Posted on December 1, 2016
Setiap kali dalam perjalanan pulang ke rumah dari KLIA saya pasti akan terpandang iklan billboard gergasi gadis/ jejaka (saya pun tak pasti) berselindung penuh di sebalik purdah hitam. Yang nampak hanya matanya sahaja. Ia iklan untuk produk kecantikan mesra wuduk atau something like that. Imej ini menjadi topik perbincangan kegemaran saya dan teman. Kami sebenarnya tidak faham objektif iklan ini. Kalau benar ia tentang produk kecantikan mesra wuduk, bukankah sepatutnya tidak diletakkan langsung figura gadis itu di situ. Cukup lah sekadar meletakkan produknya sahaja. Kalau benar ia berlandaskan Islam, tidak perlu pun menggunakan model wanita di situ kerana ia tidak bertepatan sama sekali dengan konsep Islam itu sendiri yang melarang wanita dipergunakan seperti itu. Ini hanya pandangan saya. Dan bagi saya juga imej iklan ini dengan wanita berpurdah defeat the purpose sama sekali. Kan ia produk kecantikan, bagaimana pula wanita (atau lelaki, kita pun tak tahu kerana tak nampak pun wajahnya) berpurdah ini melambangkan kecantikan sementelah wajahnya tak kelihatan langsung?
Ini juga mencetus kepada persoalan seterusnya dalam minda saya, apakah ini imej orang Malaysia kini? Berpurdah dan berserban? Ha, bercakap tentang berserban juga – ada juga satu lagi iklan billboard Ustaz Akhill Hay yang saya tak pasti apa produknya di highway dari KLIA. Ya apakah ini sebenarnya stail orang Malaysia? Yang wajar diangkat dan diketengahkan sampai menjadi iklan billboard di highway? Bagi saya tidak. Ini sebenarnya lebih terarah kepada stail dan budaya orang Arab. Merekalah yang berpurdah dan berserban. Itu pun kalau dikaji sebenar-benar sebabnya ialah kerana mereka hidup asalnya di padang pasir. Purdah dan serban itu adalah sebagai melindungi wajah dan kepala daripada habuk dan pasir di gurun. Tapi kita di sini ada sesetengahnya yang mengambilnya menjadi stail dan gaya kita. Saya tidak berapa setuju apalagi jika ia diangkat dan diketengahkan seperti melambangkan stail kita pula.
Saya juga membawa persoalan apakah sebenarnya stail kita ini kerana lewat kebelakangan ini saya rasa sudah banyak yang terlalu mengikut trend. Orang kita sebenarnya sudah hilang stail peribadi. Saya menjawab beberapa temu bual lewat kebelakangan ini tentang isu hijab. Dan dalam setiap jawapan itu saya akan katakan yang hijab ini telah menjadi trend sekarang. Bukan lagi tuntutan agama dan kerana gerak hati sendiri. Kerana ia menjadi bahan keuntungan, banyaklah wanita-wanita yang tidak bertudung mula bertudung dan memulakan pula bisnes tudung untuk mengaut keuntungan pantas dan menjadi jutawan. Kerana tekanan daripada teman-teman (bukan sahaja di kalangan orang biasa tapi saya rasa di kalangan selebriti juga) banyak wanita yang bertudung bukan atas kerelaan dan hidayah dalam diri sendiri. Apakah wajar ini dianggap sebagai stail orang Malaysia jika pada asas dan akarnya sendiri sudah khilaf dan tersasar daripada niat yang sepatutnya? Bahkan banyak pula yang berpura-pura bertudung hanya kerana mahu memuaskan hati suami dan keluarga mertua. Pabila tidak bersama mereka, tudung hilang entah ke mana dan perangai pula lebih gila dan liar berbanding wanita tak bertudung.
Ada juga kes di kalangan teman saya di mana dia terpaksa bertudung kerana mahu menang kes mahkamah syariah menuntut hak penjagaan anak-anak. “Kalau aku free hair, nanti susah aku nak menang kes ni. Kau taulah nanti hakim akan kata aku tak fit untuk menjaga anak-anak kerana akidah aku dan perlakuan aku tak serupa wanita Muslimah,” sampai begitu sekali situasi sebenar wanita bertudung hari ini. Ada juga wanita yang perangai dan akidah tidak selaras langsung dengan imej wanita bertudung. Kasar, tidak sopan, merokok, memakai yang ketat-ketat dan tidak ayu sama sekali. Bagi saya apalah gunanya bertudung jika perangai itu tidak serupa perangai wanita bertudung yang sepatutnya. Jadi sekali lagi saya tidak setuju dengan imej bertudung yang begitu menjadi trend sekali lewat beberapa tahun kebelakangan ini kerana pada saya ia bukanlah dilaksanakan bertepatan dengan objektif sebenarnya.
Stail Camelia juga bagi saya menghampiri stail-stail wanita Malaysia yang sebelum ini melambangkan wanita Malaysia sebenar. Stail pelakon-pelakon era 50-an seperti Saloma dan Maria Menado, malah gaya Zaiton Sameon atau Anita Sarawak. Nah, bagi saya inilah gaya wanita Malaysia yang sebenar. Moden, tidak keterlaluan, classy dan tahu sahsiah serta peribadi diri.
Saya juga ada ditanya dalam satu wawancara online tentang stail jalanan di Malaysia. Apakah kita memiliki stail jalanan tersendiri. Jawapan saya tak ada. Kerana apa? Kerana kekangan budaya dan persepsi majoriti masyarakat yang masih tidak dapat menerima stail peribadi dan individualiti, kebanyakan kita tidak berani memiliki stail peribadi. Jadi dari manakah datangnya stail jalanan kita kalau semua bergaya seperti yang sama dan seperti diklon? Bagi saya ini bukan stail jalanan tetapi stail kekangan masyarakat. Di kalangan wanita sendiri, ada yang malu dan segan jika tidak bertudung hari ini. Berasa seperti out of place memandangkan pandang kanan kiri semuanya bertudung sampai kadang-kadang kita bertanya juga apakah kita ini di Malaysia atau di Timur Tengah. Ini tidak adil kerana sebagai manusia setiap daripada kita berhak bergaya dan memakai apa pun. Berhak untuk bertudung atau tidak dan tidak perlu pun berasa segan atau dihakimi sekiranya kita tidak mengikut arus perdana (dalam kes di Malaysia, bertudung).
Jadi apa sebenarnya stail orang Malaysia? Saya kemaruk mahu kembali hidup di zaman 60-an, 70-an, 80-an atau 90-an di Malaysia. Mendengar cerita teman-teman zaman remaja mereka melalui era-era ini kata mereka, orang Malaysia lebih bebas berpakaian dan berstail. Masing-masing tidak gentar mengetengahkan stail peribadi. Tidak gusar mencedok gaya artis pujaan luar negara, cross dressing atau seksi kerana waktu itu kurang judgement. Masyarakat kita tidak menghakimi waktu itu. Masyarakat Malaysia lebih liberal. Jadi mereka tidak gentar berstail sakan. Setiap malam umpama acara besar bagi mereka. Masing-masing pasang badan bergaya sakan hanya untuk keluar melepak atau ke kelab- kelab. Mereka berkumpul di rumah sendiri atau teman-teman untuk bersiap menghadiri majlis.
Saya juga rindu di zaman lewat 90-an dan awal millennium di mana artis-artis kita tidak takut berstail dan berfesyen. Nama-nama seperti Michael Ong, Rizalman dan Bernard Chandran disukai kerana mereka mencantikkan artis-artis kita. Camelia antara yang saya kagumi kerana berani bergaya dan mengangkat stail peribadi. Bergaun meleret atau berdress mini low cut dan kadang-kadang bergaya rocker chic. Dan saya terus-terusan mengagumi Camelia sampai hari ini kerana bagi saya stailnya adalah stail wanita Malaysia yang sebenar. Ayu, lembut, classy dan tidak berlebih-lebih. Cukup-cukup sekadar highlight kan kecantikan diri dan kekal classy dalam apa jua persalinan dan acara dihadiri.
Stail Camelia juga bagi saya menghampiri stail-stail wanita Malaysia yang sebelum ini melambangkan wanita Malaysia sebenar. Stail pelakon-pelakon era 50-an seperti Saloma dan Maria Menado, malah gaya Zaiton Sameon atau Anita Sarawak. Nah, bagi saya inilah gaya wanita Malaysia yang sebenar. Moden, tidak keterlaluan, classy dan tahu sahsiah serta peribadi diri. Saya rindu saatnya orang Malaysia kembali liberal dalam stail dan tidak gentar akan individualiti.
Apa pandangan anda?