Posted on July 10, 2020
Jika kamu mengikuti perkembangan dunia muzik pop Korea, pasti kamu mengenali Jimin daripada kumpulan AOA, yang kini telahpun membawa haluan sendiri dan berundur serta-merta daripada industri muzik Korea ini. Kisah kontroversi ini bermula pada minggu lalu di mana bekas ahli kumpulan AOA, Mina, telah memuatnaik luahan hati menerusi Instagramnya bagaimana dia dibuli selama 10 tahun lamanya oleh seorang lagi ahli kumpulan AOA. Lama-kelamaan terbongkarlah nama yang disebut-sebut sebagai pembuli itu setelah peminat menyusun kronologi dan teka-teki. Mina juga akhirnya mendedahkan sendiri nama pembuli tersebut iaitu ketua kumpulannya sendiri, Jimin.
Jimin
Pada mulanya Jimin menafikan namun akhirnya dia tumpas langsung agensi rakaman mereka FNC Entertainment, mengeluarkan kenyataan bahawa Jimin memilih untuk berundur daripada kumpulan tersebut. Jimin adalah ketua kumpulan AOA namun setelah diteliti kembali setiap bait videonya bersama ahli kumpulan, dia dilihat sering mengabaikan tanggungjawabnya itu.
Mina
Paling ketara ialah apabila dia seolah menunjukkan rasa ketidakselesaannya terhadap Mina. Ia berlaku beberapa kali di hadapan kamera dan peminat mereka sendiri dapat merasainya.
Cerita bermula apabila Mina membongkar sewaktu bapanya meninggal dunia, dia mengalami tekanan yang amat teruk kerana dalam masa sama dia harus bekerja keras untuk aktiviti seni kumpulannya. Mina juga mendedahkan dia tidak dapat pulang melihat ayahnya di saat nazak dan sehingga hari ini dia menyesal akan perbuatannya itu. Kerana terlalu tertekan dengan situasi itu, Jimin yang sepatutnya memberikan tanda sokongan dan bantuan langsung tidak mengendahkan tekanan yang dialami Mina malah memilih untuk memarahi dengan kata-kata kesat. Semenjak daripada itu, Mina melihat Jimin seolah tidak menyukai dirinya. Akibat daripada itu, Mina menjadi semakin tertekan sehingga pernah berfikir untuk membunuh diri. Dia akhirnya membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.
Yang lebih mengejutkan di hari Mina diumumkan keluar daripada kumpulan tersebut, Jimin turut memuatnaik fotonya di Instagram. Foto yang menunjukkan reaksi gembira Jimin seolah-olah seperti suatu klu daripada Jimin yang ternyata suka dengan berita pengunduran Mina. Ramai peminat turut menyatakan rasa tersinggung dengan perbuatan ketua kumpulan itu.
Foto Instagram yang dimuat naik Jimin sewaktu pengumuman pengunduran Mina dari kumpulan AOA
Sehinggalah tahun lepas, apabila ayah Jimin meninggal dunia. Dirinya tersentak dan akhirnya barulah memahami perasaan Mina sewaktu ayahnya meninggal dunia dahulu. Jimin dikatakan pergi berjumpa Mina dan meminta maaf. Pun begitu, Mina berkata hatinya masih terkesan dengan kata-kata kesat yang dilempar serta perbuatan Jimin sehingga menganggu kesihatan mentalnya.
Semalam Allkpop melaporkan, Youtube Jimin semakin kehilangan pengikut. Kita tidak akan tahu apa yang bakal jadi selepas ini.
Ingat, isu buli adalah isu yang sangat berat. Walau siapapun kita, jangan pernah membuli. Buli boleh mengakibatkan tekanan kepada mangsa. Dan jika sesiapa di antara kamu yang sedang lagi dalam tekanan dan inginkan teman berbual, hubungi The Lifeline di talian 1-800-273-825 untuk bantuan.
Apa pandangan anda?