Posted on January 9, 2019
Pakaian: Uniqlo Musim Bunga/Panas 2019
Gambar: Chee Wei
Solekan: Fendi Sani
Pengarah Kreatif: Merrisa Emilda
Arahan Seni: Ashura Hakim
Penata Gaya: Ardi Idewani
Video: Jordi Harris
AFIEQ SHAZWAN, 22 TAHUN – PELAKON, PENYANYI & PENGACARA
1 – Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu.
Nama peuh saya Shafieq Shazwan bin Zamros dan lebih senang dikenali sebagai Afieq Shazwan. Saya menyeimbangi tiga karier dalam masa sama. Sebagai pelakon, penyanyi juga pengacara. Saya mula berlakon seawal usia sebelas tahun lagi dan menginjak dewasa, saya memberi tumpuan kepada bidang nyanyian juga pengacaraan. Alhamdulillah pada umur 22 tahun sekarang, saya mengecapi sudah ketiga-tiga cita-cita itu.
2 – Sekarang, kamu lebih sibuk berlakon, menyanyi atau mengacara?
Yang mengejutkan, saya memiliki kudrat melaksanakan ketiga-tiga bidang ini sekali. Saya baru sahaja melepaskan single pertama saya berjudul ‘Seandainya’ bulan lepas, sekarang ini saya sibuk dengan penggambaran drama televisyen terbaru. Cuma buat masa sekarang, saya cuba lebihkan sedikit masa untuk karier nyanyian kerana single baharu dalam perancangan.
3 – Bagaimana pengalaman menyertai Big Stage tahun lepas?
Ia adalah satu platform yang saya impikan selama ini. Big Stage adalah arena yang berjaya mempamerkan bakat nyanyian saya. Iyalah kerana selama ini, orang hanya ingat saya hanya berlakon sahaja. Setelah berada di atas pentas Big Stage, barulah mereka tahu Afieq Shazwan bisa menyanyi.
Tambahan pula, saya berpeluang mengenali malah berkawan dengan peserta-peserta lain yang sama-sama naik dengan saya. Mereka terdiri daripada barisan peserta yang sudah ada nama dan juga yang baru berjinak-jinak dengan industri nyanyian.
4 – Nasib berpihak kepada kamu! Tahniah kerana berjaya menempuh sampai minggu kelapan.
Saya bersyukur sangat-sangat kerana tak terduga pun saya survive sampai minggu kelapan dan meraih tempat ketiga! Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran pun. Apa yang terkandung dalam benak fikiran saya adalah cuba buat sehabis baik dan pabila sampai ke pentas akhir, ia memecah sasaran saya.
Pabila dipanggil untuk menyertai Big Stage, saya fikir-fikir, saya hanya sekadar mahu mencuba. Namun saya tahu, jika tidak merembat peluang ini, ia umpama satu ‘kerugian’. Menerusi Big Stage juga, orang menerima saya sebagai seorang penyanyi dan memperluaskan engagement.
5 – Bagaimana persediaan Big Stage? Setahu kami, semuanya adalah inisiatif sendiri, kan?
Ya, betul. Daripada pemilihan lagu ke seni persembahan sehinggalah susunan muzik, semuanya idea peserta-peserta sendiri. Agak mencabar, namun pengalaman tersebut mendewasakan saya.
6 – Sedari kecil kamu terlibat dalam bidang seni. Adakah penglibatan seawal itu mematangkan kamu?
Sudah tentu. Kerana masa kecil itu lagi saya kira ia seperti satu pekerjaan dan banyak mengajar saya sehinggalah sekarang. Saya menjadi lebih matang melewati usia. Sekarang saya tahu bagaimana mahu mengatur diri dan merencanakan perjalanan karier. Dan ia banyak memanfaatkan saya dalam pengurusan diri. Contohnya perancangan masa, mutu lakonan dan seumpamanya. Saya juga tidak menemui sebarang kerumitan dari segi menjiwai watak yang diberikan. Berdasarkan pengalaman yang dikutip masa kecil dahulu, ia telah meningkatkan pengetahuan dan kualiti lakonan saya.
7 – Kamu berpeluang bekerja dengan nama-nama besar juga, ya? Dan menjadikan Alif Satar sebagai idola?
Saya bertuah kerana pernah bekerja dengan nama-nama gah industri seperti Khir Rahman, arwah Harun Salim Bachik dan Mimi Loma. Mereka banyak membimbing saya dan tidak lokek dalam berkongsi ilmu. Sememangnya, ia pengalaman yang sangat bermakna.
Benar, saya mengidolakan Alif Satar. Alif adalah insan yang berjaya menempatkan dirinya sebagai pelakon, penyanyi juga pengacara – sama seperti bidang yang saya ceburi sekarang. Sepanjang Alif menjadi pengacara untuk Big Stage, banyak juga yang saya belajar daripadanya. Daripada dia jugalah saya memperoleh semangat untuk terus berada di industri ini.
8 – Pernah atau tidak, sepanjang bekerja waima berlakon, atau menyanyi mahupun mengacara, kamu overthink? Atau dalam erti kata lain apa yang kamu buat itu menghantui fikiran?
Selalu juga. Contohnya, setelah tamat penggambaran atau membuat persembahan, saya jadi sedikit overthink. Saya akan membuat perhitungan semula dan memikirkan sama ada saya buat yang terbaik atau tidak. Sama ada semuanya mencapai target ataupun tidak. Tetapi saya tidak membiarkan ia membelenggu diri. Sebaliknya menjadikan ia sebagai pemangkin untuk buat sesuatu dengan lebih baik keesokannya.
9 – Projek terbaru selepas ini?
Saya sekarang sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaru, projek seterusnya dengan A.Aida bersama TV3. Single kedua saya, ‘Darjat’ juga baru sahaja dilepaskan dua minggu lalu.
10 – Oh, kami baru tahu. Kamu juga membela haiwan seperti kuda, alpaka dan rusa. Seperti ada zoo mini di rumah kamu, ya?
Haha! Betul. Keluarga kami membela kuda, alpaka, kambing dan rusa. Semua itu adalah belaan suka-suka sahaja dan dijaga dengan baik oleh kami. Oh, saya tidak mention yang saya menunggang kuda juga? Ya! Saya juga bisa menunggang kuda. Kuda saya bernama Soledad.
SOALAN TRIVIA AFIEQ SHAZWAN
#TeamMahathir / #TeamAnwar
Syed Saddiq / Khairi Jamaluddin
Izzah Anwar / Hannah Yeoh
Popular / Wisdom
Introvert / Extrovert
Hairy / Clean cut
YouTube / Netflix
Apa pandangan anda?