Posted on May 7, 2020
Dalam situasi PKP dengan banyak masa yang kita ada, seringlah terkenang semua cerita-cerita lama. Baru-baru ini saya teringat perbualan telefon saya dengan arwah mama. Betul kata mama dulu, “Ejal, awak tak payahlah belanja banyak sangat. Gaji awak pun belum besar lagi. Kenalah jimat-jimat.” “Tapi makan tetap kena makan kan ma?” saya menjawab tidak setuju. “Tak payahlah makan macam-macam. Nasi, ikan goreng sayur cukuplah. Takkan lah kalau bungkus lauk tu aje jadi mahal? Tak berapa sen kot. Duit lebih tu bolehlah simpan.”
Saya masih tak faham dengan usul mama. Sebab selalunya kalau saya keluar makan tengah hari dengan teman-teman sepejabat, mesti nak ambik banyak-banyak lauk (mungkin nafsu makan waktu itu kan muda lagi dan besar pula) dan harganya mesti hampir RM10 atau lebih. Ataupun mungkin kerana kos sara hidup di KL memang tinggi. Makan tengah hari atau malam memang biasanya senang-senang cecah RM20 hingga RM30 bergantung pada apa yang kamu makan. Kadang-kadang kerana terlalu mengikut nafsu makan teman-teman, belanja makan boleh cecah RM50 atau lebih. Bayangkan kalau hampir setiap hari begitu?
PKP membuat saya setuju dengan usul mama lewat 15 tahun dahulu. Sejak mula PKP 18 Mac lalu, setiap hari saya masak di rumah. Mujur mama juga melengkapkan saya dengan skil memasak hahaha. Jadi tak perlulah saya beratur panjang setiap kali nak beli makanan atau berasak-asak apalagi sekarang PKPB baru diimplementasi. Tak perlu berleser-leser dengan virus Corona daripada orang ramai. Gerun memikirkannya. Saya setuju sangatlah dengan kata mama, kita boleh jimat-jimat. Banyak sebenarnya boleh kita jimat.
Tentunya saya takkan perasan perkara ini jika saya tidak membeli barang-barang dapur sendiri. Kos beli barang dapur tidaklah mahal mana. Tentunya pabila dibandingkan dengan harga yang dicaj kebanyakan pengusaha restoran di luar sana, lebih banyaklah jimatnya kalau kita pandai masak sendiri. Lebih saya geram lagi selalunya tak sedap pula makanan mahal yang dijual di luar sana. Ya setelah sering masak sendiri ni, saya tahu rasa apa yang lidah saya mahukan dalam setiap makanan. Kalau terkurang rasa, saya jadi geram dan tak puas hati kerana saya tahu caranya untuk bagi jadi masakan itu sempurna rasa.
Tak payahlah makan macam-macam. Nasi, ikan goreng sayur cukuplah. Takkan lah kalau bungkus lauk tu aje jadi mahal? Tak berapa sen kot. Duit lebih tu bolehlah simpan.
Sebenarnya saya juga perasan yang kita ni bukanlah perlu makan banyak mana sangat pun. Betul kata mama. Nasi setengah pinggan dengan satu atau dua lauk, perut dah kenyang alhamdulillah. Tak perlu lah sampai semeja penuh hidangan. Itu yang dimaksudkan dengan menurut nafsu. Dan ia amalan yang tidak elok sebenarnya. Kerana ia akan menjurus kepada pembaziran. Saya tahu ini memang selalu sangat disebut dan saya baca tapi hanya selepas PKP ini saya mendapat kesedaran melalui pemahaman setelah melaluinya sendiri. Kadang-kadang kalau kamu masak sumber protein seperti ayam atau ikan sekali dengan sayur di dalamnya, tak perlu pun sampai dua lauk. Satu dah cukup.
Bermakna, kalau kita betul ikut keperluan manusia (yang asas) kita semua sebenarnya memang boleh hidup sederhana. Seimbang. Berada di tengah-tengah. Middle class. Tidak terlalu mewah tidak pula terlalu papa. Dan saya rasa inilah gaya hidup paling sempurna. Kerana kalau kita percaya pada keseimbangan hidup, kita semua seharusnya hidup secara sederhana. Inilah juga yang diajarkan dalam Islam. Untuk semua umat manusia hidup bersederhana dan berbagi rezeki.
Tetapi tidak. Dunia hari ini tidak begitu. Mengapa? Kerana lebih banyak manusia yang lebih senang mengikut nafsu. Mereka menjadi tamak. Mereka mahukan lebih dan lebih dan lebih lagi. Mereka tidak lagi mengikut keperluan diri. Sebaliknya lebih mengikut kemahuan. Kalau sebenarnya cukup sahaja makan nasi setengah pinggan dan ikan goreng dengan sambal belacan, mengapa turutkan nafsu dan kemahuan kita mahu makan Rakuzen, Chilli’s atau Eatalia dan sanggup bayar sampai RM100 sekepala? Ya Allah saya tak percaya saya membenarkan diri saya berbelanja sampai begitu. Kalau mama masih hidup, tentu dia berleter tak setuju.
Saya membesar secara sederhana. Dari kecil, mama masak untuk kami sekeluarga setiap hari. Saya membesar dengan masakan mama. Sedap dan berkhasiat sampai saya jadi orang macam hari ni. Alhamdulillah tak ada penyakit yang merbahaya. Semuanya sebab khasiat daripada masakan mama. Dan mama jarang sangat masak makanan yang mahal-mahal. Cukup-cukup untuk keperluan diri sahaja. Wajib ada protein, mesti ada fiber (sayur) dan karbohidrat (nasi). Itu sahaja. Tapi saya suka semua masakan mama. Tak ada yang tak sedap. Okay sahaja kan?
Kerana lebih banyak manusia yang lebih senang mengikut nafsu. Mereka menjadi tamak. Mereka mahukan lebih dan lebih dan lebih lagi.
Jadi saya terfikir, mengapa kita perlu berlebih-lebihan dan membazir-bazir berbelanja banyak untuk makan sedangkan saya besar sampai hari ini, mama bagi makan yang perlu sahaja. Kadang-kadang dia akan masak ketam masak rempah sebab itu kegemaran saya. Jadi saya janji pada diri, selepas PKP ini nanti saya akan terus hidup sederhana, makan yang perlu sahaja. Berjimat-jimat dan menabung. Kerana kita tidak akan tahu apa bentuk ujian yang akan Tuhan beri pada kita. Sekurang-kurangnya dengan hidup sederhana dan ada simpanan, insya Allah kita akan bersedia dan boleh menempuhinya.
Maaf mama. Sampai kena lalui PKP, baru saya faham dan setuju dengan usul mama 15 tahun yang lalu. Betul kata mama. Syukur kerana sekurang-kurangnya saya sedar cepat. Tidaklah saya dalam kegelapan dan jahil sampai menutup mata meninggalkan dunia. Kata-kata mama saya selalu ingat dan saya ingat semua. Dan hanya itulah yang saya ada, hanya kenangan dan kata-kata mama yang akan saya pegang sampai bila-bila. Kepada mereka yang masih punya emak, tunjukkanlah sayang kamu pada ibu selagi mereka ada. Kalau tidak, jadi macam sayalah. Tiada sehari pun berlalu tanpa saya rindu pada mama. Selamat Hari Ibu!
Azreezal Hafidz
Ketua Pengarang
Apa pandangan anda?