
Ceritakan serba sedikit tentang diri kamu?
Saya merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik. Saya seorang pelakon, content creator, penyanyi, model dan pengacara. Saya memulakan langkah dalam bidang seni sebagai seorang penyanyi dan pernah menjadi salah seorang anggota kumpulan The Gadys. Selepas kumpulan tersebut berpecah, saya meneruskan perjalanan sebagai penyanyi secara independent dan kini bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana label rakaman.
Ramai mengenali kamu sebagai pencipta kandungan, model, pelakon dan hos. Pada pandangan kamu sendiri, bagaimana kamu ingin dikenali sebagai Faa Zaini?
Saya ingin dikenali sebagai sebagai Faa Zaini yang versatil dan mempunyai pelbagai bakat. Saya boleh bersukan, mengacara, memasak, menyanyi, berlakon, menjadi model dan banyak lagi. Saya seorang yang sentiasa terbuka untuk mencuba pelbagai perkara serta yakin dengan kemampuan diri untuk menyesuaikan diri dalam apa jua bidang yang saya ceburi.

Media sosial sentiasa berubah dan trend datang silih berganti. Bagaimana kamu memastikan kandungan yang dihasilkan kekal relevan tanpa kehilangan identiti sendiri?
Saya sentiasa mengikuti perkembangan semasa, termasuk dalam aspek fesyen dan trend generasi Z. Contohnya, apabila sesuatu trend seperti corak polka dot sedang mendapat perhatian, saya akan cuba mengikutinya mengikut kesesuaian diri. Bukan kerana FOMO, tetapi kerana saya sememangnya seorang yang suka mencuba perkara baharu dan meneroka sesuatu yang berbeza.
Di sebalik kandungan yang sentiasa ceria, pasti ada hari yang tidak begitu mudah. Apa yang biasanya kamu lakukan apabila berdepan creative block atau kehilangan motivasi?
Saya suka menjalani kehidupan secara santai bersama kawan-kawan, seperti menonton wayang atau melakukan aktiviti harian. Kebanyakan masa, saya akan menggunakan rutin dan pengalaman seharian sebagai idea untuk menghasilkan kandungan. Saya lebih gemar menghasilkan content secara spontan dan natural, contohnya seperti video ‘Get Ready With Me’ kerana ia lebih dekat dengan kehidupan sebenar dan personaliti saya.

Jika diberi peluang memilih satu watak impian untuk dilakonkan, apakah jenis karakter yang ingin kamu bawa dan mengapa?
Saya teringin untuk membawa watak yang lebih mencabar dan adventurous, terutamanya watak yang memerlukan kekuatan fizikal serta kemahiran seni mempertahankan diri seperti taekwondo, karate dan silat. Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan seni mempertahankan diri dan sehingga kini saya masih aktif mengikuti kelas Muay Thai.
Saya ingin mencuba watak seperti seorang anggota polis atau pasukan khas yang terlibat dalam misi berisiko tinggi, termasuk adegan aksi dan melakukan pelbagai stunt.
Selain dunia hiburan, adakah terdapat bidang lain yang ingin kamu ceburi seperti perniagaan, fesyen, kecantikan atau menghasilkan jenama sendiri?
Saya sebenarnya teringin untuk menjadi seorang guru atau peguam dan mendalami dunia pendidikan serta undang-undang. Pada asalnya, saya merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, namun disebabkan beberapa faktor yang tidak mengizinkan, saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang yang juga saya minati, iaitu teater.
Dalam perjalanan membina kerjaya dan mencapai impian, apakah impian terbesar yang masih ingin direalisasikan?
Saya menyimpan impian untuk menjadi wajah dan duta kepada jenama-jenama besar bertaraf antarabangsa seperti YSL dan Dior. Bagi saya, ia bukan sekadar tentang pencapaian dalam kerjaya, tetapi juga sebagai satu simbol bahawa usaha dan perjalanan saya selama ini membuahkan hasil.
Dalam kehidupan peribadi pula, antara impian terbesar saya adalah untuk membawa ibu menunaikan umrah bersama-sama. Saya mahu dapat memberikan pengalaman dan kebahagiaan kepada ibu sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan dan kasih sayangnya selama ini.
Photographer: Edmund Lee
Videographer: Jufri Jamaludin
Stylist: Azreezal Hafidz
Teks: Syafiqah Alkaf
Makeup: El Manda Zuhairy
Rambut: VV Chan mengunakan Schwarzkopf Taft
BACA: Fresh Face 2025 : Grace Chidera









.gif)

Apa pandangan anda?