
Apakah perkara menarik yang orang perlu tahu tentang kamu?
Kenalilah saya sebagai Malaysia National Breaking Athlete. Saya dilahirkan di Tawau Sabah, dan membesar di Puchong, Selangor. Baru-baru ini saya telah membawa nama Malaysia dalam pertandingan KARDO (International Competition of Street Culture and Sport) di Indonesia. Minat saya terhadap breaking dance ini bermula dari tahun 2010 apabila ibu selalu membawa saya melihat show tarian. Dan, ibu juga banyak mendedahkan saya dengan pelbagai aktiviti bakat seperti di Karnival Cuti Sekolah, Jom Heboh, Wakaka dan sebagainya.
Kamu mengatakan kamu seorang introvert, bagaimana breaking dance ini mengubah karekter kamu?
Ya, betul. Saya mempunyai kurang keyakinan apabila berdepan dengan orang. Pernah dulu, ibu saya mendaftarkan saya untuk pertandingan sempena Hari Merdeka ketika di tadika. Lucunya, saya berjaya memenangi kategori pakaian terbaik (jahitan ibu) tetapi bukan untuk kategori utama kerana ketika di pentas saya langsung tak bergerak dek malu yang amat sangat, hahaha… Namun, saya akui hasil daripada aktiviti menari inilah saya mula keluar dari zon interovert itu. Perlahan-lahan saya mula beranikan di ke tengah pentas dan khalayak umum.

Bagaimana pengaruh ibu dalam kehidupan kamu?
Saya dan adik-beradik sebenarnya dibesarkan dengan stail asian parent, yang mana bagi persepsi ayah dan ibu, anak-anak yang berjaya mestilah mempunyai pekerjaan tetap, lebih bagus jika dapat bekerja dalam sektor kerajaan. Namun, saya ingin buktikan kepada mereka bahawa melalui tarian ini juga mampu memberikan kehidupan yang baik. Dan, hari ini nampaknya mereka mula menerima kenyataan itu. Apa pun, saya terhutang budi kepada mereka terutamanya ibu yang sering membawa saya ke uji bakat demi memastikan saya lebih ke depan. Sampaikan kami pernah kena tipu, diminta buat bayaran tetapi tiada job.
Di manakah titik terendah kamu sepanjang hidup ini?
Ketika fasa perpindahan kami sekeluarga dari Sabah ke ibu kota. Waktu itu saya sekitar darjah dua. Saya sendiri tidak pasti atas alasan apa kami perlu berpindah, kerana ketika di Sabah kehidupan kami agak selesa. Bermula dengan penghijrahan ayah, diikuti ibu dan kami adik-beradik. Mulanya, kami menumpang rumah ibu saudara di Puchong. Faham-faham sajalah apabila hidup menumpang, banyak peraturan yang harus kami akur. Saya dapat lihat sendiri bagaimana ibu dan ayah struggle waktu itu. Dan, selepas pandemik, saya rasa barulah kehidupan kami beransur lebih baik dan mampu tinggal di rumah sendiri. Kerana itu, saya ingin membantu mereka menerusi kerjaya saya ini.

Jika kamu pemenang untuk Fresh Face tahun ini, apa yang mahu dikatakan?
Saya ingin orang tahu bahawa saya boleh melakukan sesuatu yang lebih dari sekadar menari. Saya boleh buat apa yang kamu buat, tetapi kamu tidak pasti boleh buat apa yang saya mampu buat iaitu menari. Saya pernah kena rotan dengan cikgu hanya kerana aktif menari dan ia membuatkan saya lebih gigih untuk mempelajarinya. Dan, kegigihan itu membawa saya untuk mencuba perkara baru seperti modelling dan fesyen.
Stail yang menjadi identiti kamu?
Saya suka orang melihat penampilan saya sebagai happy go lucky. Saya gemarkan pakaian yang nampak straight but elegant. Simple but nice. Sesuatu yang selesa untuk saya gayakan sepanjang hari. Gaya yang tenang.
Lagi 10 tahun, anda mungkin…
Bergelar coach untuk breaking dance, mengharumkan nama negara menerusi aktiviti ini dan saya mahu perluaskan jenama breaking dance ini dalam kalangan anak muda Malaysia. Ia bukan hanya satu aktiviti sampingan tapi boleh dijadikan kerjaya serius.
Photographer: Edmund Lee
Videographer: Jufri Jamaludin
Stylist: Azreezal Hafidz
Teks: Afiza Kamarulzaman
Makeup: El Manda Zuhairy
Rambut: VV Chan mengunakan Schwarzkopf Taft
BACA: Fresh Face 2025 : Shelen









.gif)
Apa pandangan anda?