Posted on October 2, 2019
https://youtu.be/Jf4HPbNbVVY
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, bagaimanalah agaknya kalau hidup sehari tanpa internet? Begitu yang selalu saya fikir. Atau mungkin bayangan ini selalu juga melintasi minda-minda kamu semua. Ya setiap kali saya tak boleh lepaskan telefon pintar saya, setiap kali itulah saya akan berkata pada diri, “Heyyyyy sudahlah dengan telefon ni. Tak habis-habis nak membelek semua benda!” Sambil mencampakkan telefon ke sisi. Tapi kemudian akan saya kutip balik telefon itu dan buka balik semua aplikasi yang saya selalu belek. Instagram… tak cukup, buka pula facebook, lepas tu buka pula Youtube, twitter eh dan banyak lagilah aplikasi lain yang nak dibelek.
Kalau tiada internet atau data dalam telefon kita tak boleh lah buka semua aplikasi ni bukan? Jadi itulah persoalan yang selalu bermain di kepala saya, “Aku boleh kan hidup tanpa aplikasi ni semua?” Boleh kan kalau tak ada internet. Apa penggantinya nanti? Bolehlah baca buku atau kemas rumah. Pergi pasar, habiskan masa di taman atau hiking. Atau boleh sahaja berjumpa dengan kawan-kawan yang dah lama tak berjumpa. Boleh catch up on things, bertanya khabar atau berbual mesra bertukar cerita dan bergurau senda. Boleh juga habiskan masa bersama pasangan atau yang dah ada anak, melayan anak. Banyak kan benda boleh dibuat dalam dunia ni. Aktiviti-aktiviti yang kita buat pra internet.
“Heyyyyy sudahlah dengan telefon ni. Tak habis-habis nak membelek semua benda!”
Kami di STAIL.MY menyahut cabaran ini! Sehari tanpa internet. Destinasi kami? Sekeping Serendah di mana homestay ini memang memutuskan langsung internet di seluruh kawasannya. Ya, hubungan bagaikan terputus. Melainkan hubungan dengan teman-teman sekumpulan yang turut menginap di sana. Masing-masing memberi reaksi berbeza. Ada yang bersedia, ada yang skeptikal, ada yang delutional malah ada juga yang terbuka dengan sebarang kemungkinan (semua ini kamu boleh tonton dalam video di atas). Tapi semua terpaksa melaluinya. Kerana kami yang bekerja dalam dunia digital ini mahu memahami fenomena internet dan hidup tanpanya. Bagus untuk kami mendalami dunia kami ini agar kami tahu menangani apa jua cabaran dan kemungkinan yang bakal mendatang bekerja dalam dunia digital.
Memandu masuk sahaja ke dalam kawasan Sekeping Serendah, pada telefon pintar sudah tertera, NO SERVICE. Kadang-kadang ada, tapi tak lama. Entah peranti apa yang digunakan sampai tiada internet langsung dalam kawasan ini. Mungkin peranti sama yang digunakan di dalam panggung wayang atau dewan konsert. Tujuannya hanya satu. Agar pengunjung dan penonton boleh memberi sepenuhnya fokus kepada keadaan sekeliling, teman yang sama-sama hadir dan atau dalam konteks panggung wayang dan dewan konsert tadi, pada filem dan konsert yang sedang ditonton.
Memandu masuk sahaja ke dalam kawasan Sekeping Serendah, pada telefon pintar sudah tertera, NO SERVICE.
Jadi pabila saya dah tak terganggu atau occupied oleh telefon pintar dan semua aplikasi di dalamnya, telinga tiba-tiba menjadi lebih mendengar. Mata menjadi lebih terang. Deria-deria pada tubuh rasa lebih terbuka pada keadaan sekeliling. Bunyian unggas yang pertama sekali saya dengar pabila deria mula terbuka. Kehijauan yang mendamaikan pantas sahaja memberi ketenangan pada jiwa. Suasana nyaman menyelimuti tubuh. Awalnya ada sedikit rasa tidak senang dalam diri. Terasa kosong. Kerna tidak boleh membuat kebiasaan, yakni melihat telefon pintar. Tetapi keadaan ini juga memaksa saya lebih mendengar. Lebih melihat kepada apa yang terjadi di sekeliling. Perasan akan perincian-perincian kecil pada semua kejadian. Saya mula mendengar suara hati dan buah fikiran saya sendiri.
Saya mula sedar akan perangai dan kelakuan staf-staf saya. Nampak lebih jelas kelakuan-kelakuan yang sebelum ini saya tak perasan kerana terlalu sibuk memfokus kepada telefon pintar dan kelakuan setiap aplikasinya. Kami duduk makan bersama. Berbual tentang isu-isu semasa. Yang jarang sangat kami lakukan dalam pejabat kerana kehadiran telefon pintar. Sesetengah daripada kami mula perasan akan semua alatan dalam rumah terbuka Sekeping ini dan binaannya. Masing-masing berbincang sesama sendiri akan makna dan sebab setiap benda ada di tempatnya.
Nah waktu ini ada yang tak tahan lagi lalu memeganglah telefon pintar masing-masing. Melihat gambar dan mengedit.
Seketika kemudian setelah penat berbual, ada yang berbaring di birai-birai konkrit memerhatikan kanopi pokok-pokok besar yang mengelilingi rumah. Menghirup udara segar dan melayan bunyi unggas. Saya rasa seperti masa berputar kembali kepada dunia kanak-kanak saya di mana saya hanya ada adik beradik, ibu bapa dan teman-teman untuk dilayan. Mainlah segala benda pun dengan adik saya. Menonton TV bersama-sama keluarga dan menangis sama-sama menonton filem Hindi. Kalau bosan telefon kawan untuk berbual. Aduh seronok sekali kembali kepada keadaan ini.
Dan pabila malam menjelma, kami duduk makan malam bersama-sama. Bercerita lagi tentang isu semasa lain pula yang tak dibincangkan lagi tengah hari tadi. Usai makan malam kami duduk pula bersama sambung berbual. Nah waktu ini ada yang tak tahan lagi lalu memeganglah telefon pintar masing-masing. Melihat gambar dan mengedit. Semuanya kerana sudah menjadi habit. Mesti nak genggam telefon di tangan. Ada yang memilih membaca buku. Ya, ini juga antara aktiviti kegemaran saya dahulu, membaca. Kerana pada buku itu saya mengenali dunia yang tidak saya ketahui. Saya banyak belajar dan membuka minda melalui pembacaan.
Sisa kabus yang semakin pergi membuat suasana seperti kelabu namun segar. Bunyi burung berdecip riang dan suara cengkerik yang semakin perlahan menemani bangun.
Tak lama selepas itu, mendengar seperti ada parti sedang berlangsung di rumah lain, kami memutuskan untuk jalan kaki melihat apa yang terjadi. Ya dalam kegelapan malam berteman lampu suluh daripada telefon pintar, berjalanlah kami mahu meninjau. Main lari-lari dan berkejar sesama sendiri kerana takut dengan gelap malam. Berpura seperti terdengar bunyi derap kaki dari dalam semak samun, bertempiaran lari pulang ke rumah konon-konon hantu nak mengganggu kami. Saya ingat lagi inilah yang saya buat waktu kecil dulu pra telefon pintar.
Tentunya sebaik sampai di rumah, golongan muda mencadangkan bermain kad UNO. Yang tua (saya dan Amy) sudah berat mata. Jadi kami naik dulu ke tempat tidur. Tentunya tak susah langsung melelapkan mata. Tak perlu melayan telefon pintar dahulu, sambil mendengar antara suara yang muda bergurau senda bermain kad dengan bunyi cengkerik – realiti semakin kelam dan saya pantas bertemu alam mimpi.
Selamat pulang ke alam realiti atau alam maya yang realiti? Kamu putuskan sendiri.
Pagi datang tanpa disedari. Dari dalam kelambu (ya kami tidur dalam kelambu kerana bimbang nyamuk), suasana pagi di bahagian bawah tempat tidur kelihatan seperti masih dalam mimpi. Sisa kabus yang semakin pergi membuat suasana berbalut kelabu namun segar. Bunyi burung berdecip riang dan suara cengkerik yang semakin perlahan menemani jaga. Aduhhhhhhh saya rindu suasana itu (waktu menulis ini). Amy bertanya seorang demi seorang akan pengalaman mereka sehari tanpa internet (tonton reaksi mereka dalam video). Bagi saya ia pengalaman yang sungguh menakjubkan. Terkadang dalam mendepani dunia maya yang semakin palsu dan pura-pura, sungguh saya amat merindui dunia tanpa internet.
Minda lebih tenang dan terbuka. Tiada gangguan (kesan melihat kejadian dalam dunia media sosial) dan negativiti. Mungkin ada baiknya sedikit sekatan dan kawalan dalam minda. Kerana minda yang hidup dalam dunia tanpa sempadan (internet) lebih besar cabarannya. Ia perlu belajar menolak negativiti dan memilih yang baik daripada sejuta yang buruk. Itu perkara yang sukar lebih-lebih lagi kalau perlu menahannya daripada terpengaruh. Tapi apakan daya ini pilihan yang setiap daripada kita harus putuskan sendiri.
Lebih sukar kalau seperti kami yang sememangnya bekerja dalam dunia digital dan harus hidup dalam dunia tanpa sempadan. Apa-apa pun cabaran sehari tanpa internet ini adalah pengalaman yang amat saya rindui. Walaupun cuma sehari tapi sekali-sekala nanti saya akan ulangi lagi. Demi menjaga minda dan insanity. Selepas keluar dari kawasan Sekeping Serendah, kami semua berhenti makan tengah hari. Nah waktu ini, semua kembali membelek telefon pintar, menatap skrin seperti menelaah buku. Selamat pulang ke alam realiti atau alam maya yang realiti? Kamu putuskanlah sendiri.
Apa pandangan anda?