Posted on January 23, 2020
Sitting Editor: Ardi Idewani
Pakaian: UNIQLO
Gambar: Edmund Lee
Solekan: Emmy Agung
Rambut: Fendi Sani
Arahan Seni: Merrissa Emilda
Penata Gaya: Azreezal Hafidz & Ardi Idewani
Video: Jordi Harris, Zaidi Che & Ashura Hakim
RIZAL RASID, 25 – PENYANYI
1 – Pertama, terangkan segalanya tentang diri kamu?
Seorang yang bercita-cita tinggi. Apabila saya mahukan sesuatu, saya akan berusaha bagi mendapatkannya. Saya juga amat cerewet dalam memilih sesuatu… saya mahukan segalanya hampir sempurna.
Bukanlah berkata saya seorang perfectionist, tetapi saya dan insecurity memang berpisah tiada… (ketawa).
Saya juga seorang yang kuat berangan-angan. Tidak salah, bukan? (ketawa). Dan saya juga ‘kaki berjalan’. Saya suka jelajahi lokasi baru dan tidak kisah kalau terpaksa kembara secara solo kerana saya suka belajar sesuatu yang baru di muka dunia ini.
2 – Pengaruh muzik dalam kehidupan kamu? Bila mula menyanyi? Dan bila kamu sedar kamu mempunyai bakat dalam bidang nyanyian?
Saya membesar dalam persekitaran yang cintakan muzik. Sedari kecil saya didedahkan dengan muzik. Ayah suka mainkan lagu-lagu klasik di keretanya dahulu. Ayah juga ahli sebuah kugiran, jadi pengaruh terbesar dalam muzik, boleh saya katakan hadir daripada ayah.
Sebenarnya, dari kecil memang saya suka menyanyi. Cuma pada awalnya bagi saya, ia hanyalah angan-angan semata-mata untuk bergelar penyanyi. Tambahan pula, saya seorang yang amat pemalu.
Tidak terduga, rakaman lagu cover pertama saya di SoundCloud, mendapat sambutan ramai. Bukan sahaja di Brunei, malah ada juga pendengar dari Malaysia dan juga Indonesia. Sejak itu, saya diundang untuk membuat persembahan di beberapa gig dan rancangan tv.
Dari situlah, minat saya semakin ‘membuak-buak’ untuk menjadi seorang penyanyi secara profesional.
3 – Lagu terbaik yang pernah kamu nyanyikan. Dan kenapa?
Buat masa ini, ada dua lagu kolaborasi yang sudah dilancarkan di Radio Brunei dan Youtube. Yang terbaru bertajuk “Rasa untuk Setia”, kolaborasi bersama penyanyi berbakat Brunei, Dila Junaidi untuk lagu tema sebuah drama tempatan di Brunei.
Dengan izin tuhan, jika tiada aral yang melintang, saya juga akan melancarkan lagu pertama saya pada awal Februari ini di Brunei, Malaysia dan Indonesia. Insyaallah. Saya baru sahaja selesai merakam muzik videonya dan saya tidak sabar berkongsi dengan kamu semua!
4 – Idola dan sumber inspirasi kamu?
Afgansyah Reza. Saya suka cara dia membawa diri di atas pentas dan interaksinya dengan penonton dan peminat. Afgan memiliki aura yang luar biasa. I just want to be like him one day.
5 – Jika diberi kesempatan, siapa penyanyi yang ingin kamu berkolaborasi bersama?
Pilihan nombor satu saya, tentu sahaja Afgan (ketawa). Kalau artis Malaysia, saya mahu berkolaborasi dengan Ismail Izzani. Saya selalu mahu menyanyi lagu-lagu upbeat dan rancak yang boleh saya menyanyi sambil menari. Seperti lagu-lagu Justin Bieber, misalnya… (ketawa)
6 – Sebagai penyanyi dari Brunei Darussalam, apakah perbezaan ketara yang kamu lihat antara industri muzik di Malaysia dan Brunei? Dan kenapa ramai penyanyi kelahiran Brunei memilih kerjaya muzik di luar Brunei (misalnya Malaysia atau Indonesia), berbanding Brunei itu sendiri?
Sejujurnya, industri muzik di Brunei, tidaklah sebesar di Malaysia atau Indoneseia. Alhamdullilah hari demi hari, industri muzik Brunei semakin berkembang pesat dan ramai penyanyi-penyanyi berbakat lahir di Brunei sekarang.
Namun, sayangnya artis-artis Brunei tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya kerana platform yang tidak begitu besar dalam mengetengahkan bakat-bakat sedia ada. Jika kamu tidak percaya, lihat sahaja di Youtube, ramai sahaja penyanyi-penyanyi berbakat kelahiran Brunei di sana.
Oleh sebab itu, ramai yang memilih ‘jalan luar’ untuk membuktikan apa yang penyanyi Brunei mampu dan dapat tawarkan. Dan saya juga mengambil langkah yang sama untuk membuktikan bahawa bakat Brunei juga dapat berdiri sama tinggi dan sama rendah dengan bakat-bakat yang ada di Malaysia dan Indonesia.
And of course, with ‘Brunei’ in my heart.
7 – Dewasa ini, kita melihat kebanjiran penyanyi-penyanyi baru (#bbnu) yang belum tentu bakat nyanyian mereka tetapi lebih popular dek kerana bilangan pengikut yang ramai di Instagram. Pendapat kamu?
Bagi saya, kita seharusnya menilai bakat bukan sekadar dari bilangan pengikut di Instagram semata-mata. Kita harus menilai dari segi karya dan mutu bakat yang mereka punya. Followers, bila-bila masa sahaja kamu boleh dapat, tetapi tidak dalam konteks bakat.
8 – Pandangan kamu, apakah industri seni lebih memilih rupa/populariti berbanding bakat? Kamu meletak diri kamu di mana?
Seperti yang saya katakan sebelumnya, jika mahu menilai bakat, hendaklah dinilai dari segi kebolehan. Bakat dan kebolehan yang mereka ada, tanpa mengira rupa paras mereka. Muzik itu tiada sempadan, bahasa dan penampilan. Hargailah muzik dengan seadanya.
9 – Sebagai seorang yang memiliki rupa paras yang rupawan, adakah menjalani kehidupan itu lebih senang kepada kamu? Atau sebaliknya? Bagaimana kamu memandang kehidupan? Ceritakan kepada kami.
Bagi saya, rupa paras itu tidak menjamin kehidupan kita untuk menjadi lebih senang. Saya lebih memandang kepada personaliti yang mereka ada. Bagi saya, personaliti lebih ‘bersinar’ berbanding rupa.
Lagi pula, saya tidak pernah kategorikan diri saya termasuk dalam seseorang yang punyai rupa. Mentaliti sebegitu hanya akan menghancurkan personaliti sebenar yang kamu ada.
And lucky me, having such insecurities really put me away from having that kind of mentality.
10 – Misi dan harapan kamu untuk 2020.
Misi 2020 adalah untuk keluar dari kepompong keselesaan. Saya harus fokus. Tiada masa untuk bermain-main lagi. Saya harus mencapai impian saya selama ini untuk menjadi seorang penyanyi yang berjaya. Saya mahu membahagiakan kedua ibubapa saya. Saya mahu mereka gembira dan berbangga dengan saya.
Bigstage 2020? Inshallah… why not?
Menjadi salah satu impian saya untuk menyertai #BigStage dan memperlihatkan kepada semua apa yang saya dapat tawarkan dan bakat yang saya miliki. Saya rasa ia adalah pentas yang bagus untuk saya kembangkan bakat dan mempelajari selok-belok dunia hiburan di skala yang lebih besar. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan… doakan yang baik-baik untuk saya… (senyum).
Apa pandangan anda?