Posted on January 20, 2020
Tahukah kamu apa itu blackhead sebenarnya? Ia adalah sejenis gumpalan yang terdiri daripada campuran minyak dan kotoran yang tersumbat di dalam liang pori kamu lalu membentuk satu bintik hitam. Dan kamu sendiri tahu, jika adanya blackhead, kulit wajah kamu akan serta-merta rasa kasar permukaannya.
Liang pori di wajah kamu itu dikelilingi oleh folikel rambut dan di situ jugalah tempat penghasilan minyak (sebum) di wajah. Disebabkan kulit wajah yang terdedah kemudian tidak dibersih dan dijaga dengan betul, ia boleh menyebabkan kotoran hinggap terus pada liang pori tadi dan kemudian teroksida lalu bertukar warna menjadi lebih gelap.
Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah blackhead ini namun yang paling mudah terkena adalah pada mereka yang memiliki kulit jenis berminyak atau kombinasi. Jika kamu perasan penghasilan blackhead di wajah kamu hanya tertumpu pada bahagian hidung, itu bermakna antara semua bahagian wajah, bahagian hidung kamulah yang memiliki kadar sebum paling tinggi.
Saya percaya sehingga hari ini mereka yang memiliki masalah blackhead ini masih mencuba pelbagai cara untuk merawatnya, namun ia masih degil untuk dirawat. Usah risau, biar kami kongsi beberapa cara yang boleh kamu cuba. Yang paling penting, konsisten!
1- Jika terlalu teruk, jumpa dengan pakar dermatologi
Jika ia menjadi lebih teruk setelah pelbagai cara sudah dicuba, seeloknya berjumpa dengan pakar dermatologi untuk rawatan yang lebih intensif. Lebih-lebih lagi jika pada masa sama kamu juga punya masalah lain seperti jerawat, cysts atau nanah. Pakar dermatologi berkemungkinan akan memberikan kamu preskripsi yang terdiri daripada bahan retinoid yang mana kandungannya lebih tinggi daripada retinoid yang kamu jumpa di pasaran.
2- Cuci muka dua kali sehari
Ini perkara yang cukup asas. Namun saya percaya ramai yang masih pandang remeh. Mencuci muka adalah antara tiga rutin paling penting dalam penjagaan wajah kamu. Bukan sahaja ia dapat membersihkan minyak berlebihan dan kotoran pada wajah, ia juga mampu menyah sel kulit mati, bakteria serta saki-baki solekan yang masih ada pada wajah kamu itu. Dan jika kamu sering menyarung mekap, saya sarankan kamu lakukan double cleansing untuk cucian yang lebih menyeluruh.
3- Guna pupur yang diperbuat daripada arang atau tanah liat
Pupur yang mengandungi dua bahan ini mampu membersihkan wajah daripada segala kotoran dan minyak berlebihan pada wajah. Walaupun fungsinya bukan sebagai detoks, akan tetapi, jika kamu amalkan selalu, lama-kelamaan ia mampu membantu kamu menghilangkan segala kotoran blackhead serta isu seperti kulit berjerawat juga. Kamu boleh amalkan pupur ini setiap hari dan diikuti dengan rutin pelembap untuk elakkan daripada kulit kamu mengering.
4- Jika kamu picit blackhead, jangan lupa tuam dengan ais
Saya tahu, ada antara kamu yang gatal tangan suka sangat picit blackhead sendiri, walaupun ia adalah satu rutin yang amat tidak digalakkan. Jika kamu tidak sengaja memicitnya, kami sarankan kamu tuam dengan ais selepas itu. Ini bagi mengelakkan kulit menjadi kemerahan akibat radang. Bukan itu sahaja, kita tidak mahu ia menjadi lebih teruk di mana boleh mengakibatkan penghasilan jerawat. Cuma pesan kami, jangan layangkan ais secara terus pada wajah, lapikkan dengan kain atau tuala kertas. Kalau tidak, kulit boleh lebih rosak.
Apa pandangan anda?