pada masa yang sama, meraih integrasi dengan nama-nama besar dalam lapangan food and beverages.
NEXT TO NEELOFA?
Neelofa dalam Fendi musim bunga panas 2020
Usai Meletop, dalam pada dia meredah kesibukan bisnes, ada yang tidak mahu seribu bisu, ingin tahu sama ada Lofa akan kembali di layar televisyen? Masakan bakat pengacaraannya terabai, kan?
Jawapannya, ya. Perjuangan Lofa sebagai pengacara, menghiasi kaca televisyen dengan telatah ramahnya masih belum tamat. Yang berbezanya kali ini, Lofa menumpukan perhatian ke atas kandungan yang lebih matang dan lebih terarah kepada sisi dewasanya.
Kebijaksanaan serta kehandalan Lofa mewawancara akan terlihat sekali lagi menerusi rancangan terbarunya, Next To Neelofa. Di mana Lofa bersua muka, dengan santai menemu bual nama-nama terbesar di Malaysia dalam satu ruang yang bersekat dengan dinding dan disempurnakan oleh kerusi panjang. Lofa mendalami isi hati tetamu-tetamunya, menyingkap kisah hidup pahit manis dan kejayaan yang menginspirasikan.
“Rancangan ini adalah sesuatu yang sudah lama terpendam dalam kepala saya. Saya mahu mewawancara nama-nama terbesar ini, mendekatkan mereka dengan audiens. Agar orang di luar sana bisa mengenali mereka dan yang paling penting, matlamat Next To Neelofa adalah sebagai sumber inspirasi. Next To Neelofa menghidangkan kisah gembira, penuh gelak tawa, tangisan, menceritakan kemenangan dan seumpamanya,” jelas Lofa.
Antara tetamu-tetamu yang akan duduk bersama Lofa dalam Next To Neelofa termasuklah Puan Sri Tiara Jacquelina, Dato Hans Isaac, Chryseis Tan, Dato Rizalman Ibrahim dan ramai lagi. Bila ditanya apakah Lofa gentar bertemu nama-nama besar sebegini, balasnya, tidak. Sejujurnya, dia teruja kerana ini adalah sesuatu yang dia sudah kepingin hendak lakukan. Malah, sepanjang pengalaman saya menghadiri rakaman penggambaran Next To Neelofa, saya melihat sendiri bagaimana Lofa memesrai suasana. Dia sangat profesional dalam mengendalikan tetamu-tetamunya, menyambut kehadiran mereka dengan senang dan mengisi ruang wawancara dengan keselesaan.
“Tak sabar menanti Next To Neelofa yang bakal bersiaran minggu hadapan!” Kata Neelofa.
PENGALAMAN PRA-PANDEMIK COVID- 19
Neelofa dalam Louis Vuitton
“Syukur, saya pulang dari Milan dan Paris ke Malaysia sebelum perintah berkurung,” jelas Lofa dalam berkongsi cerita pengalamannya sewaktu menghadiri minggu fesyen Milan dan Paris pada bulan Februari lalu. Ketika itu, pandemik COVID- 19 belum lagi mendurjanakan bumi Eropah dan Lofa diundang ke minggu fesyen Milan serta Paris. Ini menandakan kali keempat Lofa menjadi jemputan representasi Malaysia ke minggu fesyen.
Kehadiran Lofa ke minggu fesyen pada bulan Februari yang lalu menyegarkan semula ingatan saya pada detik sebelum-sebelum ini di mana dia menjadi undangan ke pertunjukan fesyen Dior, Fendi, Tommy Hilfiger dan beberapa lagi jenama lain. Sebakul bangga tersemat dalam hati, kerana melihat sosok bertudung dari Malaysia, duduk sebaris nama-nama terbesar dalam industri fesyen antarabangsa. Saya kira, pengalaman yang diraih oleh Lofa pasti sudah membukit.
“Ramai juga yang sudah mengenali saya di minggu fesyen kali ini. Ada yang sudah kenal siapa Neelofa. Barangkali mereka melihat saya sewaktu minggu fesyen musim-musim lepas.”
“Saya sudah menemui ‘rentak’ minggu fesyen. Minggu fesyen musim luruh dingin 2020 yang saya hadiri bulan Februari itu membabitkan pasukan yang lebih besar. Selain penata gaya, penata hijab serta jurusolek, saya membawa sekali fotografer, videografer dan content creator. Masa itu, segalanya lebih terurus. Saya tidak lagi melewatkan posting atau kandungan di media sosial saya, sebaliknya, dengan adanya pasukan yang lebih besar ini, saya dapat menghasilkan content dalam kadar yang lebih pantas.”
Neelofa dalam Marc Jacobs musim bunga panas 2020
Jika dibandingkan terdahulu, Lofa mengaku dia tidak tahu atau reti menilai rekaan-rekaan yan dia lihat di hadapan matanya. Setelah merangkul pengalaman, dia menjadi celik dalam hal fesyen. Dia tahu apa yang hendak diperkatakan atau diperbualkan. “I got to learn more about creative directors. Berborak dengan pereka-pereka fesyen. Mengutip lebih banyak ilmu,” ujar Lofa bangga. Lalu, azam dalam jiwa Lofa semerbak. Kerana apa yang dipelajari oleh Lofa daripada minggu fesyen tersebut adalah sesuatu yang bukan sahaja untuk dirinya, namun boleh digunakan untuk mengukuhkan bisnes-nya.
“Apa yang kamu belajar setelah bertemu dengan pengarah kreatif dan pereka fesyen sewaktu minggu fesyen?” Tanya saya. Jawab Lofa, “Saya mengamati bagaimana jenama-jenama fesyen yang dipandu oleh pengarah kreatif ini memenangkan faktor mesej yang tersirat di balik inspirasi. Daripada situ, mereka menjadikan ia sebagai asas untuk mencipta sesebuah koleksi atau himpunan. Mereka menjual idea dan menjual produk dengan iringan pemerian penceritaan serta mesej itu.”
Tetapi, atas tuntutan keras pandemik COVID- 19 kini, lapangan fesyen melaungkan pembaharuan dalam cara mempersembahkan himpunan mereka. Tak ada lagi minggu fesyen seperti lazim – buat sementara ini – dan semuanya menjurus kepada konsep digital. Hal ‘Digital Fashion Week’ ini membangkitkan rasa ingin tahu pandangan Lofa sendiri, sebagai seorang fashion week regulars. Apakah meninggalkan impak yang tidak pasti sama ada mendatangkan jaya atau hampa.
“Memang benar, orang masih mahukan personal touch. Masih ada orang yang mahu menyaksikan peragaan, di mana bagi mereka plays a big part. Tetapi jika saya berada di tempat mereka, saya akan berfikir sebagai seorang business player. Harus berani untuk mengadaptasikan kebaharuan dan perubahan. Seandainya perubahan yang dibuat ini memberi impak yang jauh lebih baik (Digital Fashion Week), tidak salah untuk meneruskannya. Lagipun, kita sudah biasa disuap dengan formula yang sama untuk ‘berkurun’ lamanya. Tiba masa untuk revolusi.”
Apa pandangan anda?