Posted on June 19, 2017
Dulu-dulu waktu bekerja di tempat lama, antara banyak cerita yang saya dengar di kalangan teman-teman ialah tentang seorang model 90an yang stailnya tersekat dengan eranya. Bermakna stailnya itu kekal sama waktu zaman kegemilangannya di era 90an. Tak payah lah cakap fasal helaian yang dikenakan tetapi gayanya dikatakan masih lagi bertemakan 90an. Kemeja-kemeja Versace zaman Gianni masih dipakai bersama jean high waisted dan tali pinggang chain. Mungkin zaman kamu modeling dulu sesuailah kamu mengenakan helaian-helaian sebegini untuk penggambaran fashion spread tetapi kalau dah di zaman millennium masih menggayakan bukah kah kamu akan digelar outdated?
Raya bakal diraikan hujung minggu ini. Tentu banyaklah yang tak sabar menggayakan helaian-helaian Raya baru yang dibeli. Tapi bagi kami di STAIL.MY melalui beberapa projek Raya yang kami laksanakan, setiap gaya yang kami ciptakan haruslah moden dan stailish. Ringkas dan minimalis. Sebolehnya kami tidak mahu mengetengahkan gaya yang sarat dan keterlaluan. Seperti banyak rekaan yang saya lihat dijual di mana-mana sekitar KL ni – berpeplum, bertingkat-tingkat ropol dan berat bajunya menggunakan fabrik neoprene tak habis-habis. Saya jadi buntu memikirkan bagaimana mahu menggayakan baju-baju kebaya dan kurung yang diberatkan ini waktu Raya (waktu paling sibuk melayan tetamu) dalam cuaca seperti di Malaysia ini yang panas tak ingat.
Walaupun jika dilihat betul-betul, baju-baju yang peplum bertingkat-tingkat ini dengan lengan puff bertingkat sebenarnya mengingatkan saya dengan rekaan baju-baju yang dipakai Dee, watak pondan dalam program Jangan Ketawa di era 90an dulu.
Helaian yang memang sengaja direka bagi menghidupkan watak Dee itu supaya nampak keterlaluan dan exaggerated. Tetapi untuk watak dalam sitkom sesuailah tapi kalau nak dipakai hari biasa-biasa dalam zaman moden hari ini saya rasa samalah perumpamaannya dengan cerita model 90an itu tadi – OUTDATED.
Entah siapa sebenarnya yang memulakan trend baju Raya berat dan bertingkat-tingkat ini. Bukan apa, kerana trend dan rekaan merepek dan tak functional inilah yang menjadi ikutan dalam masyarakat dan diingatkan sebagai sesuatu yang betul dan stailish. Mungkin ada yang suka dan dapat menerima sementelah banyak peniaga yang berjaya menjual berhelai-helai rekaan ini. Tapi bagi saya ia bukan sahaja sesuatu yang tak stailish tetapi juga tidak sesuai dibuat berhari raya. Kebanyakannya saya lihat direka untuk majlis keramaian atau open house yang hanya memerlukan kamu duduk di satu sudut, pose dan bersalaman dengan tetamu yang datang kepada kamu. Kalau perlu ke sana ke mari melayan tetamu dan menguruskan rumah terbuka, alamatnya tak sampai setengah jam dan mula lemas sebab panas dan memikirkan fabrik yang terlebih-lebih bertingkat-tingkat itu yang mengganggu pergerakan.
Kerana itu pabila Club 21 mahu berkolaborasi dengan kami dalam mencipta look-look Raya bersama helaian-helaian jenama di bawah naungan mereka – Marni, Acne Studios, Mulberry, Emporio Armani, Paul Smith, DKNY, Balenciaga, Jacquemus dan terbaru Pleats Please (sekadar menyebut beberapa), saya teruja dan gembira kerana dapat mengilhamkan look-look Raya serba moden dan minimalis. Siapa kata beraya itu hanya sesuai jika kita menggayakan rekaan-rekaan tradisional semata-mata? Bukankah akan lebih current jika kamu bisa mencipta gaya-gaya tradisional atau modest menggunakan helaian-helaian moden. Ciptakan look kebaya atau kurung dengan dress dan kain panjang bersama top lace misalnya. Terjemahkan gaya kurung bersama top longgar panjang dan sarung moden atau skirt midi. Ini akan lebih mengundang tetamu bertanya dan berminat mengetahui dari mana kamu mendapat helaian Raya kamu. Malah lebih functional kerana helaian-helaian ini akan bisa kamu gunakan bila buka masa Raya sekalipun. Lihat sendiri bagaimana Fyza dan Ieedah Kadir serta Che Puan Juliana Evans kami gayakan dalam cara paling moden ini. Kami juga ‘bercanda’ dengan helaian-helaian Hana Tajima for Uniqlo bersama Alicia Amin, Sharifah Amani dan Husna Mustaffa. Helaian-helaian yang saya sarankan sangat kamu membelinya kerana ia sesuai digayakan Raya ini untuk menganjurkan rumah terbuka atau berkunjung ke rumah sanak-saudara atau sekadar melepak-lepak kasual kerana fabriknya yang sangat selesa dan rekaan yang sungguh ringkas tetapi stailish.
Saya juga perasan dengan peniaga-peniaga musim Raya ini kebanyakannya menggunakan asas agama dalam berniaga. Benar dek kerana propaganda-propaganda agama yang banyak tersebar di negara kita sekarang ini dan kerana secara budayanya juga masyarakat kita sekarang lebih banyak terdorong ke arah keagamaan tentulah mudah laku barang-barang yang dijual. Tetapi ia membawa kepada persoalan, apakah benar landasan yang tercipta ini? Kerana majoriti Muslimah sekarang ini bertudung, setiap peniaga berlumba-lumba mencipta rekaan tudung pelbagai rupa dan corak. Sampai ada yang saya lihat lari daripada tujuan sebenar bertudung yakni menutup aurat dan tidak mengundang perhatian sesiapa. Ada yang mereka tudung menggunakan fabrik warna terang menyala, dihiasi pula kerongsang-kerongsang atau embellishment melampau-lampau – apakah ini masih berpaksikan tujuan yang betul? Bagi saya ia bukan sahaja akan mengundang perhatian lelaki bahkan akan mengundang perhatian jantina sendiri, yang mungkin akan bercakap-cakap di belakang dan mencipta iri serta sikap berlumba-lumba. Apakah ini masih boleh dianggap berlandaskan prinsip dan konsep agama Islam?
Begitu juga dengan rekaan-rekaan bertingkat-tingkat dan bersulam jemeki dan batu-batu Swarovski atau bulu – walaupun ia bertutup bersarat tidak menampakkan mana-mana bahagian tubuh tetapi bukankah semua hiasan dan ropol bertingkat ini akan mengundang perhatian dan mata yang memandang?
Bermakna ia lari daripada konsep agama itu yang tidak kira agama mana sekalipun menyarankan kesederhanaan dan tidak melebih-lebih dalam apa jua aspek kehidupan. Haih entahlah. Saya cuma berharap sebagai pengguna kita semua menjadi lebih bijak dalam memilih apa yang mahu dibeli dan dipilih kerana jika silap menyokong jenama dan peniaga, bukan sahaja ia akan jauh lari dari konsep agama, ia bahkan akan menggalakkan pembaziran yang juga ditegah dalam agama. Dan kepada peniaga-peniaga ini pula, instead of hanya memikirkan keuntungan semata-mata, apa kata fikirkan juga tentang mindset masyarakat kita dan seharusnya berlandaskanlah etika berniaga dan agama yang sebetulnya? Kamu mempunyai tanggungjawab mendidik dan menunjukkan masyarakat stail dan paksi yang betul. Itu yang saya tak nampak pada peniaga-peniaga yang bersungguh-sungguh berniaga musim perayaan ini.
Jalan TAR penuh sejak seminggu yang lalu. PWTC pula menganjurkan jualan tanpa henti 72 jam dan daripada laman-laman media sosial saya lihat manusia berpusu-pusu melaut dan membanjiri gerai-gerai yang menjual barangan Raya. Tahniah kepada beberapa teman-teman yang turut menyertai pesta-pesta jualan ini. Saya bangga dengan usaha dan semangat berniaga mereka. Team SO.LEK dan BIBIR, Maslea dan Ana Abu, biskut sedap Wake & Bake serta sepatu Nelisa Hilman di Publika. Umma dan Nita di PWTC serta Shals.KL – ini antara jenama-jenama yang saya berkenan dan letakkan kepercayaan kerana mereka semua berteraskan tema moden, minimalis dan functional. Teruskan usaha dalam mempromosikan produk masing-masing. Saya percaya perniagaan kalian akan terus berkembang dan mungkin bisa diperkenalkan ke luar negara menggembling keuntungan berganda-ganda.
Salam kemaafan kami di sidang redaksi STAIL.MY hulurkan kepada pembaca semua. Jika ada tersalah kata dan terkasar bahasa harap sama-sama kita saling memaafi. Raikan Raya dalam cara paling sederhana dan selamat. Teruskan membaca STAIL.MY agar bukan sahaja Raya tetapi seluruh aspek kehidupan kita akan lebih MODEN. MINIMALIS. FUNCTIONAL. STAILISH. Selamat Hari Raya.
Apa pandangan anda?