Posted on November 2, 2017
Media sosial hari ini saya rasa terlalu menguasai dunia kita. Setiap setengah jam kalau tidak membuka aplikasi Instagram atau FB bagaikan tak lengkap masa yang berlalu. Sepertikan ketagih melihat foto orang di dua aplikasi ini. Atau mungkin mahu melihat engagement apa yang terbaru di laman Instagram atau FB sendiri. Itu tak termasuk lagi stalking – melihat apa yang teman-teman sedang buat atau aktiviti mereka yang kita follow.
Atau bukan itu sahaja, banyak juga yang menggunakan media sosial sebagai wadah untuk berniaga atau mengembangkan lagi jenama atau produk yang dibangunkan sendiri. Sewaktu di New York baru-baru ini saya sempat makan malam bersama model Malaysia yang kini menetap di sana, Sheena Liam. Dia mengadu, akaun Instagram peribadinya kini lebih sedikit jumlah followers berbanding akaun hair embroidery nya. “Ya ke?” tanya saya tak percaya.
“Ya…” ceritanya lagi. “Mungkin banyak orang suka dengan seni sulaman rambut itu. Sehari lepas saya membuka akaun tersebut, saya terus mendapat tiga ribu followers. Seminggu kemudian, naik lagi sampai 10K.” Begitulah berkuasanya media sosial hari ini. Zaman di mana manusia hanya bertuhankan media sosial hingga TV dan media cetak pun terkesan tidak mendapat sambutan lagi.
Jadi saranan saya pada Sheena, “Tak mengapalah, you tak dapat jadi influencer guna akaun peribadi tapi you boleh guna akaun @times.new.romance sebagai akaun influencer you.” Dia diam sahaja dan tersenyum. Tapi memang cantik pun hasil seni yang dibuatnya menggunakan rambut itu. Menarik dan unik. Itulah yang menjadi USP (Unique Selling Point) dalam media sosial kini. Kerana inilah dua elemen yang membuat orang mahu mengikuti dan mencontohi.
Daripada pengalaman membelek-belek media sosial juga saya menyimpulkan bahawa kita hari ini hidup dalam dunia ‘Real Fake’.
Maksudnya apa, tanya kamu? Kita menganggap semua yang kita tengok di Instagram dan FB itulah realitinya dalam hidup mereka yang memuat turunkan gambar. Sedangkan daripada apa yang saya tahu, kebanyakan yang dipersembahkan dalam laman media sosial itu adalah palsu belaka.
Kerana apa saya kata begini? Sesetengah instagrammer yang saya kenal (yang sudah popular dan ada puluh-puluh ribu followers) sebenarnya bukanlah pun seperti yang kita lihat mereka dalam paparan media sosial. Ada yang gay tapi memperlihatkan dirinya sebagai lelaki straight. Ada yang kurus badannya tapi nampak bulky dalam gambar-gambarnya.
Ada juga instagrammer wanita yang tak mahu langsung menanggalkan solekannya pabila kami meminta dia berbuat demikian untuk penggambaran kami kerana bimbang orang akan nampak kulit wajahnya yang sebenar (yang tidak secantik dalam gambar-gambar instagramnya kerana terlalu tebal mekapnya). Saya juga tidak terkejut jika ada individu yang sebenarnya hitam dan jahat orangnya tetapi nampak seperti malaikat melalui akaun instagramnya.
Jadi inilah yang saya maksudkan melalui terma ‘real fake’.
Saban hari kita disogok dengan paparan-paparan yang kita rasakan adalah realiti sebenar kehidupan mereka. Sedangkan realitinya ia hanyalah imej yang yang dicipta untuk dipamerkan kepada masyarakat. Keindahan, kesempurnaan, kegembiraan dan kesatuan serta pelbagai lagi ke… ke… ke… yang boleh ditunjukkan melalui kehidupan dalam media sosial.
Sebenarnya situasi ini bukanlah baru malah sejak dari zaman bekerja dengan media cetak lagi, apa yang kami hidangkan di halaman majalah semuanya dibuat dalam versi lebih indah, lebih sempurna, lebih cantik daripada realitinya. Bukan apa, kerana untuk memberi inspirasi dan gambaran lebih baik buat pembaca supaya mereka dapat memperbaiki gaya hidup dan beraspirasi untuk menjadi lebih baik dalam kehidupan.
Kalau dah namanya media, memang waktu belajar dulu pun sudah termaktub daripada kajian-kajian yang dibuat – media wadah paling tepat untuk menyebarkan propaganda atau idea-idea tertentu kepada masyarakat atau penonton.
Jadi sepanjang media itu berevolusi dari zaman radio mula-mula tercipta hinggalah kepada TV, seterusnya era internet dan kini media sosial – tetaplah medium itu masih bernama media dan tak kiralah apa jua bentuknya memang tak mustahil apa yang dipersembahkan melaluinya adalah PALSU belaka.
Cuma apa yang boleh saya nasihatkan ialah kita sebagai followers haruslah juga bijak menentukan antara yang benar dan palsu. Janganlah biarkan diri terlarut hanyut dalam paparan individu yang kita follow sedangkan semuanya palsu belaka. Jangan juga kita terlalu mengikut perasaan dan emosi dalam permainan idea yang disampaikan melalui media sosial kerana bimbang akan memudaratkan diri nanti.
Ada antara teman yang terlalu mahu mengikut individu yang mereka follow sehinggakan apa yang mereka ada kita pun nak beli. Apa yang mereka pakai kita nak pakai tanpa mempedulikan sama ada sesuai atau tidak dengan kita. Ada juga teman yang sampai jatuh sakit kerana memikirkan kehidupan orang lain yang lebih sempurna berbanding dirinya. Sakit yang sebenarnya bermula dari sakit mental kerana mengingini dan memikirkan serta membandingkan kehidupan orang lain dengan kehidupan sendiri.
Dan kita sebagai pengguna media sosial juga, nasihat saya ialah biarlah berpada-pada. Janganlah terlalu mahu menampilkan kesempurnaan sehingga menipu diri dan juga followers kita di media sosial. Seharusnya kita mempamerkan realiti sebenar kehidupan ataupun paparan supaya tidak mengaburi mata followers hingga mereka pula nanti terkesan dari sisi negatif hingga memudaratkan diri. Kita harus sentiasa sedar akan tanggungjawab kita sebagai pengguna media sosial.
Ingatlah apa pun yang kita zahirkan dalam media sosial itu pasti akan mengundang kesan waima baik atau pun buruk.
Seeloknya biarlah hanya mendatangkan kesan yang baik-baik sahaja. Jadi kalau pun lah kamu memilih untuk mempamerkan ‘real fake’ menerusi akaun media sosial, nasihat saya lagi biarlah berpada-pada dan seimbang dengan realiti kehidupan kamu yang sebenar.
Apa pandangan anda?