Posted on August 19, 2020
Jika kamu ingat kumpulan pop Korea Selatan, Wondergirls, suatu ketika dahulu, pasti ingat akan kemunculan cameo Park Jinyoung, atau lebih dikenali dengan nama JYP dalam muzik video popular mereka, Nobody. Dan kali ini kita dapat saksikan kembali gabungan ini, walau bukan bersama Wondergirls, namun, bersama salah seorang ahli yang kini semakin berjaya menempa nama sebagai artis solo di persada industri muzik Korea Selatan menerusi lagu Gashina, Sunmi. Membawa imej lagu berentak retro, “When We Disco”, lagu yang baru rilis bulan ini, semakin mendapat perhatian ramai terutama daripada peminat kedua-dua idola ini.
Peminat mula berdebar-debar menanti kolaborasi ini apabila JYP sendiri mula mengumumkan berita gembira ini pada 3 Ogos yang lalu. Manakan tidak, JYP yang mereka gelar “Dancing King” bakal bergabung bersama Sunmi yang turut digelar peminat “Dancing Queen” ini pasti memberikan persembahan yang penuh karisma dan sensasi.
Akhirnya pada 14 Ogos lalu, muzik video “When We Disco” akhirnya dirilis. Satu perkataan yang terpacul keluar dari mulut saya, ‘wow’. Seperti yang semua orang sangka, sememangnya lagu ini begitu kena dan cukup serasi menggandingkan mereka berdua. Kata Sunmi,
“Apabila Park Jinyoung menghubungi saya, kata dia, tiada siapa yang berada di dalam fikirannya selain saya untuk dijadikan rakan duet. Jadi, saya terus membuat keputusan untuk menerima lamarannya itu. Dan saya turut rasa tiada siapa juga boleh melaksanakan kolaborasi ini.”
Dalam masa sama, Sunmi tidak terbayang bakal berduet dengan JYP yang mana suatu ketika dahulu adalah Presiden syarikat yang dinaungnya,
“Saya tidak pernah bermimpi satu hari nanti saya bakal berduet bersama JYP. Dan sepanjang tempoh rakaman suara dan penggambaran muzik video, saya masih lagi tertanya-tanya, ‘Adakah saya bermimpi atau kejutan?’ Saya tahu semua orang juga akan terkejut dengan kolaborasi ini.”
Untuk pengetahuan semua, JYP menyiapkan setiap melodi dan bait lirik “When We Disco” hanya dalam masa beberapa jam. Diinspirasikan daripada genre muzik disko Eropah era 80-an, trek ini menggambungkan bunyi-bunyian retro dan disulami muzik moden dalam pembikinannya. Jika lihat pada gerak langkah koreografi ini juga, sebenarnya menurut JYP, ia diinspirasikan daripada gerak tari genre muzik ini yang menjadi kegilaannya pada zaman dia muda remaja dahulu.
Apa pendapat kamu tentang kolaborasi ini? Jika tanya kami, kami suka! Sesuatu yang lain daripada yang lain untuk industri muzik K-pop hari ini!
Apa pandangan anda?