Posted on July 25, 2017
Bulan lalu sewaktu salah satu penggambaran yang kami laksanakan di Yipieyaya Studio, jurugambar Chuan Looi bertanya pada saya, “Mengapa you dah lama tak shoot gambar-gambar editorial hebat macam you di majalah lama dulu? Sekarang semua shoot you hanya biasa-biasa saja. Simple lighting, plain background dan padanan yang ringkas.” Saya terdiam. Terfikir sejenak sebab ada betul kata-katanya itu. “Hmmm… berdasarkan pemerhatian saya dengan keadaan sekeliling hari ini, sudah terlalu banyak yang mahu membuat penggayaan beria-ia. Solekan yang beran-beran hingga termuncullah rupa paras yang lain daripada yang original. Sehingga pabila sesiapa pun yang melihat sampai tak kenal lagi siapa yang mereka pandang itu.”
Sampai masa Chuan pula yang terdiam kali ini. Mengangguk-angguk entahlah saya tak tahu betul dia faham atau tak. “Sama juga dengan styling. Saya tengok banyak sangat stylist yang dah beria-ia dengan styling. Sehingga nampak terlalu mencuba-cuba pula. Trying too hard. Sampaikan ada yang konsepnya tak sepadan dengan kemampuan diri dan setup – nampak terlalu banyak celanya and again nampak seperti trying too hard. Jadi saya ini yang tidak suka nak sama dengan orang lain mahu kembali kepada styling yang asas. Yang mengetengahkan strong styling dan solekan yang mampir minimal. Yang mementingkan model atau personaliti yang dishoot berbanding styling yang beria-ia sehingga menenggelamkan subjeknya.”
Dia mungkin tak puas hati dengan penjelasan saya. Chuan menyambung lagi, “Ya saya tahu you tak suka sama dengan orang lain. Ke apakah sebab dahulu di syarikat lama, you sering dikekang secara kreatif lalu you mahu membuktikan kebolehan you jadi you lebih galak berkarya?” Saya sama sekali tak setuju dengan kata-kata Chuan ini. “Taklah abang (panggilan saya kepada Chuan). Bukan itu sebabnya. Secara tak sedar kerana memang saya pun secara semulajadinya kini lebih senang menjurus kepada arah styling yang lebih ringkas dan ‘normal’. Tapi tak mengapa. Biar saya tengok balik hasil-hasil kerja lama saya dan saya akan fikir balik caranya.” Tapi jawab Chuan pula lepas itu, “Tak payah fikirlah… Just follow your feeling.” Dah pulak si Chuan ini.
Seminggu selepas itu, saya terbang ke London memenuhi undangan Uniqlo menghadiri previu koleksi kolaborasi mereka dengan JW Anderson. Menemubual Jonathan Anderson sendiri, antara soalan yang ditanyakan padanya ialah apa perasaannya mereka koleksi untuk jenama essential lifewear seperti Uniqlo dibandingkan dengan jenama high end dan rekaan yang mencetus sebelumnya? Jawapannya,
Normal is the new avant-garde.” – Jonathan Anderson.
Bulu Roma saya berdiri sewaktu mendengar jawapannya. Kebetulan Pengurus Pemasaran Uniqlo Malaysia, Dawn Chow turut bersama dalam sesi temu bual. Dan saya baru bercerita kepadanya tentang perbualan saya dengan Chuan Looi. Saya memandang dia dan dia memandang saya. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Anderson, saya berpaling kepada Dawn dan dia dahulu membuka kata sebelum saya, “That means you’re on the right track Reezal.”
Kerana apa Anderson mengutarakan pendapat sedemikian? Saya rasa bukan kerana dia (mungkin) dibayar ribu-ribu untuk menghasilkan koleksi kolaborasi ini tetapi dia yang begitu provokatif dalam rekaan-rekaannya pada akhirnya mungkin senang kembali kepada yang asas. Dia menemui kepuasan dalam dunia serba ringkas. Dan koleksinya bersama Uniqlo biarpun asas, tetapi bijak dimainkan dengan elemen-elemen corak, warna dan pola yang menjadikan asas itu begitu chic.
Metaforanya adalah seperti burung yang terbang tinggi di puncak langit, sekali-sekali penat juga mahu singgah barang sebentar di dahan pokok atau memijak tanah tempat berehat. It gives you a grounding effect. Ini yang ada pada perkara yang asas atau basic atau normal. Ia adalah sesuatu yang semua daripada kita boleh relate to. Kita mati-mati mahu merasa yang asas dan ringkas biarpun hanya terkadang-kadang dalam kehidupan kita. Sedalam mana pun cinta kita pada hidangan fine dining, terkadang-kadang tekak mahu merasa enaknya nasi panas dan telur goreng dituang kicap atau hanya sambal ikan bilis. Malah nasi panas itu jauh lebih sedap daripada fine dining, kan?
Lady Gaga yang begitu outrageous imejnya pun kembali menjadi Joanne dalam album terakhirnya. Solekan ringkas dan kita nampak Lady Gaga yang sebenar. Jadi asas atau normal itu sentiasa ada permintaannya. Dan kerana itu juga, jenama-jenama asas dan lifewear seperti Uniqlo amat memberangsangkan jualannya kini di waktu ekonomi dunia sedang melarat dan penduduk global berkira-kira dalam berbelanja.
Kerana pada normality dan keringkasan itu tergantung nilai timeless dan klasik.
Bicara soal normal juga, I’m dying to see lebih banyak selebriti yang lebih rela go normal berbanding berlebih-lebih dalam bab bersolek dan bersiap. Saya sudah letih menatap wajah-wajah selebriti-selebriti wanita kita yang bersungguh-sungguh dalam bersolek dan bersiap. Kalau kulit sudah cantik bak telur dikupas mengapa harus dipalam lagi dengan foundation setebal dua inci pada kulit? Bukankah ini akan membuat kulit sukar bernafas? Kadang-kadang rasa bagai mereka bertopeng kalau keluar rumah.
Bukan kah cukup dengan concealer pada mana-mana bahagian wajah yang tak rata (itu pun tak perlu kadang-kadang). Secalit gincu satu lapisan dan lorek-lorek sahaja maskara pada bulu mata sudah mencukupi saya rasa. Itu akan membuat kamu lebih cantik berbanding bermekap sakan setiap kali membuat kemunculan.
Ya, ada yang kata solekan tebal perlu apalagi kalau penggambaran editorial atau muncul di pentas, tetapi kalau dikaji selebriti-selebriti wanita lokal mahupun antarabangsa dulu-dulu, semua tak perlu pun bersolek tebal setiap masa. Kerana itu pada wajah Dayang (Nurfaizah), cover girl STAIL.MY saya minta Khir tidak menggunakan foundation sebaliknya menambah sikit-sikit freckles supaya Dayang nampak seperti Dayang. Saya letih sangat sekian lama melihat kulitnya dilitupi mekap tebal. Saya mahu melihat Dayang dan kulitnya yang sebenar. Sama seperti Alicia Keys yang letih bersolek tebal lantas memulakan gerakan tidak bersolek dalam penampilannya. Terus dia nampak segar, baru, ringkas normal dan NOW.
Jika melihat pada gambar-gambar ikonik yang melekat dalam ingatan kita – wanita-wanita seperti Sharon Stone dalam Basic Instinct, Jennifer Beals dalam Flashdance, Ning Baizura dalam cover album Teguh, Noryn Aziz dalam cover album Fantasi O Realiti malah sekeping gambar Susan Sarandon di Festival Filem Cannes sekitar 70-an – imej-imej ikonik ini semua memaparkan mereka dalam versi paling normal dan gaya paling ringkas. Kerana pada normality dan keringkasan itu tergantung nilai timeless dan klasik. Ini juga amat berkait rapat dengan modernity.
Sesuatu yang timeless dan klasik itu juga moden. Dan percayalah sesuatu yang moden itu jika dilihat kembali 20 atau 50 tahun akan datang sekalipun akan masih relevan dan boleh diterima. Begitulah juga pada solekan, dandanan dan styling. Kalau boleh kita mahu sesuatu yang kita buat hari ini terlihat relevan pada masa hadapan. Tidak mahu ia terlihat gonjeng (bahasa mak-mak). Jadi kepada selebriti-selebriti wanita tempatan, berusaha dan belajarlah untuk mencapai modernitiy melalui keringkasan dan normality kerana pada ini semualah ada kecantikan yang abadi. Supaya bila kamu renung gambar kamu 20 atau 30 tahun nanti kamu masih boleh kata, “Ya, aku masih cantik dulu dan kini serta Insya Allah selamanya…”
Apa pandangan anda?