Posted on March 6, 2017
Memikir-mikir tentang isi kandungan ruangan ini untuk Mac, saya sendiri tidak pasti mahu merujuk musim apa untuk bercakap fasal STAIL. Musim bunga 2017? Saya sudah pun membuat laporannya. Fasal musim luruh 2017 yang pertunjukannya bakal berakhir beberapa hari lagi di Paris? Apakah terlalu awal mahu menulis tentangnya? Dunia stail hari ini sebenarnya sudah tidak bermusim lagi. Sekurang-kurangnya bagi saya yang mengusahakan portal online sebegini. Kerana putarannya sudah tidak terkejar lagi. Pencinta fesyen seluruh dunia hanya mengambil kira apa yang NOW sahaja. Apa yang mereka rasakan wajar mereka gayakan sekarang sahaja. Tidak lagi merencana mengikut musim yang bakal mendatang.
Bukan masa sahaja yang mengejar kita masa kini tetapi dunia stail juga. Bagi saya sendiri ini bukanlah masalah sama sekali. Dari dahulu, saya tidak suka terlalu mengikut aliran semasa. Saya suka membuat sesuatu yang tidak terjangkau dek minda. Yang orang lain tidak buat. Yang orang lain kalau melihatnya akan berkata, “Kamu ini gila agaknya?” Kerana mereka tidak faham dan tidak terbayangkan pun lagi pada masa saya membuatnya. Saya suka PREDICT apa yang bakal hangat di masa depan. Meninjau-ninjau apa yang berlaku masa ini dan mengikut kata hati apa yang bakal muncul selepasnya. Begitu juga dengan stail peribadi. Saya sering dipandang pelik oleh ramai kerana seringnya memakai apa yang orang lain tidak pakai. Atau sebenarnya pada kebanyakan masa memakai apa yang orang lain tak berani pakai. Tetapi pada kebanyakan masa, benda pelik yang saya pakai itu nanti akan menjadi sensasi dan mula diterima oleh khalayak lebih besar.
Begitulah stail seharusnya. Ia perlu individual dan mengikut rasa dalam diri. Apa yang kamu rasa kamu mahu pakai dan gayakan, buat sahajalah. Kalau kamu pakai pun orang kata, kalau kamu tak pakai pun orang kata. What’s there to lose? #pakaijelah. Seperti yang saya sebut tadi, stail hari ini sudah tidak bermusim lagi. Konsep see now buy now yang diperkenalkan Burberry tahun lalu (jenama pertama yang memperkenalkan) membuatkan musim tidak lagi penting. Jika kita mahu menggayakan sekarang, tentulah kita mahu membelinya sekarang bukan? Tom Ford, Tommy Hilfiger dan Ralph Lauren menyusur selepas Burberry. Mereka mahu konsumer memiliki sebaik sahaja mereka menontonnya di pentas pertunjukan. Sebagai pencinta stail, tiada perlunya lagi kita mengikut musim. #pakaijelah apa yang kamu rasa kamu mahu pakai sekarang. Bijaklah dalam memilih stail peribadi dan gunakannya sebagai kelebihan yang bisa membezakan kamu dengan orang lain. Ini definisi STAIL NOW.
Sebagai pencinta stail, tiada perlunya lagi kita mengikut musim. #pakaijelah apa yang kamu rasa kamu mahu pakai sekarang.
Esok kami akan menerbitkan gambar-gambar fesyen yang memaparkan koleksi musim cruise dan bunga 2017 dalam kisah STYLE WITHOUT BOUNDARIES. Ia membawa mesej yang semakin diterima hari ini yakni genderless fashion. Bagi saya ini bukanlah sesuatu yang baru kerana saya sudah lama pun mempraktikkannya lewat mungkin lima tahun lalu pabila saya mula berani memakai dresses, skirt dan blaus. Bagi yang mengenali saya mereka mungkin sudah terbiasa dengan konsep genderless style ini pada saya. Cross dressing yang mula popular sekitar 90-an dahulu. Lelaki memakai stail wanita tanpa sex change atau menjadi drag queen. Mengapa perlu bataskan gaya dan stail mengikut jantina? Saya tidak percaya pada konsep ini. Andai kata seorang lelaki selesa memakai stail wanita tanpa menggugat manhood nya, mengapa tidak? Begitu juga dengan wanita. Jika feminitinya tidak berubah walau memakai gaya lelaki, silakanlah. Mick Jagger, Prince, Michael Jackson dan George Michael sudah lama memulakan. Amy Search yang saya kenal turut membeli baju di seksyen wanita. Jadi apa yang peliknya bukan? Jangan lupa check us out tomorrow.
Sebenarnya jika ditanya pada saya tentang trend, sesungguhnya saya tidak percaya padanya sama sekali. Jadi saya tidak suka sangat membariskan trend. Tetapi saya pasti kamu mahu tahu garis panduan dalam memastikan apa itu STAIL NOW? Well, saya boleh memberitahu pandangan kasar saya tentang ini. Mungkin boleh kamu jadikan panduan atau mungkin juga kamu akan kata “Huhhhh… apa yang dia merepek ni?” Tapi tak mengapa, saya akan senaraikan juga. JIka tidak pun semua kamu fahami, mungkin sesetengah daripadanya boleh dijadikan pegangan.
FRESH
Ini memang hanya mengikut logik. Apa-apa yang NOW itu mestilah FRESH bukan. Kalau tidak fresh, bukanlah now maksudnya. Samalah dengan stail. Menggayakan sesuatu yang terkini haruslah menggayakan sesuatu yang segar. Gaya yang tidak pernah pun dilihat sebelum ini. Atau mungkin pernah dilihat tetapi dalam cara yang lebih segar dan baru. Sentiasa memikirkan cara baru menggayakan kemeja putih, atau slack kerja atau mungkin dalam memakai jeans kamu. Cari potongan baru yang lebih sesuai untuk bentuk tubuh kamu… mungkin? Atau pilih helaian yang tidak pernah kamu gayakan sebelum ini. Percayalah pasti akan mengundang perhatian daripada teman-teman kamu. Buang rasa takut akan komen dan kata orang. Pedulikan itu semua. Yang penting perasaan kamu dalam menggayakan. Now that’s what I call FRESH.
CLEAN
Yasss. Ini satu lagi yang saya mahu tekankan pada semua yang mengaku sebagai pencinta fesyen atau stail di luar sana. Please keep it clean. Look kamu itu harus clean. Jangan messy, jangan keterlaluan, jangan TRYING TOO HARD. Bersihkan look kamu itu. Clean up! Kerana itu Coco Chanel kata sebelum keluar rumah buang satu benda yang ada pada penampilan kamu. Maksudnya itu ialah, clean up your look. Selalunya yang saya lihat pada stail di luar sana, sarat-barat dengan segala benda di atas tubuh. Tak lemas ke kalau memakai yang sarat? Saya yang melihat pun lemas, apakan lagi kalau yang memakai. Bukan sahaja dari segi penggayaan atau layering (ini pun banyak juga yang mencuba, beria-ia layering dalam cuaca Malaysia yang hangat ni) tetapi juga dari segi pemilihan corak dan warna. Jangan serabutkan look dengan cetakan atau warna yang terlalu pelbagai. Ini akan membuatkan kamu nampak native. Dan ingat kalau muka dan raut Melayu, jangan perasan nak saratkan dengan permainan warna atau corak. Bimbang nampak macam badut pula nanti.
MODEN
Apa-apa look pun yang kamu pilih, pastikan ia moden. Ha, kalau tak tahu apa itu moden, rujuk kembali kepada dua sub topik di atas. Kalau kamu ikut apa yang saya kata di atas, percayalah kamu akan nampak moden. Saya rasa ini juga kamu boleh latih cita rasa dan pandangan kamu sendiri. JIka nampak apa-apa yang tak kena pada penampilan, yang membuatkan kamu nampak seperti ketinggalan dan tidak clean atau fresh, maknanya tidak modenlah namanya tu. Jadi tukarlah penampilan itu, kembali kepada yang minimalis dan tidak keterlaluan, itulah moden yang saya maksudkan.
RELAKS
Just have fun and relax in styling yourself. Stail itu harus FUN. Jika kamu perlu stres dan terlalu memikirkan sangat cara penggayaan kamu, di sinilah akan bermula segala kesilapan. Stail akan nampak canggung, look akan mula kelihatan sarat apalagi moden? Say goodbye to modernity. Kerana once kamu tidak relaks dalam bergaya, habislah seluruh penampilan dan stail kamu itu. Never too done up. Never doll yourself too much. Never be too stiff. Never try too hard. Pada kamu tidak stailish dan NOW lagi pabila semua ciri ini ada pada kamu.
ADA MESEJ
Ada sebabnya beberapa pereka memaparkan mesej pada t-shirt yang mereka reka musim bunga ini. Mesej feminis yang kuat dilaungkan. Mesej seksual pada sesetengah pereka. Dan mesej optimis dan harapan pada beberapa pereka yang lain. Ini kerana apa yang mereka cuba sampaikan sebenarnya ialah stail perlu ada mesej. Apa yang mahu kamu pamerkan pada penampilan kamu itu? Kamu mahu nampak yakin? Berkuasa? Bergaya? Berani? Gusar? Stressed out? Atau apa sahajalah mesej yang mahu kamu sampaikan, tetapkan yang ini dahulu kemudian baru pilih dan tentukan look kamu. Barulah penampilan kamu itu berasas dan bukan sekadar tangkap muat sahaja.
Apa pandangan anda?