Posted on October 23, 2020
Walau 2020 tidak membenarkan konsert diadakan dan segala pergerakan dihadkan, ini tidak menghalang industri muzik terutama sekali di Korea untuk terus menghasilkan lagu-lagu hebat. Tidak kurang juga, dengan kemeriahan penyanyi baru yang debut tahun ini. Satu perkara tentang industri muzik di Korea, mereka akan buat apa sahaja demi memastikan peminat-peminat idola mereka mencapai tahap kepuasan yang tinggi walaupun dunia kini melanda COVID-19. Begitu juga saya, sebagai peminat setia K-pop, kami dijamu dengan pelbagai muzik baharu saban minggu dan ada sahaja kejutan seperti konsert alam maya dan sebagainya. Namun, hari ini sedikit istimewa kerana saya ingin membawakan kamu #KpopPlaylist 5 lagu K-pop terbaru yang kamu harus dengar sebagai halwa telinga kamu.
1- ‘ALIEN’ – Lee Suhyun (AKMU)
Selepas enam tahu beraksi di atas pentas sebagai ahli kumpulan duo Akdong Musician (AKMU), kini Suhyun tampil pertama kali sebagai artis solo dengan debut rilisnya berjudul ‘ALIEN’. Lagu yang cukup unik dan ceria ini ibarat kita dapat menyaksikan sisi baharu Suhyun dalam muziknya. Lagu yang berkisarkan seorang wanita yang hidup dalam kegelapan dan menjadi tidak keruan apabila ibunya membongkar identiti dirinya di mana dia adalah sejenis mahluk asing yang ingin memulakan hidupnya di muka bumi ini. Suhyun tampil dengan imej baharu seperti rambut diwarnakan rona mint dan dipadankan dengan aksesori comel. Lagu ini juga mendapat hasil sentuhan abangnya, Lee Chanhyuk yang juga ahli AKMU, sebagai penulis lirik untuk lagu ini.
2- ‘Make A Wish (Birthday Song) – NCT U
Ada yang keliru apakah perbezaan di antara kumpulan NCT dan NCT U. Mereka ini sama sahaja. NCT U adalah salah satu sub-unit untuk kumpulan besar NCT yang memiliki 23 orang ahli. Antara sub-unit yang lain ialah seperti NCT 127, NCT U, NCT Dream, WayV serta tambahan dua lagi ahli baharu kumpulan ini iaitu Shotaro dan Sungchan. Manakala untuk NCT U ini menampilkan unit serta persembahan yang cukup bertenaga yang mana ahlinya adalah Taeyong, Doyoung, Jaehyun, Lucas, Xiaojun, Jaemin dan Shotaro. Mendapat sentuhan koreografer kumpulan penari Jepun popular dunia, Quick Style, membuatkan lagu ini tampil lebih hebat. Walau lagu ini dikatakan tidak seperti lagu-lagu NCT U yang lain, namun signatur serta coraknya masih punya sentuhan NCT iaitu berentak hip hop dan catchy. Dengan pemilihan ahli yang hebat, kita dapat saksikan kesemuanya seperti seimbang daripada segi vokal dan rap serta keunikan setiap seorang daripada mereka.
3- ‘Back Door’ – Stray Kidz
Antara kumpulan yang menjadi buah mulut di kalangan peminat K-pop tahun ini, mereka kembali tampil dengan album baharu dan single ‘Back Door’ sebagai lagu utama mereka. Kombinasi visual dan muzik yang padu membuatkan kumpulan ini antara yang diminati ramai. Seperti lagu ‘Back Door’ ini, kita boleh lihat mereka tampil dengan sesuatu yang baru dan sedikit berbeza daripada konsep mereka sebelum ini. Lagu dibuka dengan alunan rap penuh bertenaga daripada Han dan Hyunjin. Menurut mereka juga, lagu ini ibarat festival. Kamu akan terus ketagih dan ingin ikut sekali berdansa mengikut rentak lagu ini. Siapa ahli kegemaran kamu di dalam kumpulan Stray Kidz ini?
4- ‘Lovesick Girls’ – Blackpink
Tidak perlu diperkenalkan lagi mereka ini. Ternyata seluruh dunia sudah mengetahui siapa mereka. Jennie, Lisa, Rose dan Jisoo antara nama besar dan disegani di dalam industri lagu K-pop walaupun mereka baharu sahaja menginjak usia empat tahun. Pelbagai pembaharuan dibawa oleh mereka ke industri muzik dunia dan ternyata mereka antara yang mengharumkan nama Korea. Kini kembali dengan album penuh dan menampilkan ‘Lovesick Girls’ sebagai lagu utama mereka. Pertama kali mendengarnya, rasa seperti sedih bercampur bangga. Lagu yang memberi kekuatan kepada wanita ini ternyata memberi impak kepada kita semua. Lirik yang bagus, muzik video serta tarian yang mengasyikkan. Walaupun, baru-baru ini masyarakat Korea mengutuk sebahagian muzik video yang melibatkan Jennie berimej jururawat. Namun, segalanya sudah selesai apabila YG Entertainment membuat keputusan untuk memotong bahagian sensitif di dalam muzik video tersebut.
5- ‘I Love You’ – Treasure
Agak sibuk YG Entertainment tahun ini, namun jika itu yang membuatkan peminat gembira, ternyata usaha dan tenaga yang dikerah syarikat ini amatlah berbaloi. Ternyata, penantian yang sudah lama dinanti-nantikan, berakhir apabila kumpulan Treasure dianugerahkan tarikh debut mereka tahun ini. Treasure yang kini dianggap sebagai ‘rookie monster’ kerana kemunculan mereka mendapat perhatian serta menggegarkan industri K-pop hari ini. Tampil dengan 12 ahli dan empat daripada mereka ahli yang berasal dari Jepun, kembali dengan album kedua dengan judul utama ‘I Love You’. Tarian serta muzik yang penuh bertenaga ini mengingatkan peminat kepada aura yang dibawa oleh Big Bang, iKON, 2NE1, Winner dan Blackpink, iaitu senior dan pemuzik legenda di bawah naungan YG Entertainment. Walaupun promosi untuk lagu ini sudahpun berakhir, namun, lagu ini masih menduduki carta muzik Korea. Dan jika kamu mahu saksikan signatur tarian ‘tunjuk abs’ Haruto di dalam lagu ini, bolehlah melihat kembali koleksi persembahan atas pentas mereka untuk program muzik Inkigayo dan Music Bank!
Apa pandangan anda?