Posted on May 1, 2018
Aduh, hati saya ini berdebar-debar. Walaupun jiwa saya bagai tak sabar. Persiapan akhir rancak berjalan dan saya dan Amy diperlukan memerhati secara dekat, halus lagi terperinci tentang semua aspek. Ryan, Ardi, Ashura, Zaidi dan Amira pula sibuk bertemu dengan semua influencer dan Neelofa (sebagai tetamu VIP saya amat berterima kasih kerana sudi hadir ke majlis kami) menghantar kad undangan pop up (idea Ashura) secara peribadi kepada mereka semua. Jika kamu mengikuti platform medial sosial kami, pasti kamu sudah pun melihat sendiri setiap seorang mereka menerima undangan.
Calvin (pegawai pemasaran kami) pula tak menang tangan berurusan dengan kontraktor, sembilan artis yang terpilih menghiasi #10STAILISHROOMS, dengan Pavilion dan semua supplier yang sama-sama menjayakan projek sulung STAIL.MY ini. Sedang saya menulis ini pun, beberapa artis menghantar gambar menunjukkan work in progress mereka kepada Calvin. Saya jadi semakin teruja. Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar walaupun ada sedikit-sedikit sedu di sana sini. Tapi tidak satu pun menghalang perjalanan kami melangsungkan majlis #10STAILISHROOMS ini.
Idea bijak #10STAILISHROOMS ini sebenarnya datang daripada buah fikiran Pengarah Kreatif kami, Amy dalam membayangkan dunia digital hari ini yang aktif dengan aktiviti mengambil gambar dan berkongsikannya melalui platform media sosial. Kerana itu dia memahukan bilik-bilik ini dihias dengan nukilan seniman-seniman tempatan kita yang berbakat besar. Perkongsian gambar dan hashtag ini akan lebih bereerti kerana ia juga bermakna mereka akan berkongsi seni yang tercipta dalam setiap bilik. Itulah objektif yang mahu kami capai melalui projek ini.
#10STAILISHROOMS juga memberi peluang kepada kami mengumpul bakat-bakat tempatan ini di bawah satu bumbung di mana kami bertindak sebagai platform yang mengangkat bakat mereka untuk dikongsi bersama masyarakat umum. Kami bertuah kerana penaja lokasi, Pavilion Kuala Lumpur berbesar hati pula membenarkan kami membina 10 bilik ini di sekitar aras 3 dan 6. Lebih ramai orang bisa menikmati #10STAILISHROOMS selama 10 hari ia berpasak di Pavilion. Bayangkan… dari 4 hb Mei hingga 13 hb Mei, khalayak umum boleh berkongsi nukilan-nukilan seni ini bersama pengikut dan teman maya mereka. Saya tak sabar.
Sembilan artis yang kami pilih masing-masing punya bakat dan kreativiti tersendiri. Artis graffiti, Cloakwork yang seringkali curi-curi membuat lukisan grafitinya di seluruh Kuala Lumpur juga pernah ‘menconteng’ sampai ke Eropah bakal menghiasi bilik Graffiti tajaan UNIQLO. Interior designer, Adrien Kent membawa tema Fin Faction nya yang berlatarkan hidupan laut duyung bersama mesej menyelamatkan lautan daripada pencemaran botol plastik di bilik Fantasi tajaan Oris. Artis terrarium Ficus & Jars, Faisal Hashim dan Faizal Mahmud pula membawa tumbuh-tumbuhan tropika memenuhi bilik Nature tajaan Bonia. Ada juga bilik Beauty yang menampilkan rambut-rambut palsu berwarna-warni hasil ciptaan maestro rambut, David Shaw ditaja oleh Shiseido Professional. Ya kamu boleh datang ke bilik ini dan meletak kepala di bawah rambut-rambut palsu ini untuk peluang bergambar.
Enam lagi bilik lain termasuklah bilik Ilusi (oleh artis Bono Stellar), bilik Light (oleh artis Jun Ong), bilik Infinity (oleh artis Kyle E), bilik Doodle (oleh artis Zami Musa), bilik Changing (oleh artis Man Chien) dan tentu sekali bilik STAIL.MY yang akan dihias sendiri oleh pengunjung dengan stiker logo STAIL.MY memenuhi seluruh bilik. Jadi saya menyeru semua pembaca untuk tidak ketinggalan menyertai keseronokan kami bersama #10STAILISHROOMS ini. Bersama-samalah dengan kami berkongsi idea indah daripada sembilan artis ini menerusi media sosial kamu. Bukan kah lebih baik berkongsi sesuatu yang bermanfaat dan lebih membangun berbanding sesuatu yang tidak memberi faedah?
Bermula tanggal 4 Mei hingga 13 Mei, seluruh sidang redaksi STAIL.MY akan berkampung di Pavilion. Datanglah beramah mesra, pada hari-hari tertentu akan ada social media influencer di #10STAILISHROOMS terpilih. Kamu boleh bergambar, bertemu dan berbual dengan mereka secara peribadi. Jangan lupa rakam gambar, tag, hashtag dan upload di media sosial. Semoga projek kecil sulung kami ini menjadi antara majlis sosial paling meriah dan penting hasil sokongan kamu semua! Jumpa di Pavilion Kuala Lumpur.
Apa pandangan anda?