Posted on November 14, 2019
Kebanyakan daripada kita ini sememangnya menyarung mekap setiap hari tanpa memberi ruang untuk kulit wajah bernafas (kecuali pada sebelah malam). Betul tak? Sebenarnya, semua harus tahu, seeloknya berilah ruang pada kulit wajah kamu itu berehat dan sekurang-kurangnya bebaskan wajah daripada mekap ini. Biarkan kulit bernafas. Pernah terlintas tidak di fikiran kamu, pasti golongan selebriti (terutamanya) tidak akan membiarkan wajah mereka tampil polos (tidak bermekap) di hadapan khalayak ramai, bukan? Ambil contoh Kim Kardashian, seawal jam 5 pagi, glam team nya sudah pun terpacak di rumah untuk menyolek dia. Tanggapan kamu salah. Tidak semua selebriti begitu. Selebriti hari ini juga sudah tahu bagaimana untuk menjaga kulit wajah dengan baik. Iaitu dengan tampil bare face! Mari saya kongsikan antara selebriti yang tampil cantik tanpa bersolek dan kamu juga harus mempunyai keyakinan tinggi seperti mereka ini.
Lady Gaga
Lihat wajah Lady Gaga yang cukup mulus tanpa secalit mekap di wajah. Foto yang dirakam selepas memenangi Academy Award untuk kategori Best Original Song, dengan menyarung rantai berlian 128 karat daripada Tiffany ini dan bertuala di kepala menyerlahkan lagi wajah polos Gaga. Berseri-seri! Mungkin kerana Ole Henriksen Truth Serum. Sejenis serum yang sering digunakan jurusoleknya, Sarah Tanno, ke wajah Gaga.
Drew Barrymore dan Cameron Diaz
Lihatlah foto yang dimuat naik Drew Barrymore ini. Seakan mengingatkan kita kembali ke wajah muda mereka ketika membintang Charlie’s Angels pada tahun 2000 dahulu. Masih cantik dan berseri-seri. Dan di sebalik swafoto ini, Barrymore berkongsi di kapsyennya, “#SUNSCREENALWAYS”. Mungkin inilah rahsia kecantikan mereka? Baik bersolek ataupun tidak, wahai teman-teman, penggunaan krim pelindung sinar itu amatlah penting ya.
Hailey Bieber
Gadis millennial seperti Hailey Bieber juga tahu bila dia hendak menyah solekan daripada wajahnya. Walaupun dia duta kepada jenama kosmetik Bareminerals, ada masanya dia juga suka tampil polos tanpa sebarang mekap di wajah. Swafoto yang diambilnya pada Julai yang lalu ini amatlah cantik dan menarik perhatian ramai peminatnya kerana jeragat halus yang terdapat di wajahnya itu. Embrace your freckles bak Hailey Bieber, girls!
Sebenarnya ramai lagi selebriti Hollywood yang sudah berani tampil tanpa sebarang mekap di wajah. Tidak perlu rasa takut atau rendah diri memikirkan diri tidak akan nampak cantik dan sebagainya. Dunia hari ini sepatutnya sudah bebas dengan isu buli-membuli ini. Dan nasihat saya, lebih baik kamu pentingkan rutin penjagaan wajah daripada sibuk hendak menutup cela di wajah kamu itu. Biarkan kulit wajah kamu bebas daripada produk berkimia ini sekali-sekala!
Apa pandangan anda?