Posted on September 27, 2017
Waktu lapang saya kini lebih senang terisi dengan menonton Netflix. Alangkah mudahnya mendapat informasi dan ilmu selain keep up dengan segala program terkini di laman ini. Rancangannya pula bagus-bagus. Saya pasti sesiapa yang turut menonton, terperasan akan rancangan Black Mirror yang tersenarai dalam di Netflix. Rancangan ini memaparkan kemungkinan-kemungkinan yang bisa terjadi sekiranya kita membayangkan perkembangan teknologi yang semakin pesat hari ini.
Dalam espisod pertama musim ketiganya, menceritakan seorang wanita yang bekerjaya yang mahu membeli rumah baru. Zaman yang menjadi latar episod ini ialah zaman teknologi di mana semua aktiviti dan urusan dalam hidup bergantung pada sistem merit. Setiap kali kamu berbual dengan sesiapa, selepas itu kamu boleh memberi rating kepada orang itu. Bergantung bilangan bintang yang mahu kamu berikan. Tertinggi lima dan terendah satu.
Justeru menjurus kepada banyak aksi pura-pura sesama manusia kerana apa pun yang dibuat dalam hidup hanya bersandarkan rating dan bintang yang mahu diperoleh. Bagi saya tangga awal fenomena ini sudah sedang berlaku pun dalam hidup kita. Kita hari ini sibuk like gambar-gambar di laman Instagram dan FB. Cuma tidak ada bilangan bintang sahaja lagi. Untuk membeli rumah juga, wanita ini memerlukan markah merit sekurang-kurang 4.5 bintang bagi melayakkan dia membeli rumah.
Dia juga layak mendapat tambahan diskaun 20% andainya rating dia mencapat 4.7 bintang. Jadi wanita ini berusaha mendapatkan lagi 0.2 bintang tersebut. Salah satunya ialah berbuat baik semula dengan teman lama yang dibencinya di sekolah. Ini kerana temannya itu tadi bakal berkahwin dengan orang kaya dan berkawan pula dengan insan-insan berpengaruh. “Ahhhh… Kedengarannya seperti fiksyen lah…” Itu kata kamu.
Tetapi sebenarnya jika dikaji betul-betul, dunia kita hari ini pun sudah tak jauh sangat bezanya dengan keadaan dalam siri Black Mirror ini. Beri masa beberapa tahun sahaja, pasti inilah menjadi dunia kita. Kebergantungan terhadap telefon pintar sudah sama. Yang tak ada lagi cuma sistem merit untuk rate orang sahaja. Yang mana hanya perlukan si pintar mana-mana merekanya dan memasarkannya, DONE. Hidup kita sama dengan kisah yang kamu kata fiksyen itu tadi.
Bagi saya tangga awal fenomena ini sudah sedang berlaku pun dalam hidup kita. Kita hari ini sibuk like gambar-gambar di laman Instagram dan FB. Cuma tidak ada bilangan bintang sahaja lagi.
How Modern Is Modern?
Tentunya menonton siri ini membuat saya terfikir sendiri, sejauh manakah arus kemodenan dunia kita ini boleh pergi? Tahap kemodenan apakah yang bakal kita saksikan dalam masa mendatang. Apakah dunia kita ini akan bergantung sepenuhnya kepada robot dan mesin seperti yang kita tonton dalam filem Bicentennial Man? Apakah kehidupan kita akan dengan mudahnya dilupuskan seperti yang berlaku pada watak Sandra Bullock dalam filem The Net? Kerana semua data peribadi kita ada dalam talian dan dikawal oleh Internet.
Tentulah ada baik dan buruknya perkembangan teknologi ini. Cuma kita sebagai manusia yang mencipta teknologi (sebenar-benarnyalah) yang harus bijak memilih teknologi mana yang baik digunapakai dan yang mana pula tidak perlu dilayan. Ya, pilihan kemodenan itu ada di tangan kita sebenarnya. Kerana kita tahu apa yang baik dan yang buruk untuk hidup kita. Kita paling arif tentang teknologi dan kemodenan yang mana kita perlukan dalam hidup kita dan yang mana tidak.
Jadi bagi saya sejauh mana kamu moden itu ialah akhirnya bergantung pada cara pemikiran kita dan sebijak mana kita menggunakan otak kita. Moden saya mungkin berbeza dengan moden kamu dan begitulah sebaliknya. Apa yang saya rasakan sudah amat moden itu mungkin masih kolot bagi kamu. Dan apa yang saya rasakan kolot pada kamu itu, sudah amat moden bagi kamu. Maka tidak perlulah kita berdebat tentang cara hidup saya atau kamu lebih moden kerana ia tergantung pada minda kita sebenarnya.
Sejauh Mana Kita Dapat Menerimanya?
Dunia kita kan tak pernah berhenti berputar. Era 60an ialah era di mana semua orang mahu menjadi moden dan futuristik. Begitu ia berputar lagi sampai era millennium pabila dunia sekali lagi mahu menjadi moden dan futuristik. Semua mahu menjangka apa yang bakal berlaku di masa depan. Saya kira era ini ialah masanya arus kemodenan dan futuristik ini kembali semula selepas hampir 20 tahun berlalu. Atau mungkin dalam masa 10 tahun lagi?
Saya teringat kata Fendi (Sani) era millennium itu masanya dunia membuang semua perangai dan sikap buruk 90an. Semuanya serba baru dan dunia dahagakan idea baru. Sikap baru, wajah baru dan bajet juga baru merentas semua industri. Saya jangkakan ini akan terjadi tak lama lagi kepada kita. Dengan melanda dan menularnya dunia digital, semua orang beralih kepada dunia media baru. Semua semakin pantas. Saya berhenti seketika menulis kerana perlu makan malam hari jadi Pengarah Kreatif kami, Amy.
Biar semoden mana dan setinggi mana teknologi pun teknologi itu mampu pergi, anda kita manusia yang menciptanya tidak bijak mengawal, percayalah tak lama nescaya akan memakan diri.
Duduk di meja makan, Ryan menerangkan tentang kelebihan iOS 11 iPhone terbaru. Salah satunya ialah kita boleh screen cap apa sahaja aktiviti yang kita sedang buat di iPhone. Sepertinya kita sedang skrol item-item terkini daripada Zara di dalam cart aplikasi jenama ini misalnya. Kita boleh screen cap segalanya dan hantar kepada teman untuk bertanya pendapatnya. Nah… melalui telefon pintar yang sekecil itu pun, saya dapati dengan berkembangnya teknologi dunia hari ini semakin lutsinar (transparent).
Transparency, Jangan Ada Agenda Tersembunyi
Saya mahu mengaitkan semula dengan perubahan sikap era millennium tadi, saya mengharapkan dunia dalam masa terdekat ini akan jadi lebih lutsinar. Tidak mahu lagi ada agenda-agenda tersembunyi dalam diri dan seterusnya menghuru-harakan dunia. Sikap kita ini harus berubah. Manusia di sekeliling kita hari ini terlalu banyak agenda-agenda tersembunyi dalam diri. Mereka tidak lutsinar dalam berhubungan sesama manusia. Saya tidak faham. Sedangkan teknologi menggalakkan transparency, mengapa pula kita harus ke belakang dan berfikiran kolot menyembunyikan pelbagai agenda dalam melangsungkan hidup?
Moden juga bagi saya ialah keterbukaan terhadap semua kemungkinan. Kita tidak boleh selamanya menyekat minda bertahan pada takuk lama. Minda kita harus berupaya menerima perubahan-perubahan yang sentiasa berlaku di sekeliling kita serta mengadaptasikannya di mana-mana yang dirasa sesuai. Jangan terlalu taasub berpegang pada cara lama sehingga minda tak berkembang dan merosakkan peluang-peluang yang sentiasa hadir dalam kehidupan kita.
Moden Juga Bergantung Pada…
Lihat pada pentas Versace, walaupun Donatella mengenang pemergian mendiang abangnya Gianni 20 tahun lalu dengan memanggil lima supermodel memakai dress gold seperti yang pernah dilaksanakan Gianni, tetapi kita dapat lihat betapa moden dan current nya seluruh persembahan itu. Kesemua model yang dipilih – Claudia, Carla, Naomi, Cindy dan Helena sudah menginjak usia tetapi attitude (malah look) mereka kekal moden dan current. Helaian yang direka juga di modernized kan sehingga mencipta momen standing O di akhir pertunjukan. Nah… ini moden bagi saya.
Saya juga suka merujuk kepada beberapa lagi jenama fesyen yang saya rasakan moden dan sesuai dipakai bila-bila pun. Celine, Jacquemus dan Victoria Beckham (di pentas SS18 NYFW nya) mengilhamkan helaian-helaian yang takkan lekang dek masa. Inilah definisi moden sebenar. Begitu juga Gucci yang walaupun kempen iklan musim luruhnya merujuk era sci-fi seperti yang dibayangkan pada era 50an dan 60an terutamanya rancangan TV Star Trek, namun helaian-helaian dan rekaan yang diketengahkan sangat current seperti yang diingini pencinta fesyen dunia hari ini.
Begitulah walau semoden mana sekalipun kita mahu jadi, kalau boleh jangan sampai semua jati diri kita terhapus seperti yang terjadi pada watak Sandra Bullock (sekali lagi) dalam filem The Net. Kerana telah terbuktikan dalam filem dan program TV US sebelum-sebelum ini, segala ini mungkin terjadi dalam kehidupan manusia. Cuma tergantung kita mahu membuka mata atau tidak dalam menganalisa maklumat-maklumat ini langsung diadaptasikan dalam kehidupan. Biar semoden mana dan setinggi mana teknologi pun teknologi itu mampu pergi, anda kita manusia yang menciptanya tidak bijak mengawal, percayalah tak lama nescaya akan memakan diri.
Apa pandangan anda?