Posted on April 22, 2021
Hashtag Dengki Ke trending di Twitter sejak dua hari lalu. Ia bermula dengan balasan komen yang diberikan Permaisuri Agong di laman Instagramnya. Dia menjawab komen yang ditinggalkan salah seorang follower nya. Isu ini kemudian berkembang kepada isu persandingan Neelofa yang tidak menurut SOP dan tentunya mengingatkan kita kepada PRN di Sabah pabila kluster politikus bermula.
Saya lalu di depan Plaza Damas yang bertentangan dengan Istana Negara. Banyak sekali kereta di hadapan pintu istana dan ramai sekali orang berkumpul. Semua dengan telefon pintar di tangan serta tipod dan banyak juga krew kamera berpusu-pusu di situ. Tertanya-tanya juga apakah sebabnya mereka berkumpul? Ada demo atau bantahan? Menunggu Agong dan Permaisuri Agong keluar istana? Waktu itu media sosial sudah gempar dengan #DengkiKe.
Teman saya kemudian mengirim mesej teks laman web yang melaporkan Tun Dr Mahathir baru sahaja masuk istana untuk menghantar memorandum bagi mengakhiri tempoh darurat. Ohhh… sebab itulah banyak orang di depan pintu istana. Mereka mahu melaporkan tentang usaha Tun M ini rupanya. Dan mungkin meminta komennya terhadap isu ini. Tun M juga melihat bahawa rakyat kini semakin marah dan hilang hormat terhadap institusi beraja selepas laporan tentang Agong menerima vaksin di UAE malah membawa pulang 2000 vaksin yang diberi oleh Putera Mohamad bin Nayan untuk diberi kepada ahli keluarga Agong.
Ini diikuti pula oleh isu balasan komen Permaisuri Agong kepada salah seorang follower nya di Instagram. Dia hanya bertanya, “Chef-chef dapat vaksin jugak ke?” Dan balasan yang diberikan oleh Permaisuri Agong ialah, “Dengki ke?” Dari sinilah bermulanya #DengkiKe dalam Twitter yang menjadi viral sejak dua hari lepas.
First Pic: How it start
Second Pic: How it evolve
Third Pic: How it ends#dengkike pic.twitter.com/zXCAU74z9D— Faiz (@faaizputra) April 19, 2021
My heroic grandfather’s first experience of using the instagram app and had started a trend #dengkike trying to make satirical questions to prove the normalcy of antara dua darjat in 1955 pic.twitter.com/w04l7QQ8h8
— 🌞 (@qeelaghazali) April 19, 2021
Dan tentunya isu ini dikait-kaitkan dengan persandingan Neelofa dan ‘trip kerjanya’ ke Langkawi. Persandingan yang tidak menurut SOP dan trip urusan kerjanya menguruskan pembukaan Chatime sedangkan gambar-gambar yang dimuat turun lebih berbaur percutian. Seterusnya pengguna Twitter turut mengenang kembali punca penularan semula COVID-19 di Malaysia daripada PRN di Sabah yang mewujudkan kluster politikus.
Dengki Ke Mengingatkan Kita Kepada Permainan Kelas Sosial
Yang pasti, situasi #DengkiKe ini sudah melarat ke tahap yang boleh mencetuskan perbalahan dan membangkitkan kemarahan di kalangan rakyat. Dan situasi ini nampak mengarah kepada kelompok selebriti, menteri dan keluarga diRaja – golongan yang sepatutnya memerintah, menjaga sahsiah rakyat dan menjadi contoh tauladan kepada masyarakat disebabkan status sosial mereka. Tetapi daripada semua isu yang terjadi sejak PRN, mereka membuktikan sebaliknya.
Mereka malah mengingatkan kita kepada permainan kelas sosial di mana mereka menunjukkan bahawa dengan kesitimewaan status mereka dalam masyarakat, mereka menyalah gunakannya untuk kepentingan diri sendiri seterusnya membahayakan orang lain dalam hal ini melalui penularan COVID-19. Mereka terlupa bahawa keistimewaan dan status yang mereka miliki datang daripada masyarakat. Status mereka itu hadir bersama tanggungjawab menjaga sahsiah masyarakat dan menunjuk teladan yang baik supaya menjadi ikutan.
Tetapi dalam hal ini bagaimana boleh dijadikan ikutan lagi kalau sampai membahayakan diri dan seluruh masyarakat. Benar, mungkin mereka mampu untuk melakukan ujian COVID malah boleh membayar untuk kuarantin tetapi kalau mereka memikirkan rakyat dann masyarakat, mereka takkan tergamak berbuat sesuka hati malah bangga menunjukkannya di media sosial, Nampak sangat mereka langsung tidak memikirkan kebajikan orang lain.
Mungkin pandemik menjadikan kita lebih sensitif tetapi mungkin juga pandemik membuka kebenaran dan menunjukkan kepada kita bahawa sanjungan kita selama ini rupa-rupanya tidak sepatutnya disanjung. Saya harap kita belajar daripada situasi ini dan membuka mata terhadap yang benar dan yang salah. Bukan apa, untuk kebaikan diri sendiri juga.
Apa pandangan anda?