
Ceritakan mengenai diri kamu?
Saya Alyssa Lee, berusia 27 tahun. Saya mula menjadi pencipta kandungan dengan menghasilkan content fesyen di media sosial. Ketika itu saya suka berkongsi tentang tips fesyen dan sebagainya. Namun sekarang saya lebih suka menghasilkan kandungan yang berunsur komedi. Saya rasa di media sosial adalah tempat anda ingin relaks, bersuka ria, jadi saya tukar topik kandungan saya lebih ke arah itu. Saya percaya saya mempunyai bakat untuk menceriakan hari orang yang menonton kandungan saya, walaupun saya sebenarnya orang yang agak serius.
Apakah ‘turning point’ kamu sehingga menjadi diri kamu sekarang?
Saya bermula dengan menghasilkan kandungan fesyen, dan pada satu tahap itu saya rasa terlalu drained. Saya mempunyai formula dalam content planning, dan formula itu tidak lagi berkesan. Jadi disebabkan itu saya mula eksplor topik yang lain, memandangkan saya suka menonton kandungan komedi, jadi saya cuba menghasilkannya. Dan menariknya, formula demi formula terus mengena. Ia mendapat sambutan, engagement naik dan pengikut pun makin meningkat.

Selain mencipta kandungan di media sosial apa yang kamu ingin lakukan seterusnya?
Saya rasa, saya ingin mencuba terokai bidang lakonan dan peragaan. Pada masa yang sama saya ingin menggilap lagi personaliti saya di media sosial supaya dalam saya mencuba bidang lain, saya juga dapat meneruskan karier saya sebagai pencipta kandungan yang menceriakan hari orang lain.
Mengapa kamu menyertai Fresh Face 2026?
Saya percaya platform ini boleh membantu saya untuk pergi lebih jauh. Saya pernah menyertai beberapa pertandingan di media sosial sebelum ini. Tapi saya harap dengan menyertai Stail Fresh Face tahun ini dapat memberi lebih exposure untuk saya di media sosial, peragaan dan lakonan. Saya juga mengharapkan lebih banyak tawaran untuk model editorial majalah, ini adalah impian saya sejak kecil lagi. Saya pernah beritahu ibu saya, dia akan melihat saya di dalam majalah ini suatu hari nanti.
Di mana kamu 5 tahun akan datang?
Saya harap saya sudah kaya dalam hidup, cukup dikenali dari segi positif dan lebih bahagia.
Siapa inspirasi kamu?
Ibu bapa saya. Saya membesar dengan rasa yang tidak berpuasa hati dengan cara mereka membesarkan saya, tapi sekarang saya sudah dewasa, kita tahu menjadi dewasa itu tidak mudah. Saya mula menyedari yang Ibu Bapa saya sememangnya telah berusaha keras memberi apa yang terbaik untuk saya. Dan jujurnya, saya tidak rasa saya mampu menjadi yang terbaik seperti mereka jika saya menjadi seorang ibu suatu hari nanti. Mereka memang inspirasi buat saya.

Apakah nasihat daripada Ibu Bapa kamu yang diingati sehingga hari ini?
Apa sahaja yang boleh diselesaikan dengan duit, ia bukanlah masalah besar. Ia bukan bermaksud yang kita boleh selesaikan semua masalah dengan duit. Maksudnya, kita terlalu bebankan diri kita dengan masalah yang boleh selesai, tapi kita memilih untuk terus membebankan diri kita, dan akhirnya menjadi cukup tertekan. Kalau ia boleh diselesaikan maka janganlah kita terlalu merisaukannya.
Apakah nasihat kamu pula untuk mereka yang baru berjinak-jinak untuk menjadi pencipta kandungan di media sosial?
Bagi saya, mulakan sahaja apa yang ada dalam fikiran. Just do it. Jangan terlalu memikirkannya, yang penting hasilkan kandungan yang positif dan mungkin boleh membantu menceriakan hari orang yang memerlukan. Kita selalu sabotaj diri sendiri dengan merasakan diri kita sentiasa tidak cukup bagus, jangan biarkan ia menghentikan keinginan kita. Akan ada crowd untuk anda percayalah.
Photographer: Edmund Lee
Videographer: Jufri Jamaludin
Stylist: Azreezal Hafidz
Teks: Izzati Saadin
Makeup: El Manda Zuhairy
Rambut: VV Chan mengunakan Schwarzkopf
BACA: Fresh Face 2025 : Zzal Hamzah









.gif)
Apa pandangan anda?