Posted on May 28, 2019
https://youtu.be/dYYxEIZy-Fs
Entah mengapa, Raya dan kemaafan itu seperti sangat sinonim. Sering sangat saya mendengar bahawa hari Raya adalah waktunya untuk kita saling bermaafan. Saya sendiri tidak tahu dari mana bermulanya budaya ini. Tetapi sudah begitulah fitrahnya sejak saya mula ingat tentang sambutan hari Raya, memohon maaf dan memaafkan ini biasa dilakukan. Mungkin juga kerana adat bersalaman yang diamalkan waktu Raya menjadikan budaya kemaafan itu secara semulajadi diterapkan waktu Raya.
Kerana pada waktu Raya lah, kita mengambil peluang melawat sanak saudara. Ini masa terbaik merapatkan kembali silaturrahim dengan saudara yang lama tidak kita temui. Inilah masanya kita bertanya khabar dan catch up apa-apa yang terbaru tentang saudara kita itu. Apakah sudah ada tambahan dalam keluarganya? Sihatkah ibubapa mereka? Sudah sembuhkah penyakit dia? Bilakah dia akan berpindah ke luar negara? Sudah bertukar kerja kah mereka? Sekaligus dalam masa sama budaya ini diamalkan, seperti kata saya tadi secara semulajadi umat Islam yang meraikan Syawal akan memasukkan budaya kemaafan ke dalamnya.
Bagus pun sebenarnya budaya kemaafan ini diterapkan waktu Raya. Cuma yang saya ragu ialah apakah konsep kemaafan ini benar-benar difahami oleh kita yang meraikan Raya? Atau apakah kebanyakan kita cuma mengamalkan budaya memohon kemaafan dan memaafkan ini hanya sekadar pada konsep semata-mata tanpa sebarang pemahaman tentangnya? Kerana pada saya kemaafan itu harus bermula dengan keikhlasan di dalam hati kita yang mengamalkannya. Jika tidak ia hanya akan tinggal konsep dan tidak bermakna.
Ya, seharusnya pabila kita bersalaman dan memohon kemaafan daripada sesiapa pun di hari Raya, kita harus benar-benar ikhlas dan merasainya di dalam hati dan jiwa kita. Memohon kemaafan itu perlu datang dari jiwa kita. Dan kita benar-benar memaksudkannya, waima kita benar-benar ada membuat kesalahan dengan mereka atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting kita ikhlas dalam memohon kemaafan itu. Begitu juga sama dengan orang yang memaafkan. Ini juga perlu datang daripada keikhlasan dan dari jiwa. Tidak kiralah apa pun kesalahan orang yang memohon kemaafan itu, kamu harus benar-benar ikhlas memaafkan dan buang langsung apa pun bentuk perasaan negatif yang kamu ada pada orang itu.
Kamu seharusnya bisa merasakan bahawa hati kamu bersih dan bebas daripada sebarang bentuk dendam, benci, sakit hati atau kecil hati dengan mereka yang dimaafkan. Hanya dengan cara ini, baru kemaafan itu sepenuhnya terjadi dan tidak hanya tinggal pada konsep semata-mata. Di mana kamu bersalam, meminta maaf hanya sekadar pada sebutan mulut sahaja dan orang yang memaafkan juga sekadar menyebut sahaja. Bukankah ini perkara sia-sia dan tidak mendatangkan makna. Jadi pastikan Raya ini kamu benar-benar memahami erti kemaafan itu sebelum kamu mengamalkan.
Kemaafan Perlukan Masa
Tidak mudah memohon maaf dan memaafkan sebenarnya. Soal kemaafan ini pada saya memerlukan masa. Terutamanya jika kita mahukan kemaafan itu ikhlas dan kita benar-benar memaksudkannya. Daripada satu podcast Super Soul Conversation bersama Oprah Winfrey saya belajar bahawa, memohon maaf yang sebenar ialah dengan membuat pengakuan. Ada beza antara sekadar menyebut “Saya minta maaf atas segala kesalahan yang saya lakukan terhadap kamu” dengan “Saya mengaku saya bersalah dengan kamu. Walaupun kata hati saya sudah mengingatkan agar jangan buat perkara itu terhadap kamu, saya sendiri yang mengingkarinya dan membuat kamu rasa begini terhadap saya. Jadi saya memohon maaf dengan kamu atas kesalahan saya yang mengingkari kata hati saya”.
Nah ini baru betul-betul memohon kemaafan. Kamu boleh tahu ia datang dari jiwa yang paling dalam. Pengakuan itu membuatkan kemaafan yang diminta itu tulus dari dalam diri kamu. Percayalah kamu pun takkan teragak-agak untuk memaafkan jika mereka yang memohon kemaafan itu ikhlas. Dan kerana itu juga kebanyakan maaf memerlukan masa untuk diberi. Sama juga dengan orang yang memohonnya. Kerana ia memerlukan keberanian dan pemahaman yang mendalam. Kamu juga perlu benar-benar merasainya sebelum memohon dan menghulur kemaafan. Dari ini juga lahir madah, ‘It’s easy to forgive but not to forget’ atau ‘I might forgive but I’ll never forget’. Kerana kemaafan itu tidak ikhlas pun dari awal.
Yang memohon tidak ikhlas apa lagi yang memberi kemaafan. Bayangkan ada teman saya yang terkena dengan teman sendiri. Ditipu, dilingkupkan bisnesnya atas nama mahu membantu awalnya padahal dia sendiri tidak tahu menahu tentang soal perniagaan. Berhutang sana sini tanpa memikirkan akibatnya kepada perniagaan teman saya itu tadi. Pada akhirnya yang disebut oleh si penipu itu tadi hanyalah, “I’m so sorry I put you in this situation.” Teman saya terpinga-pinga. Dia merenung sahaja ke arah si penipu seperti telus sahaja pandangannya itu. Dia tidak membalas atau memberi sebarang reaksi. Kerana katanya pada saya, “Apa jenis maaf yang dimintanya itu? Jelas sekali tak ikhlas. Dia tak memaksudkannya pun.”
Makanya akan memakan masa lah untuk teman saya itu tadi memberi kemaafan yang dia sendiri tidak pasti ikhlas atau tidak itu. Ataupun mungkin selamanya lah dia tidak akan memaafkan. Atau mungkin juga dia akan memaafkan tapi hanya sekadar memberitahu pada diri sendiri untuk ketenangan jiwa. Tetapi sama sekali dia tidak akan melupai kedajalan teman penipunya dan selamanya lah dia akan mengingati.
Kemaafan juga tidak hanya wajar diamalkan waktu Raya. Ia patut dilakukan pada bila-bila masa. Kadang-kadang kita tidak sedar kita menyakiti atau melukai membuat orang benci. Maka itu, pohonlah kemaafan dan hulurkan kemaafan tak kira masa. Ia bagus untuk ketenangan jiwa kita. Baik untuk membebaskan diri kita daripada sebarang bentuk perasaan negatif. Yang kalau dibiarkan akan memakan diri dan mengharukan dunia.
Saya ingat lagi beberapa bulan sebelum mengambil peperiksaan UPSR, amalan saya setiap hari di sekolah ialah memohon maaf setiap kali melintas atau ternampak mana-mana guru. Fikir saya ia untuk memberi ketenangan kepada saya dalam mengambil ujian. Ia juga saya anggap sebagai cara memohon restu dan berkat semua guru agar peperiksaan saya berjalan lancar. Syukur saya mendapat straight A dalam UPSR malah diterima pula masuk sekolah berasrama penuh Kolej Melayu Kuala Kangsar. Begitu besarnya kuasa kemaafan tetapi mengapa hanya amalkan waktu Raya? Terapkan sahaja dalam kehidupan kita setiap hari.
Apa pandangan anda?