
Ceritakan mengenai diri kamu
Nama saya Aimi Iwasaki binti Muhammad Moritoshi. Ramai orang hanya ketahui nama saya Aimi Iwasaki, tapi apabila mereka mendengar nama penuh saya dengan binti, terus mereka rasakan saya ini seorang yang menarik. Saya berdarah kacukan Melayu dan Jepun, berusia 30 tahun dan berasal dari Pulau Pinang. Saya seorang yang aktif bersukan sejak kecil lagi, dan kini menjadikan media sosial sebagai medan utama kerjaya saya sebagai ahli sukan.
Bagaimana semuanya bermula?
Saya mula berjinak dalam media sosial ketika COVID melanda dahulu. Jadi waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sering menghasilkan kandungan sukan. Itu antara medium saya untuk berinteraksi dengan orang ramai kerana saya suka bercakap dengan orang, I am a people person. Saya mahu bercakap dengan orang, walaupun bukan secara face to face. Jadi dari situ, saya juga mendapat respon yang positif dari pengikut saya, membuatkan saya rasa puas hati. Dan kini saya berpeluang untuk menjadi pelatih untuk kesihatan dan bersukan, membuat saya rasa bertanggungjawab untuk lebih memberi kepada komuniti.
Sejak bila Aimi suka bersukan?
Minat terhadap sukan ini kerana saya membesar di kampung. Saya suka bermain di luar dan melakukan aktiviti-aktiviti lasak. Di sekolah juga saya lebih berminat untuk menyertai aktiviti sukan, jadi dari situ saya sedar yang minat saya memang dalam bersukan.

Apa sukan pertama yang Aimi cuba? Dan bagaimana transisi dari perenang sehingga menjadi Ironman?
Saya sebenarnya bermula dengan ballet. Ramai sebenarnya tidak menyangka saya asalnya ballerina ketika berusia 6 tahun. Kemudian saya mendapat kritikan bahawa badan saya tidak sesuai dengan seni persembahan itu, jadi saya disingkirkan hanya kerana bentuk badan saya. Kemudian saya beralih kepada gimnastik. Dan ia juga tidak berpanjangan disebabkan salah satu anggota badan saya yang dianggap terlalu besar dan tidak sesuai dengan sukan itu.
Kemudian saya mencuba ke sukan renang. Boleh dikatakan semua sukan yang saya ceburi adalah secara kebetulan, dan kebetulan saya berjumpa dengan seseorang dari kelab renang, jadi saya pun menyertainya ketika berusia 10 tahun. Tapi untuk menyertai kelab renang itu saya perlu menjalani latihan, dan ketika latihan itu, mereka katakan yang teknik berenang saya sangat teruk. Jadi ibu saya yang bukanlah seorang yang pandai berenang, tapi kerana saya begitu bersemangat ingin memasuki kelab renang, maka dia usaha untuk mengajar saya.
Sampailah saya betul-betul pandai dan layak untuk memasuki kelab tersebut, so my mom was my first coach. Selepas itu semuanya menjadi agak mendatar. Lalu saya pun berhenti dan terus menyertai sebuah projek untuk Malaysian Book of Records, untuk berenang merentasi Sumatera. Dan selepas itu baru saya menyertai sukan berbasikal dan dari situ membuka laluan saya menyertai Ironman.
Pada asalnya, adakah kamu memang mahu menjadi atlet profesional?
Tidak. Saya sudah melalui beberapa fasa dalam hidup sebelum benar-benar melihat diri saya sebagai seorang atlet. Pada peringkat awal, sukan hanyalah sesuatu yang saya minati dan menjadi sebahagian daripada kehidupan saya, seperti yang saya katakan, semuanya agak kebetulan. Apabila mula menyertai latihan dan pertandingan secara lebih serius, barulah saya memahami bahawa kehidupan sebagai atlet memerlukan lebih daripada sekadar bakat.
Ia memerlukan disiplin. Ia memerlukan pengorbanan. Ia memerlukan kesanggupan melakukan perkara yang sama berulang kali walaupun tiada siapa yang melihat. Lebih penting, seseorang atlet perlu belajar berhadapan dengan hari-hari apabila badan tidak mampu memberikan prestasi terbaik, keputusan tidak seperti yang diharapkan atau rancangan yang sudah disusun terpaksa berubah kerana kecederaan. Saya belajar semua perkara itu melalui pengalaman sendiri.

Selepas triatlon, Aimi kemudian mencabar diri dengan Ironman. Mengapa mahu pergi sejauh itu?
Mungkin kerana apabila seseorang sudah mengetahui sejauh mana tubuh dan mentalnya mampu pergi, akan sentiasa ada rasa ingin tahu tentang had seterusnya. Ironman pula bukan cabaran kecil. Acara penuh Ironman menggabungkan 3.8 kilometer renang, 180 kilometer berbasikal dan 42.2 kilometer larian. Secara keseluruhan, ia merupakan ujian ketahanan yang luar biasa dan memerlukan persediaan fizikal serta mental yang sangat tinggi. Itulah yang menjadikan Ironman begitu mencabar dan dalam masa yang sama begitu memuaskan buat saya.
Apa yang Aimi harap dapat memberi inspirasi kepada generasi wanita seterusnya?
Mungkin mesej paling penting daripada perjalanan Aimi ialah supaya wanita tidak takut untuk bermula. Tidak perlu menunggu sehingga benar-benar yakin. Tidak perlu menunggu sehingga mempunyai peralatan terbaik. Tidak perlu menunggu sehingga tubuh menjadi “cukup fit”. Dan tidak perlu takut apabila jalan yang dipilih akhirnya berubah.
Saya sendiri tidak pernah memasang impian untuk menjadi atlet Ironman. Hanya bermula dengan rasa minat untuk belajar berenang. Dengan pengalaman dan cabaran demi cabaran akhirnya membawanya ke triatlon serta ke pentas dunia.
Mungkin itulah definisi sebenar seorang atlet, bukan individu yang tidak pernah gagal, tetapi seseorang yang tahu bagaimana untuk terus bergerak selepas kegagalan. Kadangkala, cukup sekadar mula mengayuh.
Megapa memilih untuk menyertai Fresh Face 2026?
Aimi dulu selalu menemani kakak ke sesi penggambaran, dan selalu terdetik dalam hati Aimi, ‘one day it’s gonna be me.” Dan saya yakin Fresh Face 2026 adalah momen untuk saya.
Photographer: Edmund Lee
Videographer: Jufri Jamaludin
Stylist: Azreezal Hafidz
Teks: Izzati Saadin
Makeup: El Manda Zuhairy
Rambut: VV Chan mengunakan Schwarzkopf Taft
BACA: Fresh Face 2025 : Atasha









.gif)

Apa pandangan anda?