Posted on January 5, 2020
Sitting Editor: Ardi Idewani
Pakaian: UNIQLO
Gambar: Edmund Lee
Solekan: Emmy Agung
Rambut: Fendi Sani
Arahan Seni: Merrissa Emilda
Penata Gaya: Azreezal Hafidz & Ardi Idewani
Video: Jordi Harris, Zaidi Che & Ashura Hakim
ALIAH ISKANDAR, 23, MODEL SAMBILAN/AHLI PERNIAGAAN
1- Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu.
Nama diberi Nurul Aliah Binti Iskandar Thani atau lebih mesra dengan panggilan Aliah Iskandar. Dilahirkan pada 31 Julai 1997 dan kini berusia 23 Tahun. Saya anak kedua daripada 5 orang adik beradik. Saya juga seorang model sambilan dan di samping itu, saya turut memiliki perusahaan in home service bakery. Ia telahpun beroperasi sejak pertengahan tahun lalu. Kalau hendak tahu, saya sudah berkecimpung dalam dunia peragaan ini semenjak dari zaman diploma lagi (sekitar tahun 2016/2017) sehinggalah kini. Keluarga adalah pendorong utama untuk saya terus maju ke hadapan.
2- Adakah perusahaan in home service bakery itu milik kamu seorang?
Ya. Le’petite Bakery adalah nama bagi insta shop in home service bakery saya itu. Ia milik saya bersama kakak. Kami mulakan perniagaan ini sejak pertengahan 2019. Inilah minat saya selain daripada dunia peragaan dan kecantikan. Kepakaran saya adalah pada kuih-muih serta pelbagai jenis kek.
3- Saya lihat kamu juga adalah seorang peminat dunia kecantikan, what do you usually splurge or save on when it comes to makeup?
Sukar untuk saya jawab soalan ini. Kebiasaannya, saya akan lebih cenderung untuk membeli maskara, gincu bibir serta pemerah pipi. Ketiga-tiga ini adalah item kosmetik kegemaran dan perlu ada di dalam tas tangan saya. Saya juga gemar berbelanja dan tidak mudah kata “tidak” pada kosmetik walaupun saya sudah memilikinya. Apatah lagi jika ada musim “jualan murah”.
4- Pendapat kamu tentang self-love?
Pada pendapat saya, self-love ialah apabila kita menghargai diri kita sendiri. Self-love bukan bererti kamu harus ke spa, salon rambut, manicure atau pedicure. Self-love ialah apabila kita melakukan perkara yang kita minati. Sentiasa lakukan perkara yang kita minat kerana ini akan membuatkan kita lebih menjadi diri sendiri selain daripada menceriakan hidup kita.
Selain itu, kita juga harus kenali kekuatan diri kita. Saya percaya kita semua tidak sempurna akan tetapi setiap manusia dilahirkan dengan potensi, bakat dan kelebihan dalam diri. Jangan sesekali kita berasa tidak yakin dengan diri sendiri hanya kerana kita tidak mempunyai apa yang orang lain ada.
Dengan itu, perkara yang biasa saya lakukan setiap pagi adalah senyum dan sentiasa berfikiran positif terhadap diri sendiri. Letak keyakinan dan kepercayaan dalam diri kerana di situ sebenarnya yang dimaksudkan dengan self-love.
5- Kamu minat fesyen? Boleh kamu kongsi stail peribadi kamu?
Ya, saya amat meminati dunia fesyen. Stail peribadi saya adalah lebih kepada minimalis. Dan saya tidak suka tampil terlalu “bersiap” setiap hari. Pada pendapat saya, fesyen itu bukanlah terletak pada jenama dan harga. Fesyen adalah apabila kita menyarung helaian mengikut cita rasa dan keselesaan diri sendiri.
6- Memandangkan kamu mempunyai bilangan pengikut yang ramai di Instagram, do you have plan to be an influencer?
Ya, saya ada memasang impian untuk menjadi seorang “Influencer” yang bukan hanya pada namanya sahaja tetapi menjadi influencer yang diikuti ramai terutama anak anak muda sekalipun wanita yang telah berkahwin. Menjadi seorang influencer bukan satu perkara mudah kerana ia satu tanggungjawab untuk menjadi contoh dan ikutan umum terutama anak muda zaman kini yang lebih terdedah kepada ikutan di dunia media sosial hari ini.
Jadi, saya bercita-cita untuk menjadi seorang influencer yang bukan sahaja berkongsi dan menjadi ikutan di dalam dunia kecantikan dan fesyen malah daripada segala aspek. Walau bagaimanapun, untuk menjadi seorang influencer yang berjaya, saya harus menentukan imej diri yang ingin ditonjolkan sebagai ikutan. Dan dengan itu, saya memilih untuk berkongsi tentang fesyen dan juga kecantikan. Disebabkan itu, kamu boleh lihat kandungan Instagram saya penuh dengan content sebegitu.
7- Selain dunia kecantikan dan pastri, apa lagi minat atau bakat terpendam yang kamu ada? Mungkin boleh kongsikan bersama kami.
Saya juga boleh menyanyi. Semenjak dari zaman sekolah sehinggalah ke Diploma, saya telahpun memasuki pelbagai pertandingan nyanyian. Dan saya pernah diundang untuk membuat persembahan pada malam “Tesl Night”, pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan.
8- Mesej kamu buat wanita di luar sana yang masih takut mencuba sesuatu yang baharu?
Sentiasa percaya pada diri sendiri. Saya juga amat menggalakkan kaum wanita di luar sana untuk sentiasa percaya pada bakat yang ada dalam diri dan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai satu penghalang untuk terus maju ke hadapan selain daripada sentiasa menjadi diri sendiri.
Kejayaan tidak akan datang bergolek, setiap kejayaan perlu bermula dari niat. Kejayaan akan datang apabila kita sentiasa berusaha dan yang penting tidak mudah putus asa. Begitu juga dengan kecantikan. Ia bermula apabila kita percaya pada diri kita dan bukanlah sekadar pada paras rupa wajah seseorang.
9- Kongsikan 5 fun facts tentang diri kamu.
Saya seorang yang sangat periang, mudah terhibur akan lawak jenaka terutama sekali apabila saya bersama ahli keluarga serta teman-teman rapat saya. Selain itu, saya juga punyai keyakinan diri yang sangat tinggi. Saya sentiasa percaya akan bakat yang ada dalam diri saya. Apabila saya sedih akan sesuatu perkara, saya akan sentiasa mengingatkan diri akan ada sesuatu yang lebih baik buat diri saya.
Apa lagi ya… Saya juga suka memasak, saya akan membeli buku masakan dan mencuba pelbagai resepi baharu jika saya mempunyai masa lapang. Saya juga peminat muzik. Apabila saya meminati sesuatu lagu yang baru sahaja saya dengari, saya akan pasang lagu tersebut berulang-kali terutama sekali apabila saya memandu. Akhir sekali, saya ini seorang yang pandai mengambil gambar “ootd” seseorang ya!
10- Apa yang kamu ingin kecapi pada tahun 2020 ini?
Banyak perkara yang saya ingin kecapi untuk tahun 2020 ini. Antaranya ialah saya ingin terus fokus dengan apa yang saya lakukan sekarang dan menjadikan kerjaya sebagai model dan juga usahawan muda bukan penghalang untuk saya terus maju dan berjaya di masa hadapan.
Selain itu, saya juga akan sentiasa perbaiki kekurangan yang ada dalam diri untuk menjadi seorang yang lebih baik selain sentiasa terus berfikiran positif dalam diri. Menjadi ikon adalah impian saya dan untuk berada di tahap itu, saya akan terus berusaha sehingga saya mencapai apa yang saya impikan. Saya tidak mahu impian itu sekadar angan-angan sahaja.
Apa pandangan anda?