Posted on January 3, 2019
Sejak dua tahun lalu, saya mula memakai helaian wanita. Awalnya saya lakukan untuk bereksperimen, pada saat saya memulakan STAIL.MY kerana portal ini lebih cenderung kepada dunia stail wanita. Penting untuk saya memahami apa yang wanita suka dan apa yang perlu saya sarankan buat mereka untuk kehidupan lebih stailish. Sejak itu saya jadi lebih curious tentang dunia wanita. Tentunya dengan peluang-peluang mencuba pelbagai aktiviti yang dilakukan wanita membolehkan saya merasai sendiri pengalaman yang perlu wanita lalui. Banyak juga yang bertanya apakah saya sedang cuba untuk transisi (dari lelaki menjadi wanita), kerana itu saya melakukan semua ini.
Tidak sama sekali. Bagi saya ia hanyalah eksperimen sosial untuk saya lebih memahami jantina berlawanan. Kebetulan pula mulai awal tahun lalu, keterbukaan dunia menerima terma equality semakin meluas. Waima dalam industri perfileman Hollywood mahupun dalam lapangan fesyen – garis batas gender semakin pudar. Fesyen wanita menerapkan elemen lelaki dan fesyen lelaki mengambil inspirasi wanita. Saya rasa saya sealiran dengan evolusi dunia. Saya boleh kata, saya seronok melaluinya. Ia memberi saya keterujaan baru. Setiap aktiviti yang saya lakukan baik daripada membeli helaian wanita, membuat kuku, membuang bulu atau memasang bulu mata – umpama benda baru yang mencabar buat saya.
Ia membuat dunia saya lebih berwarna dalam masa sama saya belajar perkara baru daripadanya. Yang mana amat penting untuk manusia. Setiap hari kita perlu belajar sesuatu yang baru. Hanya dengan cara ini minda kita akan berkembang dan menjadi lebih terbuka. Well sesuatu yang saya belajar daripada eksperimen sosial saya mencuba semua yang wanita suka ini ialah it takes a lot to be a woman. Ya, tak mudah menjadi wanita. Terlalu-lalu banyak perkara yang harus mereka titik beratkan terutamanya jika mereka jenis yang suka bercantik-cantik dan bersiap. And guess what…? Amy memberitahu saya 80% wanita melakukan ini demi lelaki. Whattt?!?! Hanya 20% melakukannya untuk diri sendiri? Ini tidak adil.
“Setelah bersusah-susah saban bulan dalam kesibukan menjaga rumah tangga dalam masa sama harus menjaga diri – semuanya demi suami, lelaki itu tidak pun memikirkan tentang pengorbanan kamu itu malah sewenang-wenangnya meremukkan pula hati kamu.”
Pada pandangan saya, tidak adil untuk sesiapa pun di dunia ini melakukan sesuatu kerana orang lain. Setiap daripada kita harus pertama-tama melakukan setiap apa pun pekerjaan kita untuk diri sendiri dahulu. Hanya dengan itu kita akan terelak daripada sebarang bentuk penyesalan, jangkaan dan kekecewaan. Contohnya dalam hal wanita ini, terlalu-lalu banyak kes yang saya saksikan di mana wanita setelah bersusah-susah mencantikkan diri tetapi pada akhirnya ditinggalkan lelaki. Atau ada pula di kalangan teman-teman yang sudah berumah tangga, setelah penat menjaga diri, suami tetap makan luar main kayu tiga.
Seperti teman saya Fatimah, kerjanya asyik ke salon, ke spa, ke tempat kuku, ke tempat buang bulu. Semuanya sebab nak kulit cantik, tubuh montok dan rambut berset rapi. “Kau tak penat ke Fatimah,” saya tanya pada dia satu hari. “Nak buat macam mana Reezal. Zack (suami Fatimah) suka aku bercantik-cantik. Itu yang menghangatkan perhubungan kami dan mengeratkannya lagi. Terpaksalah kan?” Nah… di hujung kata-katanya ada kata terpaksa. Kalau sampai terpaksa tu apa maknanya? Tak betullah kalau kamu tanya saya. Tak beberapa bulan selepas itu, Fatimah menelefon saya menangis tersedu-sedu. “Aku baru dapat tau Zack ada perempuan lain…” Aduhai, di penghujung keterpaksaan Fatimah itu, suaminya main kayu tiga juga. Tak terbayang oleh saya betapa kecewa dan remuknya hati Fatimah.
Setelah bersusah-susah saban bulan dalam kesibukan menjaga rumah tangga dalam masa sama harus menjaga diri – semuanya demi suami, lelaki itu tidak pun memikirkan tentang pengorbanan kamu itu malah sewenang-wenangnya meremukkan pula hati kamu. Umpamanya segala pengorbanan kamu itu tidak dihargai. Tapi bayangkan sekiranya Fatimah tidak terpaksa melakukan semua ini untuk suaminya sebaliknya demi diri sendiri, mungkin kekecewaan itu tidaklah terlalu dalam hirisannya. Saya tanya kamu, apakah berbaloi semua pengorbanan yang kamu lakukan demi lelaki. Ke manakah perginya alasan Fatimah mengatakan ini semua bisa menghangatkan perhubungan mereka? Apakah semakin erat perhubungan kamu selepas semua pengorbanan kamu itu? Jelas dalam hal Fatimah, sama sekali tidak. Tetapi mungkin tidak semua bernasib seperti Fatimah tapi nasihat saya tak perlulah beria-ia menjaga diri kamu demi lelaki. Tetapi tetapkanlah dalam hati bahawa apa pun yang kamu lakukan itu adalah untuk kepuasan diri kamu sendiri. Dan mencantikkan diri memang seharusnya demi diri sendiri pun bukan kerana orang lain.
“Jadi, memang tidak mudah menjadi wanita. Maka saya menyimpulkan bahawa untuk 2019, kita harus lebih menghargai wanita.”
Ada pula kenalan saya yang tidak pernah sesaat pun tidak memakai mekap di wajahnya. Setiap kali berjumpa walau waktu di kelas workout, pasti menyapu bedak asas di wajahnya. Seperti ada kulit kedua pada wajahnya setiap hari. Yang ini pula saya tak tahu macam mana. Kata Amy, mungkin dia tak sanggup nak membiarkan suaminya melihat dirinya yang sebenar tanpa mekap. Entah-entah waktu tidur pun pakai mekap kerana bimbang nanti suami bangun pagi terkejut melihat wajahnya tanpa solekan.
Saya tidak setuju dengan cara ini kerana bukankah seharusnya kita jatuh cinta dan menyayangi seseorang kerana dirinya dan bukan kerana kecantikan luaran atau aksesori yang dipakainya? Kerana percayalah jika ini yang membuat kamu jatuh cinta dengan seseorang, cinta itu takkan kekal lama. Kecantikan akan pudar tetapi personaliti dan karakter diri yang akan kekal selama-lamanya. Inilah yang seharusnya menjadi asas kepada perhubungan kamu.
Jadi, memang tidak mudah menjadi wanita. Maka kerana itu saya menyimpulkan bahawa untuk 2019, kita harus lebih menghargai wanita. Kerana kesukaran yang harus mereka depani. Kerana pengorbanan yang harus mereka lalui. Kerana duka sengsara mereka membesarkan anak-anak dan menjaga suami. Kerana semua yang mereka lakukan demi lelaki. Memang wajar mereka dihargai, dihormati, dijaga, dibelai dan dimanja serta selalu disayangi. Kerana percayalah jika mana-mana lelaki diberi peluang menjadi wanita barang sehari, mereka takkan mampu menyempurnakan. Saya bertaruh, tak sampai separuh hari, kamu akan menyerah dan memahami betapa sukarnya menjadi wanita. Ini belum masuk lagi bab datang bulan dan melahirkan. Aduh… saya tabik semua wanita di dunia.
Di bawah saya senaraikan 10 sebab mengapa kita perlu lebih menghargai wanita bermula 2019 ini berdasarkan pengalaman saya sendiri (tidak termasuk datang bulan dan melahirkan).
10 SEBAB KITA PERLU LEBIH MENGHARGAI WANITA
1
MANI/ PEDI
Sejak teman saya menghadiahkan pakej membuat kuku di salah satu salon kuku ibu kota, I’m hooked. Setiap bulan paling kurang sekali saya mesti pergi manicure dan pedicure ditambah buffing. It’s really a commitment. Dan wanita perlu menghabiskan masa sejam setengah sekurang-kurangnya untuk membuat mani dan pedi. Bayangkan kalau seumur hidup wanita melakukannya?
2
EYELASH EXTENSION
Seorang teman membuka salon eyelash extension dan mengundang saya mencuba perkhidmatan ini. Memanglah hasilnya menawan. Mata nampak besar dan cantik. Wajah serta-merta berubah manis pabila memasang extension bulu mata. Tetapi sampai dua jam perlu menadah muka di depan pakar bulu mata, saya jadi letih selepas tiga kali melakukannya. Jadi saya tidak menyambung lagi selepas itu. Ada kenalan yang tidak pernah tak pakai extension bulu mata, bayangkan kesukarannya?
3
BUANG BULU
Salah seorang teman wanita saya pernah bercerita tentang pengalamannya membuang bulu menggunakan kaedah Intense Pulse Light. Saya curious mahu mencuba. Pabila diberi peluang mencuba sendiri boyzilian, saya teruja bercampur cemas. Aduh… sakitnya bagai dicucuk-cucuk jarum berkali-kali setiap kali laser itu ditalakan pada liang-liang bulu. Saya serik dan mujur diperkenalkan dengan cara membuang bulu yang lebih lembut dan tidak menyakitkan menggunakan laser. Mak ai… macam manalah wanita-wanita yang melakukannya menggunakan kaedah IPL selama ini?
4
FESYEN WANITA
Lewat dua tahun lalu obsesi saya memakai helaian wanita menjadi-jadi sebagai eksperimen sosial. Saya juga menganggapnya sebagai ekspresi diri melalui fesyen. Sesetengah siluet saya dapati masih mengekang tubuh wanita. Seperti siluet cinched waist menggunakan tali pinggang bagi menampakkan bentuk pinggang lebih ramping. Ada ketikanya saya merasa ia seperti menyiksa diri tetapi kerana siluet ini cantik banyak wanita suka menggayakannya. Ini tidak termasuk lagi helaian-helaian lain seperti korset dan pantyhose. Wanita perlu melalu semua kesukaran ini demi mencantikkan diri? Seriously?
5
TUMIT TINGGI
Tentunya pabila saya memakai seluar-seluar flare, saya suka menyarung platform booty untuk menambah ketinggian. Agar siluet saya nampak long and lean. Tetapi memakainya walau 15 minit, kaki sudah berasa kebas dan sakit. Ini tak masuk lagi kalau melecet. Siksanya tuhan sahaja yang tahu. Dan percayalah tidak ada satu pun tumit tinggi yang selesa dipakai sebenarnya. Biar semahal mana sekali pun tumit tinggi itu, ia pasti akan menyiksa tapak kaki kamu. Jadi bersyukurlah wahai lelaki jika pasangan kamu memakai tumit tinggi untuk nampak cantik kerana wanita sebenarnya menyiksa diri memakai tumit tinggi.
6
ANTING-ANTING
Penghujung tahun lepas, saya memutuskan mencuba anting-anting. Mula-mula saya membeli clip on earring. Saya faham mengapa wanita suka memakai aksesori ini. Ia membuat kamu nampak cantik dan yakin diri. Tetapi tidak puas memakai clip on (walaupun memakainya cuping berasa lebam), saya memutuskan menindik telinga supaya saya dapat menggayakan lebih banyak stail anting-anting. Aduh menjaga lubang tindik sampai ia betul-betul sembuh juga tidak mudah ya. Perasaan cemas jika ia bernanah atau terluka itu tidak menyenangkan sama sekali. Dan tindik telinga mengambil masa hingga enam minggu untuk benar-benar sembuh. Bayangkan ada wanita yang memiliki sampai lima tindik di telinga dan bahagian-bahagian lainnya?
7
DATANG BULAN
Tentunya yang ini saya takkan pernah dapat mengalami sendiri. Tetapi membesar bersama adik-beradik perempuan dan mendengar cerita teman-teman tentang kepayahan menjaga kebersihan waktu datang bulan, saya bersyukur kerana saya tak perlu melaluinya. Bayangkan setiap bulan, darah keluar dari tubuh kamu maksimum tujuh hari lamanya? Dan memastikan alat sulit dibersihkan betul-betul agar tidak mengundang penyakit lain? Ini tidak termasuk lagi sakit senggugut yang ada sesetengah wanita terpaksa melalui setiap bulan dalam masa sama perlu bekerja dan mengawal emosi? Saya sendiri tak terbayangkan.
8
MELAHIRKAN
Ada yang kata sakit melahirkan adalah sakit paling sakit di dunia. Saya sendiri takkan tahu kerana saya tidak akan boleh melahirkan. Tetapi sakit paling hampir dengan sakit bersalin mungkin sakit gigi. Di mana saya terpaksa menahannya sepanjang malam. Sakit yang tidak boleh diubati selagi gigi tidak ditampal atau dicabut. Air mata mengalir sepanjang malam menahan sakit. Tak tertahan rasanya. Dan wanita perlu melalui sakit yang lebih sakit daripada sakit gigi… aduhai.
9
MENJAGA ANAK
Adik saya ada dua anak lelaki. Beza usia antara mereka hanya dua tahun. Nakalnya bukan kepalang. Saya hanya boleh tahan dua jam sahaja menjaga mereka. Tetapi adik saya perlu menjaga mereka 24/7. Sejak daripada melihat adik saya menjaga anaknya, saya tabik wanita seluruh dunia. Ia pekerjaan paling susah di dunia saya rasa. Bayangkan Pengurus Jualan STAIL.MY, Ija ada empat lelaki yang perlu dijaga. Dan generasi emak kita dahulu ada yang sampai 12 anak? Macam mana tu? Tabik!
10
JAGA SUAMI
Ada yang menyebut jaga suami sama seperti jaga anak. It’s like having an additional baby. Yalah bukan sahaja makan pakai dan kebajikannya yang perlu dijaga, banyak wanita terpaksa menjaga diri kerana takut suami cari lain. Nah double trouble. Kalau dapat suami yang sama-sama menanggung beban tak mengapa. Tapi kalau dapat suami yang melepaskan semuanya di bahu isteri?
Makanya, the least we can do is to appreciate women. Walaupun bukan lah kita menolong mereka secara fizikal tetapi dengan menghargai mereka, sekurang-kurangnya akan meringankan beban perlu mereka tanggung dan menunjukkan how we care. Apa kata jadikan ini antara azam 2019 kita!
Apa pandangan anda?