Posted on November 15, 2018
Dua minggu lalu saya mendapat berita sedih yang sungguh tak terjangka. Kenalan yang pernah menjadi teman baik saya ditemui mati di dalam biliknya di Kuantan. Dipercayai kepalanya diketuk, mukanya ditekap dengan bantal dan kemudian biliknya dibakar. Jirannya mendapat tahu kerana terlihat asap yang keluar berkepul-kepul dari tingkap biliknya. Tragis sungguh kematiannya. Punca pembunuhan ini tidaklah sesiapa pun yang tahu kerana siasatan masih berlangsung. Tapi saya bertanya pada temannya yang menghantar Whatsapp tentang berita kematiannya kepada saya, “Takkan kau tak tahu langsung mengapa ini terjadi?” Jawapnya, “Aku syak bekas kekasih dia yang buat…”
Memikir-mikir tentang perkara ini, saya pasti ini disebabkan rasa dengki atau dendam yang mendalam. Jika tidak masakan sampai sangguh berbunuhan. Ya, begitulah kalau minda dipenuhi anasir-anasir jahat dan ‘sakit’. Sakit mental ini bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Kerana sakit di minda ini akan membuatkan orang melakukan perkara di luar batasan dan norma kehidupan. Sakit minda ini seringnya akan membabitkan perasaan. Ia akan mendatangkan rasa sakit hati, iri, dendam dan benci. Lalu seterusnya kalau dibiarkan akan mungkin membawa kepada tindakan di luar kawalan. Nah seperti teman saya tadi, sehingga dibunuh, nauzubillah.
Saya juga tidak dapat tidak menyalahkan dunia media sosial hari ini yang menyumbang kepada sakit minda di kalangan milenial hari ini. Pernah saya berbual dengan beberapa milenial di saat dunia media sosial mula menguasai hidup kita, ada yang pernah mengaku, “Kadang-kadang I tak tahan tengok kawan-kawan I yang selalu post gambar-gambar travel, beli barang-barang berjenama dan makan di kafe-kafe indie. Buat I rasa jealous je…” Apa yang nak dicemburukan dik oiii?
Pertama itu kan kehidupan kawan kamu, mengapa pula kamu nak cemburukan dia? Kamu ada kehidupan kamu sendiri, jadi jalanilah hidup kamu itu tanpa membandingkan dengan kehidupan orang lain. Kedua, entah betul atau tidak pun kehidupan kawan kamu yang dipaparkan di media sosial itu. Mungkin hanya paparan, mungkin hanya barang-barang pinjaman, mungkin dibuat-buat. Tak pasal-pasal kamu pula nak cemburukan perkara yang kamu sendiri tak tahu betul atau tidak itu. Bagi saya dalam hal ini dua-dua pihak sakit mental. Yang memaparkan dan yang melihat dalam media sosial.
Ada kenalan yang saya tahu memang berbeza langsung kehidupan yang dipaparkan di media sosial dan dalam dunia realiti. Wajahnya cantik bersolek setiap masa di laman Instagram, tetapi di dunia sebenar letih lusuh. Tubuhnya kurus berbentuk dalam media sosial tetapi bengkak bulat dalam dunia sebenar. Ada juga seorang Instagrammer yang pernah kami paparkan berkeras tidak mahu menanggalkan solekan (datang ke penggambaran siap bermekap) bimbang kami tahu wajah aslinya yang tentunya berbeza berbanding di media sosial.
Baru-baru ini kecoh satu Malaysia dua pereka daripada jenama fesyen tempatan X beralih kepada jenama fesyen tempatan Y. Tanpa ada angin, ribut atau ura-ura sebelumnya. Dua pereka ini juga tidak pun ada masalah di jenama X dan tidak pula diberitakan akan meninggalkan jenama tersebut. Dikhabarkan kedua-duanya dibayar gaji dua kali ganda di tempat baru. “Ahhhh… patutlah senang sangat meninggalkan jenama tempat mereka betatih sampai boleh berlari laju dan berjaya pula tu,” kata saya dalam hati. Tetapi itu bukan masalahnya.
“Ada kenalan yang saya tahu memang berbeza langsung kehidupan yang dipaparkan di media sosial dan dalam dunia realiti. Wajahnya cantik bersolek setiap masa di laman Instagram, tetapi di dunia sebenar letih lusuh.”
Benarlah ini adat dunia berniaga. Pesaing akan berlumba-lumba mahu ke depan berbanding jenama kita. Namun dalam hal ini, memang sakit mentallah pemilik jenama Y yang merampas sampai kedua-dua pereka jenama X kerana jelas tujuannya dia mahu menjatuhkan jenama X dengan cara merampas aset daripada jenama itu. Kotor dan jijiklah caranya itu. Saya pasti sedikit masa lagi, estetika jenama X akan kita lihat pada jenama Y. Sudah memang inilah yang dimahukan pengasasnya pun. Fikirnya dengan cara ini dia akan berjaya menarik semua peminat dan pencinta jenama X untuk membeli jenamanya pula. Sungguh tak beretika dan busuk hatinya disebabkan sakit mental yang dihidapinya. Sakit mental ini bagi saya disebabkan terlalu taasub mahukan keuntungan pula.
Sakit mental juga boleh disebabkan pelbagai faktor lain. Antara yang saya boleh fikirkan berdasarkan pengalaman ialah kerana tiada ‘komunikasi sebenar’ antara manusia. Dan maksud saya bukanlah komen, like atau DM di Instagram ya. Sebaliknya komunikasi dalam bentuk berbual, berbincang, bergurau, berketawa dan physical contact. Kerana tanpa komunikasi sebegini, manusia akan mudah berteka-teki dan berfikir sendiri. Ini seterusnya akan menjurus kepada pelbagai telahan serta mendatangkan soalan tanpa jawapan. Dah sebab kamu tidak bertanya dan berbincang tentang isu yang kamu fikir sendiri dalam kepala kamu itu, tentulah sampai bila-bila pun kamu akan hanya meneka-neka.
Daripada tekaan-tekaan inilah kamu akan senang membuat keputusan mengambil tindakan sendiri yang selalunya di luar batasan. Kerana ia bukan lagi berlandaskan rasional. Hanya berdasarkan kepala kamu semata-mata. Dan kamu tidak pula meminta pendapat orang lain serta berbincang dahulu. Masakan benar tindakan atau keputusan yang kamu buat itu. Sehingga memalukan orang lain, ada yang membahayakan malah tidak mustahil sampai mengambil nyawa.
Nasihat saya jangan ambil mudah dengan hal-hal sakit mental ini. Ia perkara yang serius. Mungkin kita tak rasa ia serius kerana sakit mental sesuatu yang kita tak nampak. Bukan seperti demam, sakit tulang, selsema atau kanser yang boleh kita rasa. Sebaliknya ia berkaitan minda dan perasaan. Ini yang lagi bahaya sebenarnya kerana pada saat kita menyedarinya mungkin sudah terlambat dan hanya sesal sahaja yang boleh kita rasa.
Jadi sebelum sakit mental ini menular dalam diri, baiklah ambil langkah berjaga-jaga dalam menanganinya. Saya lihat banyak Instagrammer yang seboleh-bolehnya cuba mengambil cuti daripada menggunakan media sosial untuk seketika. Mereka menggelarnya ‘media social detox’. Ada yang berhenti setakat hujung minggu, seminggu atau ada juga yang sampai sebulan tidak muncul di dunia media sosial. Kebanyakan yang kembali selepas ‘bercuti’ ini mengakui lebih segar mindanya dan memiliki perspektif baru dalam mendepani dunia maya ini.
“Sakit mental juga boleh disebabkan pelbagai faktor lain. Antara yang saya boleh fikirkan berdasarkan pengalaman ialah kerana tiada ‘komunikasi sebenar’ antara manusia.”
Buat kita yang tidak terkesan dengan media sosial, lebih-lebihkanlah berkomunikasi dengan orang sekeliling. Bukan sahaja yang rapat dengan kita tetapi juga luaskan lagi perspektif kamu. Cuba berbual dengan teman-teman baru atau mungkin dengan makcik yang menjual nasi campur berdekatan pejabat kamu misalnya. Terkadang minda kita memerlukan perspektif baru berbanding hanya memikirkan perkara rutin setiap hari. Ini akan lebih membuka minda, mungkin juga akan mencabarnya sedikit supaya menjadi lebih aktif dan sihat. Tidaklah kita asyik terkongkong memikirkan perkara yang sama setiap masa, membuatkan minda jadi bosan dan langsung sakit mental. Minda kita juga sama seperti tubuh yang memerlukan cabaran dan pergerakan every now and then.
Apa pandangan anda?