Posted on January 29, 2021
Sudah lama rasanya tidak berkongsi lagu terkini di ruangan K-STAIL. Saban minggu tak menang tangan, pelbagai lagu K-Pop baharu dirilis. Jangan kata lagu, pelbagai event K-Pop menarik juga meriah berlangsung sekarang baik di Youtube, televisyen dan ruang media sosial lain. Jangan lupa, konsert maya BLACKPINK Ahad ini! Bak kata orang, hendak menjadi peminat K-Pop ini agak penat, tetapi membahagiakan! Tanpa berlengah masa lagi, mari kami senaraikan lagu-lagu K-Pop baharu di ruangan playlist K-STAIL kami minggu ini dan ikuti kisah di sebalik lagu pilihan kami ini! Layan!
TREASURE – My Treasure
Rookie of The Year ini tidak putus-putus merilis lagu semenjak debut mereka Ogos lalu. Kali ini, tampil dengan album penuh THE FIRST STEP: TREASURE EFFECT, setelah merilis mini album sebanyak tiga jilid. Ramai yang begitu gembira dengan kemunculan terbaharu mereka ini, malah mereka ini dikategorikan sebagai rookie monster oleh peminat-peminat K-Pop seluruh dunia. Ini kerana bukan sahaja masih baharu di dalam industri, akan tetapi kualiti muzik mereka terbukti apabila baru-baru ini mereka diumumkan sebagai rookie terhebat abad ini kerana berjaya meraih jualan album lebih 1 juta. My Treasure menjadi trek utama untuk album penuh ini. Gaya tarian yang begitu bersahaja, namun mesej lagu ini yang menyentuh hati peminat. Kata mereka, ini lagu untuk Treasure Maker (nama panggilan untuk peminat TREASURE).
Lagu yang dicipta oleh FUTURE BOUNCE, AFTRSHOK, GEIST WAY, CSCS, H.Kenneth dan pollock. Manakala liriknya pula ditulis oleh BIGTONE, Min Yeon Jae dan ahli TREASURE sendiri iaitu Choi Hyun Suk, Yoshi dan Haruto. Kami janji, lagu ini bakal memberi semangat baharu untuk melangkah ke tahun 2021.
Epik High – Rosario
Comeback yang dinanti-nanti oleh penggemar lantai muzik Hip-hop Korea Selatan. Yang pasti kemunculan kembali Epik High ternyata epik! Dengan paduan kolaborasi yang bukan calang-calang untuk album studio ke-10 mereka ini. Menampilkan nama seperti CL, Zico, B.I, Heize, Nucksal dan beberapa selebriti jemputan lagi. Trek ‘Rosario’ menampilkan CL dan Zico, ini membuatkan kita rasa meremang mendengar lagu ini. Manakan tidak, mereka inilah antara lagenda di dalam industri K-Pop yang sebenar. Menurut Tablo (ahli Epik High), “Rosario adalah ibarat runut latar lagu kehidupan saat kamu berjaya membalas dendam terhadap musuh besar kamu. Alunan gabungan rentak Latin dipadu rentak Hip-hop. Kami pinta kamu hayati setiap bait lirik dalam lagu ini. Bak kata CL, “Out of my way, I am a legend and I’m here to stay!”
(G)I-DLE – HWAA
Setiap kali (G)I-DLE kembali dengan lagu baharu, kesemuanya cukup memberi kesan. Paling menjadi kegemaran kami ialah lagunya “OH MY GOD”. Walaupun rentaknya mungkin pada telinga kasar, ibarat sama dengan melodi lagu mereka yang lain, tetapi pada kami, itu signatur mereka. Lagu HWAA ini turut mendapat hasil sentuhan bersama ahli kumpulan (G)I-DLE, Soyeon, terbukti hebat apabila menjadi lagu hit nombor 1 di laman muzik besar Korea Selatan seperti Genie dan Bugs.
Menurut (G)I-DLE, “HWAA” adalah rentetan emosi daripada single mereka terdahulu iaitu “HANN” yang dirilis pada 2018. Jika “HANN” berkisar kepada perasaan saat lalui putus cinta, “HWAA” adalah tentang perasaan yang lebih dasyat iaitu marah dan ketekunan yang ditanamkan dalam diri. Kata mereka lagi, “HWAA” adalah tentang membuat keputusan untuk meninggalkan segala memori yang menyakitkan sebelum ini dan move on. Ada sesiapa yang sedang mengalami fasa yang sama? Mungkin inilah lagu pembangkit semangat kamu!
Apa pandangan anda?