Posted on May 23, 2017
Pagi tadi mata celik jam biasa. Selalunya lebih kurang jam enam setengah saya akan bangun dan memulakan hari. Saya bersyukur kerana dapat melalui kehidupan sehari lagi. Ya begitulah pukul rata kehidupan saya setiap hari sejak setahun setengah yang lalu selepas meninggalkan syarikat lama. Saya bersama Pengarah Kreatif STAIL.MY, Merrissa Emilda (Amy), partner in crime saya memulakan portal ini sejurus selepas itu dan tak berhentilah mengusahakannya sampai hari ini. Tiada sehari pun kami merasa lelah atau tidak mahu lagi mengerjakannya kerana ia sesuatu yang benar-benar kami cintai. Mewarnakan ilham kreatif kami melalui portal ini untuk dikongsi bersama pembaca – melalui tulisan dan imej-imej indah lagi provokatif. Tujuan kami hanya satu, mahu pembaca berfikir dan berkembang mindanya tanpa perlu pun keluar dan mengalaminya sendiri. Kami memberi point of view terhadap semua cabang seni – fesyen, kecantikan, gaya hidup dan budaya melalui pandangan kami.
Tak sampai setahun pun lagi usia kami (waktu perbincangan awal terjadi), syarikat regional, Indochine Media Ventures (IMV) menyatakan minat menjalin kerjasama dengan kami. Syarikat ini yang bertanggungjawab membawa masuk portal Buro 247, Robb Report dan Luxury Guide di Malaysia. Setelah beberapa bulan melalui perbincangan panjang dan terperinci akhirnya khabar gembira akan kerjasama ini kami umumkan kepada pembaca. Sungguh sampai saat saya menulis ini, saya tidak putus-putus memanjatkan doa bersyukur kepada Tuhan di atas kurniaan dan jalan terang-Nya serta restunya ke atas kami. Saya percaya akan kuasa Maha Esa yang merancang dan memutuskan segala. Tapi seperti kata saya kepada sesiapa pun yang bertanya akan pengalaman saya mengerjakan sesuatu yang baru dari mula ini,
“Selagi kamu percaya dengan apa yang kamu kerjakan dan membuatnya dari sedalam-dalam hati dan niat kamu hanya kerana kamu benar-benar mencintainya, insya-Allah akan dibukakan jalan dan dipermudahkan perjalanan kamu.”
Begitulah STAIL.MY hari ini. Melalui kerjasama dengan IMV, team portal pertama fesyen, kecantikan, gaya hidup dan budaya berbahasa Melayu pertama ini kini berkembang. Memiliki tujuh orang dalam team editorial dan kreatif – Ardi Idewani Editor Fesyen, Ryan Mohamad Editor Gaya Hidup, Amira Azman Penulis Kecantikan dan Zaidi Che Penulis Budaya selain Ashura Hakim Pengarah Seni. Kami juga kini ada team jualan dan pemasaran yang kukuh. Saya dapat menumpu lebih banyak masa membangunkan kandungan dan isi kreatif buat bayi saya ini. Agar memberi lebih inspirasi dan membuahkan ilham bercambah-cambah buat pembaca.
Well saya kira kehadiran STAIL.MY dalam pasaran penerbitan negara ini juga sebagai tepat pada masanya. Zaman di mana milenial menguasai pasaran dunia. Zaman yang mana milenial memiliki kuasa membeli. Zaman di mana milenial adalah taget market yang disasarkan kebanyakan jenama. Zaman di mana kebanyakan jenama mahu terdedah lebih kepada golongan milenial. Menurut analytic, hampir 60% pembaca STAIL.MY terdiri daripada kelompok ini (18-35) di mana 65% adalah wanita dan 35% lelaki. Saya gembira membaca keputusan ini kerana ini bermakna kami menyasarkan kepada golongan yang tepat dan sesuai pula dengan sasaran klien-klien kami.
Bercakap tentang milenial juga, STAIL.MY bukan sahaja mahu menyasarkan mereka hanya kerana mereka generasi yang penting waktu ini tetapi kami juga merasa penting untuk memberi panduan dan nasihat berguna buat mereka ini. Sewaktu saya diundang menjadi panel di MSU tempoh hari, seorang milenial ini bertanya tentang cara mahu mendepani hidup di saat diri merasa seperti tidak punya setitik pun harapan lagi. Kata saya padanya, “Dik… hidup kamu panjang lagi. Ada banyak lagi tahun yang perlu kamu depani. Nasihat saya ialah kita ini manusia dikurniakan otak dan akal fikiran. Apa kata jika kamu dihimpit tekanan dan kehilangan arah, perkara pertama yang kamu perlu lakukan ialah ingat kembali niat kamu memulakan sesuatu yang kamu kerjakan. Renung dan fikir dalam-dalam tentang sebab kamu mengerjakan sesuatu itu waima belajar, bekerja ataupun mendukung sebarang bentuk perjuangan.” Dia mendengar sambil berlinangan air matanya. “Percayalah selepas itu nanti, otak kamu dengan automatisnya akan menjana cara-cara dan menunjukkan jalan-jalan yang terang lagi bersuluh untuk kamu jejaki demi mencapai impian kamu itu.” Dia menangis kerana katanya dia sangat memerlukan kata-kata perangsang sebegini demi membantu dia yang terkadang-kadang merasa putus harapan.
Saya bertuah sepanjang setahun ini saya dikelilingi teman-teman yang pada akhirnya menjadi ibarat keluarga saya sendiri. Yang menggantikan peran arwah mama – menyayangi saya unconditionally, melindungi dan hanya mengingini yang terbaik buat saya.
Begitulah milenial. Dalam mereka memegang kuasa dan bijak pula dari segala segi, ada aspek-aspek tertentu terutamanya soal yang memerlukan pengalaman mereka tidak punya. Di sinilah STAIL.MY membantu memberi panduan. Kami mahu mereka tahu apa yang terbaik buat mereka. Kerana itu kami hanya menghidangkan yang terbaik buat mereka tidak kiralah dari sudut pandangan fesyen, kecantikan, gaya hidup, budaya mahupun motivasi dan nasihat berkenaan kerjaya.
Nah begitulah rangkuman kisah STAIL.MY setelah hampir setahun setengah berlalu. Atas dasar cinta pada dunia penulisan dan kreatif, ia terlahir. Diiringi usaha dan kerja keras tanpa lelah, tuah datang berkunjung dan peluang mengetuk. Dan kerana peluang itu datang tepat pada masanya, begitulah ia menebarkan sayapnya terbang tinggi menggapai langit. Sesiapapun dalam dunia ini layak dan mungkin melalui pengalaman yang sama. Cuma hati-hati kerana biar sebanyak mana pun peluang yang datang, jika kamu salah bergaul, mengelilingi diri dengan teman-teman yang tidak menyokong malah mendengki, semua peluang itu tidak akan bermakna lagi. Saya bertuah sepanjang setahun ini saya bertemu dengan teman-teman yang pada akhirnya menjadi ibarat keluarga saya sendiri. Yang menggantikan peran arwah mama – menyayangi saya unconditionally, melindungi dan hanya mengingini yang terbaik buat saya. Kamu tahu siapa kamu dan setiap hari tanpa putus saya bersyukur di atas kehadiran kamu dan kamu dan kamu dalam hidup dan journey saya sampai saat ini. Terima kasih buat kamu. Selamat Hari Jadi STAIL.MY yang pertama. Semoga ‘bayi’ kami ini akan terus sukses dan berkembang maju lagi dan lagi serta terus membanggakan kami sampai bila-bila pun nanti.
Apa pandangan anda?