Posted on December 6, 2019
Mustahil pengacara bersama, Nabil tak tahu Neelofa berhenti MeleTOP? Sedangkan mereka berdua adalah sauh utama kepada program rancangan terbitan ASTRO ini. Nabil (Ahmad) terpinga-pinga sewaktu Neelofa mencari kekuatan untuk mengumumkan berita pengundurannya daripada rancangan ini dua hari lalu. Awalnya dia seperti tidak percaya, tetapi setelah benar-benar bertanya kepada Lofa, dan setelah diterangkan betul-betul niatnya itu, barulah Nabil mengerti.
Apalagi dengan kehadiran pemberita-pemberita sebagai penonton di edisi minggu ini, Nabil faham mengapa mereka semua diundang. Ia umpama sidang akhbar untuk Lofa mengumumkan berita pengundurannya. Tapi kalau ditanya pada saya memang tidak adillah untuk Nabil dibiarkan terpinga-pinga macam rusa masuk kampung sebegitu. Seharusnya sebagai pengacara bersama, dia seharusnya yang pertama diberitahu. Nampak seperti dia diperbodoh-bodohkan sahaja pabila mengenang semula reaksi Nabil sewaktu pengumuman dilakukan.
Namun saya tabik cara Nabil mengendalikan situasi di mana dia tenang sekali bersoal jawab dengan Lofa. Sememangnya ini saat menyedihkan buat Lofa kerana seperti yang disebutnya, dia membesar bersama MeleTOP sejak usianya 23 tahun lagi. Bayangkan tujuh tahun bersama program itu, Lofa mengecap populariti dan kedudukannya hari ini dalam industri hiburan semuanya kerana program ini.
Mungkin juga suasana pengumuman ini sengaja mahu dijadikan dalam cara penuh sensasi, mendebarkan dan drama – kerana itu caranya dilakukan sebegitu, tanpa memberitahu terlebih dahulu kepada Nabil. Bayangkan kalau mereka sama-sama mengumumkan atau wajah Nabil yang selamba itu menemani pengumuman berita pengunduran Lofa, tentulah akan mehhhhh bukan? Saya faham juga akan tekanan yang perlu dilalui produser program-program TV di Malaysia.
Rating TV hari ini sememangnya tidak lagi setinggi dahulu (dengan adanya Youtube dan media sosial). Kerana itu mereka perlu sentiasa memikirkan cara untuk mencipta sesuatu yang berlainan, mencipta keterujaan dan antisipasi di kalangan penonton. Saya tabik juga kepada produser MeleTOP kerana bijak memikirkan cara terbaik untuk mencipta hype melalui berita pengunduran Lofa ini. Mungkin mereka juga sudah berfikir sebaik-baiknya cara terbaik melakukan pengumuman ini tentunya dalam mengambil kira faktor personaliti Nabil yang tenang dan kelakar serta Lofa yang lembut, drama dan emosional.
Resipi-resipi ini membuatkan mereka berjaya mencipta suasana genting dalam masa sama mengujakan di kalangan penonton sekaligus meraih rating dan angka tinggi yang amat penting dalam mana-mana rancangan TV hari ini. Kesian Nabil… tetapi tahniah team penerbitan MeleTOP!
Apa pandangan anda?